Hati ini mengungkapkan syukur kepada Allah SWT, dan lidah ini mengucapkan alhamdulillah, setelah mendengar keputusan kes saman ahli PKR terhadap Tuan Guru Presiden PAS. Saya mengikut beberapa siri perbicaraan ini hinggalah berakhir pada tarikh 15 Disember bersamaan 23 Safar 1436.
Walaupun diri ini merasa terkilan dengan tindakan kurang bijak pihak pendakwa tersebut, namun apabila melihat Tuan Guru Presiden melangkah masuk ke mahkamah, bertutur dengan baik dan hikmah yang mendalam, hati ini kembali tenang.
Dalam pada itu, dada akhbar dan ruang media hari ini sarat dengan hasil Konvensyen Nasional DAP yang mana setiausahanya, Lim Guan Eng menyatakan dengan jelas mendesak PAS dan PKR agar menyatakan pendirian dengan jelas agar tidak laksanakan Islam bagi membolehkan Pakatan Rakyat merampas Putrajaya.
PAS berusaha sedaya upaya untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat, walaupun terus dihentam dengan suara-suara sumbang yang tidak henti-henti memainkan propoganda UG dan propoganda PAS keluar Pakatan. Pendirian PAS sudah ditegaskan berulang kali oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa PAS tetap akan bersama Pakatan Rakyat.
Namun saya melahirkan rasa terluka terhadap desakan DAP agar PAS menggadaikan prinsip perjuangannya bagi membolehkan Pakatan Rakyat merampas Putrajaya. Di mana salahnya PAS memperjuangkan Islam yang telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia sebagai agama rasmi? Apalah salahnya PAS berpegang dengan prinsip dan dasar partinya? Apakah wajar DAP mendesak agar PAS melanggar prinsip perjuangannya dan perlembagaan partinya?
Sebelum wujudnya Pakatan Rakyat lagi, PAS sudah berpegang dengan dasar dan prinsipnya, iaitu Islam. Bahkan PKR dan DAP sudah sedia maklum tentang dasar PAS ini. Apakah kewajaran DAP untuk membicarakan prinsip dan dasar PAS? PAS tidak pernah mengkritik dasar rakan pakatan, mengapa hari ini dasar PAS diusik dan digesa untuk digadaikan?
Para pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat harus menyedari bahawa persepakatan parti-parti komponen PR dibina di atas matlamat yang dikongsi bersama iaitu membenteras penyelewangan dan kerosakan yang dilakukan oleh BN dan mewujudkan pentadbiran yang bersih (good governance). Namun begitu, masih terdapat beberapa perkara-perkara yang berkaitan prinsip dan dasar parti yang tidak boleh disentuh oleh rakan pakatan yang lain. Bahkan masing-masing telah pun sedia maklum dan bersetuju untuk menjaga adab dalam berbeza pandangan dan pegangan (agree to disagree) demi menjaga hubungan sesama rakan pakatan.
Justeru, saya mewakili suara Badan Perhubungan PAS Perak menegaskan bahawa PAS tidak akan menggadaikan Islam sebagai prinsip perjuangannya, selari dengan apa yang tertulis di dalam perlembagaan sejak awal penubuhannya lagi.
Terus beristiqamah
Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
Isnin, 23 Safar 1436,
15 Disember 2014
0 comments:
Catat Ulasan