Hati pejuang Islam sentiasa berbisik, adakah gerak kerja ini termasuk dala m perhitungan Allah? Manakala nafsu golongan pencinta dunia sentiasa memanggil, adakah gerak kerja ini dilihat manusia?
Allah SWT berfirman,
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata di hadapan Allah siapakah orang orang yang berjihad di kalangan kamu, dan (belum lagi) nyata di hadapan Allah siapakah orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Surah Ali Imran : 142)
Marilah kita merenung keinsafan. Apakah masa, tenaga dan wang ringgit yang dihabiskan dalam perjuangan bersama PAS selama ini boleh meletakan diri dalam pilihan Allah sebagai pejuang di jalanNya? Sedangkan ramai yang solat di belakang Nabi SAW dan berperang bersamanya, tetapi tidak dikira syahid.
Apakah terjawab di hadapan Allah SWT dengan harapan besar yang digalas oleh amilin yang ikhlas serta taklifan di atas jawatan yang dipegang itu terlaksana? Sebab itu Rasul SAW melarang meminta-minta jawatan kerana ia adalah amanah yang berat, bukanlah kebanggaan yang tiada nilai.
Amatlah rugi sekiranya tenaga yang dihabiskan pertuturan yang diluahkan, idea yang dilontarkan dan pengorbanan yang dicurahkan tidak mendapat kiraan di sisi Allah SWT, kerana tenaga, pertuturan, idea dan pengorban itu mencari-cari populariti murahan daripada pandangan manusia yang rabun, buta dan juling.
Bersama kita perbetulkan niat dan ikhlaskan diri perjuangan, semoga segala amalan kita sepanjang berada di jalan juang ini diredhai Allah. Inilah matlamat kita yang tiada pada pejuang pejuang kebendaan yang rapuh.
Terus Beristiqamah
Hj. Razman Zakaria Pesuruhjaya PAS Perak
3.45ptg, 3 Disember 2014
0 comments:
Catat Ulasan