Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Ahad, 25 Januari 2015

CATATAN TAUJIHAT TOK GURU HJ ABDUL HADI AWANG


PAS yang ditubuhkan sejak 1951 menjunjung perintah Allah SWT dan Rasul yang menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran atas dasar Islam. Inilah sepertimana yang diwarisi daripada para nabi AS sepanjang zaman. Disebabkan prinsip inilah PAS ditentang dan diuji sepanjang sejarah perjuangannya. Inilah bahtera PAS, yang tidak sama dengan bahtera yang lain.

(مَثَلُ القَائِم في حُدُودِ اللَّه والْوَاقِع فيها، كَمثل قَومٍ اسْتَهَموا على سَفِينَةٍ، فَأَصابَ بَعْضُهم أعْلاهَا، وبعضُهم أَسْفلَهَا، فكان الذي في أَسفلها إذا استَقَوْا من الماء مَرُّوا على مَنْ فَوقَهمْ، فقالوا: لو أنا خَرَقْنا في نَصِيبِنَا خَرقا ولَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنا؟ فإن تَرَكُوهُمْ وما أَرَادوا هَلَكوا وهلكوا جَميعا، وإنْ أخذُوا على أيديِهِمْ نَجَوْا ونَجَوْا جَميعا)
Perumpamaan orang menjaga batasan Allah dan orang yang melanggarnya ialah seperti suatu kaum yang sama-sama menaiki kapal. Lalu sebahagiannya duduk di bahagian atas dan sebahagiannya duduk di bahagian bawah. Apabila orang-orang yang duduk di bahagian bawah hendak mendapatkan air mereka meminta tolong dari orang yang duduk di atas. Maka mereka berkata "Alangkah baiknya sekiranya kita tebuk satu lubang di bahagian kita ini, maka kita tidak menyusahkan orang yang duduk di atas." Sekiranya orang-orang yang duduk di atas membiarkan mereka yang di bawah melakukan apa yang mereka mahu, maka mereka semua akan binasa dan sekiranya mereka melarangnya maka mereka semua akan terselamat".
(riwayat Bukhari dan Tirmizi)

Inilah bahtera PAS, ia bukanlah bahtera Pakatan Rakyat. Walaupun ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini, sebaliknya pergilah ke bahtera lain yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi.

Dalam bahtera PAS, ia menggabungkan pelbagai kepakaran, ada yang bahagian kejuruteraannya, ada bahagian enjinnya, ada bahagian kemudinya dan sebagainya. Inilah PAS yang tidak membezakan kepelbagaian penggerak penggeraknya. Justeru tidak timbul pertembungan antara ulamak dan professional kerana PAS terbuka menerima sesiapa sahaja, asalkan memperjuangkan Islam.

PAS meraikan kepelbagaian pandangan yang dibatasi dengan syarak. Di dalam perlembagaan PAS, meletakkan al Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang undang tertinggi dalam menentukan sesuatu pendirian. Para ulamak yang pakar dan berkebolehan dalam merujuk kitab kitab ulamak terdahulu, serta kepakaran mereka dalam bidang syariat, dihimpunkan di dalam Majlis Syura Ulamak bagi memandu PAS agar tidak terbabas daripada sempadan syarak.

Kita bukanlah Rasulullah SAW yang mendapat wahyu secara langsung daripada Allah. Kita juga bukanlah Imam Syafie RA, yang pakar dalam segenap ilmu dan kefahaman yang mampu berijtihad. Akan tetapi, kita menggabungkan para ulamak yang menguasai kepelbagaian bidang dalam memutuskan sesuatu ijtihad mengikut kesesuaian zaman.

Contohnya PAS pernah bersidang bersama para ulamak sedunia, manakala wakil PAS yang hadir ketika itu ialah Tuan Guru Presiden, Almarhum Ustaz Harun Taib, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato Mustafa Ali. Iaitu berbincang tentang hubungan dengan Non Muslim, yang mana telah digariskan oleh Islam sebanyak 8 bentuk, antaranya tahaluf, hudnah dan sebagainya, selari dengan keperluan semasa dan penerimaan masyarakat.

