Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Rabu, 31 Disember 2014

PERUTUSAN PESURUHJAYA PAS PERAK SEMPENA AWAL TAHUN


PERUTUSAN PESURUHJAYA PAS PERAK SEMPENA AWAL TAHUN

Tahun 2014 Masihi telah berlalu menantikan saat kemunculan 2015 pada malam ini, mengajar kepada kita bahawa detik itu sentiasa berlalu sepertimana perintah Allah SWT. Tahun Masihi dikira berdasarkan pusingan matahari mengelilingi bumi, iaitu selama 365 atau 366 hari. Perkiraan inilah yang menunjukkan kebesaran Allah yang mengatur sistem alam dengan tepat.

Allah SWT berfirman,

(خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ ۖ يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُسَمًّى ۗ أَلَا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفَّارُ)

Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, - tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni. (Surah az Zumar : 5)

Tahun 2015 disambut dengan penuh kedukaan khususnya di Malaysia, iaitu kejadian banjir yang luar biasa. Terasa kerdilnya diri ini apabila air itu melimpah, apatah lagi apabila berhadapan dengan angin yang bertiupan sebagai sebuah ribut. Di sinilah Allah ingin mendidik kita supaya sentiasa mengingatinya, apatah lagi peringatan ini menjadi muqaddimah di awal tahun 2015.

Mari kita bermusahasabah, sepanjang 2014 yang bakal berlalu beberapa detik lagi, sebanyak manakah amalan yang telah kita himpunkan untuk bekalan akhirat? Atau selama setahun ini kita sarat memikul beban dosa menganiaya orang lain? Atau kita hanya sekadar statik sepertimana tahun tahun yang lalu? Atau kita hanya sekadar menyangka amalan kita sudah bertambah walhal ia terhapus dengan penyakit ujub dan riak?

Di penghujung tahun ini saya selaku Pesuruhjaya PAS Perak menekankan aspek muhasabah (post moterm) terhadap gerak kerja kita pada 2014, lalu kita perlu mempasakkan azam untuk menemui 2015. Andai kata sepanjang 2014 hanya sekadar memenuhkan jadual peribadi sehingga mengabaikan gerakan Islam, maka kembalilah kita kepada mengerti kepentingan memperjuangkannya.

Andai kata setahun berlalu hanya sekadar memenuhkan jadual untuk mengejar dunia, populariti dan pangkat, maka hentikanlah, bekerjalah untuk Allah dan RasulNya. Popular, pangkat dan dunia tiada di medan perjuangan PAS, sebaliknya yang ada di hadapan medan tempur ini ialah kesusahan yang diselangi dengan ketenangan, serta ujian yang diselangi dengan kejayaan. Sabarlah di atas jalan ini, dan halakanlah mata pena memadatkan keikhlasan yang sebaiknya pada 2015.

Andai kata setahun berlalu, cukup padat dengan tugasan sebagai ahli gerakan Islam, maka teruskanlah, jangan keluar daripada landasan ini atau terbabas ke dalam gaung di tepian. Ya, walaupun jalan ini sukar ditempuhi, lopak dan lubang di sana sini, bahaya yang merintangi, namun keteguhan (istiqamah) itulah penawar bagi segala duri ini. Terjun gaung atau keluar simpang hanya mengundang bahaya yang lebih besar, buaya dan harimau menunggu untuk merobek sesiapa yang terjatuh.

Allah SWT berfirman

(وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ)

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al An'am : 153)

Ingatlah, laluan ini telah pun dilalui oleh ramai pejuang Islam sepanjang zaman, ada dari kalangan mereka yang telah sampai ke destinasi, ada pula yang masih meniti berdikit dikit mengelak ranjau dan duri. Kita bukanlah yang pertama memulakan perjuangan ini kerana kita warisinya daripada ribuan pejuang terdahulu. Kita juga bukanlah hero yang menamatkan laluan ini, kerana laluan ini adalah jalan menuju Allah Yang Maha Kekal, yang tidak berkesudahan hinggalah hari kita dibangkitkan.

Allah SWT berfirman

(قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Surah Yusuf : 108)
Selamat membuka tirai 2015 dengan azam untuk Islam lebih cemerlang.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Zakaria,
Pesuruhjaya PAS Perak

9 Rabiul Awwal 1436
Selasa 31 Disember 14



0 comments:

Catat Ulasan