Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Isnin, 1 Disember 2014

GENAP SETAHUN, JAWATAN ADALAH AMANAH, BUKAN KEBANGGAAN

Tanggal 1 Disember 2013 saya telah menerima watikah perlantikan memikul amanah sebagai Pesuruhjaya PAS Perak. Insan yang lemah ini ingin menginfakkan sisa hidup yang berbaki ini dengan berkhidmat sepenuh masa menyabung perjuangan Nabi Muhammad SAW yang juga telah menjadi sebuah taklifan jemaah terhadap diri ini

Semalam, 30 November, kami bersama Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sempat menziarahi pusara Tuan Guru Ustaz Kamaruddin Awang Basir. Dahulunya seorang pernah menjawat sebagai pensyarah, namun apabila dihubungi oleh PAS untuk bertanding di Pilihanraya, beliau berkata;

"Ini arahan jemaah atau cadangan seseorang?"

Lalu dijawab bahawa ia adalah arahan jemaah, lantas beliau meletakkan jawatannya bergegas menuruti arahan jemaah tanpa banyak kerenah basi serta alasan.

Diri ini terasa amat berat dengan tanggungjawab yang diberi ini. Timbul di benak ini, bagaimana hendak menggalas tanggungjawab jamaah yang sebesar ini. Hati ini berbisik mengimbau kata kata Saidina Abu Bakar as Siddiq RA di kala diangkat menjadi khalifah,

أيها الناس ، فإني قد وليت عليكم ولست بخيركم ، فإن أحسنت فأعينوني وإن أسأت فقوموني

Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah diangkat sebagai pimpinan kamu sedangkan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu, maka sekiranya aku bertindak betul, bantulah aku, sekiranya bertindak salah, betulkan aku.

Hasil daripada keratan keratan pengalaman yang tidak seberapa membantu di cawangan dan kawasan, alhamdulillah terasa lancar untuk menggiatkan gerak kerja ku terhadap Islam.

Lantas, di awal perlantikan saya telah menggariskan beberapa visi dan misi agar pergerakan ini terhala ke arah destinasi yang dituntut. Dalam pada itu, empat gagasan utama yang digariskan menjadi stamina kepada petugas petugas gerakan Islam,

1. Memperkasakan parti,
penumpuan kepada ROS,
pemutihan keahlian dan penambahan cawangan

2. Memperkemaskan strategi untuk memenangi PRU14.

3. Mengukuhkan kedudukan kewangan.

4. Memperkasakan Tarbiah.

Setelah genap setahun mengemudi bahtera ini, baru merasai bahawa bukan mudah untuk mengendalikannya. Bercakap kosong tidak semudah dengan gerak kerjanya yang padat. Bukan mudah untuk menyatukan fikrah dan menyelaras amal (gerak kerja).

Diri ini juga memahami mengapa ancaman Allah terhadap kelompok yang melanggar hukumNya sangat besar dan dahsyat. Apabila pengkhianatan itu berleluasa, orang orang jahat diangkat sebagai pimpinan serta rakyat ditindas, maka segeralah mencari Islam sebagai penyelesaian. Janganlah mengemukakan andaian andaian atau idea idea yang tidak selari dengan syariatNya.

Ingat, kerja jamaah mesti diteruskan, dengan nafas baru yang dapat bertahan lama. Sekiranya sesebuah pasukan itu gagal, kegagalan itu bukan kerena mereka, sebaliknya ia adalah kesilapan panglima atau commander menyusun strategi. Oleh itu, ketenteraan perlu dipilih dan dilatih bagi memastikan kegagalan tersebut dapat dielakkan.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

1 Disember 2014

0 comments:

Catat Ulasan