Begitu juga pada 1960 dan 1961, ketika itu Dr Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan agar mewujudkan keahlian bersekutu kepada non-muslim. Ketika itu masyarakat belum dapat menerima lantas beliau menerima ugutan, kenderaannya ditahan dan sebagainya kerana cetusan beliau ketika itu tidak dipersetujui oleh Tok tok Guru Pondok. Beliau mengambil pendekatan berundur daripada cetusan tersebut bagi meraikan penerimaan masyarakat semasa.

Begitu juga perbezaan antara Imam Haramain al Juwaini RA dan Imam Mawardi dalam beberapa permasalahan berkaitan non muslim. Imam Haramain menetapkan ijtihadnya berdasarkan realiti setempatnya ialah sekitar Mekah dan Madinah yang mana hampir kesemua penduduknya beragama Islam. Manakala Imam Mawardi yang tinggal di Iraq berhadapan dengan masyarakat majmuk.

Ada yang bertanya kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sampai bilakah kita harus menolak UMNO? Beliau mengatakan bahawa kita menolak UMNO selagi mana mereka masih menolak Islam. Kita menolak UMNO sekiranya bercanggah dengan Islam. Apabila UMNO mendirikan Maahad Tahfiz, Bank Islam dan sebagainya, kita tidak menolak. Sebaliknya kita menolak UMNO dalam pelaksanaan judi, cukai dan sebagainya.

Dalam bab percukaian, perlu kepada kefahaman dan perincian. Tidak perlu rasa pelik sekiranya zakat dikenakan kepada orang Islam, manakala cukai dikenakan pada bukan Islam. Percukaian ini boleh dihapuskan sekiranya keperluan negara mencukupi, sedangkan zakat terus kekal wajib untuknorang Islam. Jangan pula kita rasa pelik terhadap syariat, inilah Islam.

Islam menyatukan antara kampung dan bandar yang tidak selari dengan idea penjajah yang sengaja mencetuskan perbalahan antara bangsa. Melayu sebagai masyarakat asal, lalu dimasukkan India yang ditempatkan di estate, begitu juga cina yang ditempatkan di kawasan perlombongan. Agenda ini bagi memastikan kita sebagai rakyat Malaysia terus dibelenggu dengan sentimen antara bangsa. Islam mengajar kita untuk tangani masalah, bukan menyuburkan sentimen perbalahan.

Kita perlu sedar, bahawa bumi ini milik Allah, bukan milik sesiapa. Maka fikirkan penyelesaian antara bangsa lebih baik daripada meniupkan sentimen perbezaan. Walaupun ada yang membawa idea barat dalam menyelesaikan krisis ini, iaitu dengan memperjuangkan hak kesamarataan. Kita perlu sedar bahawa mengikat hati hati manusia tidak sama seperti mengikat kayu dan batu.

Kayu boleh diikat dengan tali, begitu juga batu. Manakala mengikat manusia perlu ada caranya kerana manusia mempunyai akal, tidak seperti batu dan kayu. Andai kita memperjuangkan hak kesamarataan, pasti kita akan menyamakan buruh yang mampu mengangkat 70 kg dengan buruh yang hanya mampu sekadar 10 kg, dengan menyuruh kesemuanya mengangkat 50 kg secara samarata.

Ya, kita perlu raikan perbezaan pandangan dengan mencari titik titik pertemuan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam memerintah Madinah. Rasulullah SAW telah membuat perjanjian dengan kabilah kabilah di Madinah yang bersepakat untuk mempertahankan Madinah. Lantas apabila ada kabilah yang membelot, sudah pasti mereka akan ditentang oleh Rasulullah SAW dan tiada seorang pun yang dapat mempertikaikan tindakan tersebut.

Kita juga jangan jadi seperti suara Pak Pandir yang berfikir tentang kesamarataan yang tidak seimbang. Apabila dia ingin menyeberangi sungai, dia terlihat sebatang kayu rapuh yang merentanginya. Dia mendapati bahawa ratusan ekor semut dapat meniti di atas kayu tersebut, lantas memikirkan bahawa ratusan semut pun boleh menyeberangi, apatah lagi dirinya yang seorang. Lantas dia terjatuh dalam sungai tersebut setelah kayu yang dititinya itu patah, disebabkan menyamakan dirinya dengan semut.

