Semalam 6 Disember, saya cuba mencuri masa untuk turut bersama anak muda di Ijtimak Tarbawi 4.0 yang diadakan di Yayasan An Nahdhoh.
Di sebelah paginya mengikuti pengajian bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Pengajian yang memakan masa hampir 3 jam itu, terasa sebentar, mendahagakan ilmu dan hikmah daripada beliau.
Surah al Fath (pembukaan) mengajarkan kita perbezaan antara pembukaan dan penaklukan atau penjajahan. Dalam Islam, hanya ada pembukaan, manakala konsep penaklukan atau penjajahan adalah hasil cernaan idea idea barat, juga menjadi pengamalan golongan golongan terdahulu. Islam membawa konsep pembukaan di celah celah kemelut penjajahan dan penaklukan di serata dunia.
Surah al Fath juga menyenaraikan plot plot pembukaan kota Mekah, yang mengajar kita bahawa kemenangan Islam itu digarisi dengan beberapa syarat. Ia diperolehi dengan menaiki anak tangganya satu persatu dengan cermat. Ia bukan diperolehi dengan cara berlari dan melompat ke anak tangga yang kesepuluh, bimbang tersadung kaki atau tergolek jatuh tangga. Ingatlah, manhaj Islam bukanlah bersifat mee segera.
Ustaz Abdullah Nasih Ulwan pernah menyatakan di dalam bukunya bahawa kemenangan Islam tak mungkin dicapai dalam jangkasama yang pendek dan mudah, sepertimana tidak mungkin seorang petani boleh memetik hasil pokok yang ditanam semalam. Ya, kita perlu belajar bagaimana kesusahan dan rintangan untuk menghadapi kemenangan.
Negara negara Islam hari ini ditindas, umat Islam dibunuh saban hari. Darah darah pejuang Islam yang mengalir ini umpama darah ibu yang bersalin, melahirkan anak. Kelahiran inilah satu kemenangan besar buat Islam. Bersabarlah dengan kepayahan yang sementara, kamu akan mengecapi kemanisan yang berpanjangan.
Di penghujung surah, Allah SWT berfirman;
Maksudnya: " Muhammad itu Pesuruh Allah. Dan orang yang bersamanya mempunyai sifat keras dan tegas terhadap orang kafir, dan berkasih sayang antara mereka. Kamu melihat mereka itu rukuk dan sujud, serta mereka mengharapkan kurniaan dari Allah dan keredhaanNya. Tanda mereka itu adalah pada muka mereka, kerana kesan dari sujud. Demikianlah bandingan sifat mereka dalam kitab Taurat. Dan contoh mereka di dalam kitab Injil, ialah seperti tanaman yang mengeluarkan anaknya (yang kecil dan lemah), lalu bertambah kuat dan besar, lalu tegak lurus dengan batangnya, sehingga ia menakjubkan orang yang menanamnya. (Begitu juga orang Islam, pada mulanya sedikit serta lemah, kemudian bertambah banyak dan kuat) supaya Allah menggerunkan orang kafir. Allah menjanjikan keampunan dan pahala yang besar kepada orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan mereka."
Terus beristiqamah,
Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
Pesuruhjaya PAS Perak
7 Disember 2014
0 comments:
Catat Ulasan