Dunia milik Allah ini memerlukan kepelbagaian untuk dimakmurkan. Kepelbagaian ini diurus dengan baik agar menjadi satu kesatuan, bukanlah satu perbezaan. Makmurkanlah dunia ini di atas dasar ibadah, khilafah dan amanah. Dalam sejarah Islam, mencatatkan kehebatan Islam di persada dunia.

Islam datang dengan pembukaan, bukanlah penjajahan, tidak seperti penjajah penjajah barat. Islam memberi kebebasan kepada rakyat sesebuah negara untuk menganut agama masing masing, tidak seperti penjajah barat yang membunuh rakyat setempat, yang berbeza enggan menerima ajaran mereka.

Dalam konsep pembukaan Islam, Islam menjaga ahli ilmu dengan baik, dan memanfaatkannya untuk kebaikan negara dan bersama. Islam bukanlah sepertimana yang digambarkan dalam kisah "Singapura Diserang Todak" yang menceritakan kecerdikan seorang budak, yang mencadangkan agar menggantikan betis dengan batang pisang sebagai benteng. Apabila pihak pemerintah khuatir disebabkan kepintarannya, dia akan diangkat sebagai raja, lalu budak tersebut dibunuh.

Islam bukanlah sepertimana kisah arkitek yang hebat membina istana yang megah, lantas tangannya dikudungkan disebabkan kehebatan seni tangannya, bagi mengelakkan persaingan terhadap keindahan istana tersebut. Islam adalah agama yang menjaga ahli ahli ilmu, dan memanfaatkan mereka untuk membina dan memajukan tamadun serta negara.

Inilah Islam, Islam menolak jahiliyyah walaupun ia datang dari Mekah. Islam menyuruh kita menuntut ilmu walau ke Negara China. Islam tidak melebarkan jurang perbezaan, sebaliknya mengikat dengan persamaan dalam perbezaan.

Penubuhan PAS yang terdiri dari kalangan kepelbagaian bidang dan kepakaran anggota anggotanya. Inilah pentingnya konsep pembangunan Insan dalam Islam. Tidak mungkin wujudnya pembangunan ekonomi tanpa pembangunan Insan yang mampu mengurus ekonomi dengan baik dan amanah.

Jangan bandingkan Pulau Pinang dan Selangor, dengan Kelantan. Kelantan yang diperintah lebih 20 tahun, mungkin tidak mampu menyiapkan lebuhraya kerana sumber negeri yang terhad. Manakala Pulau Pinang dan Selangor pula kaya dengan sumber negerinya. Akan tetapi kita boleh lihat sendiri bahawa Kelantan telah berjaya memajukan pembangunan insan dengan cemerlang, melahirkan individu individu hebat di seluruh Malaysia yang berasal dari Kelantan.

Janganlah kita jadi seperti kacang yang lupakan kulit, atau ubi yang lupa batangnya. Hudud yang ingin diperjuangkan di Kelantan adalah salah satu daripada undang undang Islam, di era kegagalan undang undang buatan tangan manusia. Ini kerana hudud menggariskan wawasan sehingga selepas mati, bukan hanya terhad dengan kehidupan dunia.

Tetapi di kala ini manusia masih berkeras ingin menolak hudud walaupun undang undang manusia sudah jelas tidak menjadi penyelesaian. Apakah mereka merasakan mereka lebih hebat daripada Allah yang mencipta diri mereka? Allah SWT berfirman,

قُلْ أَأَنْتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ
Katakanlah (wahai Muhammad) : Adakah kamu lebih mengetahui, atau Allah?
(Surah al Baqarah : 140)


Terus beristiqamah,

Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
6 Rabi'ul Akhir 1436
Isnin , 26 Januari 2015
paktehrazman.blogspot.com

0 comments:

Catat Komen