Ijtimak Tarbawi 4.0 telah melabuhkan tirainya. PAS Perak pula menanti ketibaan Nadwah Muallimin pada 20 Disember ini di Markas Tarbiah PAS Air Kuning, anjuran Dewan Ulamak PAS Perak. Insya Allah program tarbiah ini bakak melahirkan kepimpinan akan datang, menjadi nakhoda mengemudi bahtera di lautan yang luas ini.
Perumpamaan ini telah dinyatakan oleh Nabi SAW;
مثل القائم على حدود الله والمدهن فيها كمثل القوم استهموا على سفينة فى البحر فأصاب بعضهم أعلاها وأصاب بعضهم أسفلها فكان الذي فى أسفلها إذا استقموا من الماء مروا على من فوقهم فقال الذين فى أعلاها لا ندعكم تصعدون فتؤذونا فقالوا : لو أنا خرقنا في نصيبنا خرقا ولم نؤذ من فوقنا فإن يتركوهم وما أرادوا هلكوا جميعا وإن أخذوا على أيديهم نجوا ونجوا جميعا
Perumpamaan orang menjaga hudud Allah dan orang yang melanggarnya ialah seperti suatu kaum yang sama-sama menaiki kapal. Lalu sebahagiannya duduk di bahagian atas dan sebahagiannya duduk di bahagian bawah. Apabila orang-orang yang duduk di bahagian bawah hendak mendapatkan air mereka meminta tolong dari orang yang duduk di atas. Maka mereka berkata "Alangkah baiknya sekiranya kita tebuk satu lubang di bahagian kita ini, maka kita tidak menyusahkan orang yang duduk di atas." Sekiranya orang-orang yang duduk di atas membiarkan mereka yang di bawah melakukan apa yang mereka mahu, maka mereka semua akan binasa dan sekiranya merek melarangnya maka mereka semua akan terselamat". (riwayat Bukhari dan Tirmizi)
Pengisian yang padat dengan pembinaan rohani dan penyelarasan fikrah. Di sinilah akan lahirnya pengukuhan yang kuat, teguh dan tahan lama. Inilah yang dipanggil sebagai istiqamah.
Entah kenapa, saya teringat dengan penghujung Ijtimak Tarbawi yang memberi ruang kepada seorsng tokoh murabbi PAS, iaitu pengisian haraki oleh Ustaz Hashim Jasin, salah seorang murabbi lama dalam PAS. Beliau menyentuh beberapa bab penting dalam peristiwa Perang Uhud.
Sebuah perang yang terjadi pada bulan Syawal menyaksikan pertembungan dengan Quraisy Mekah. Plot krisisnya dimulai dengan Abdullah bin Ubai bin Salul menjadi dalang memecahbelahkan umat Islam menghasut agar menarik diri daripada peperangan.
Dengan pengaruh yang ada, seramai 300 orang menarik diri daripada perang. Mereka tidak dipilih oleh Allah sebagai ahli Uhud. Apatah lagi ketenteraan musuh Islam seramai 10 000 orang. Di sinilah elemen ketaatan kepada Rasulullah sebagai pimpinan itu diaplikasikan.
Mereka yang tarik diri daripada peperangan telah menggadaikan prinsip wala', berpaling tadah mengikut kehendak munafik. Tambahan pula mereka berpaling tadah atas dasar tidak bersetuju dengan ketetapan yang dibuat oleh mesyuarat peringkat Rasulullah SAW.
Umat Islam diuji lagi dengan elemen wala' apabila diarahkan supaya pasukan pemanah kekal di posisinya sehinggalah arahan baru dikeluarkan. Namun, disebabkan keuntungan duniawi, mereka turun daripada bukit posisi asal mereka turun merebut harta rampasan. Wala' mereka tergadai kerana mengejar keuntungan sementara.
Ketika itulah tentera Islam diserang dari arah belakang, sehingga terbentuknya sekumpulan khas yang mempertahankan Rasulullah sebagai pimpinan. Kumpulan khas ini diserang sehinggalah berbaki dua orang sahaja iaitu Talhah bin Ubaidillah dan Abu Ubaidah al Jarrah yang menjadi benteng terakhir mempertahankan Rasulullah.
Hendaklah kita menggolongkan diri kita dalam kumpulan mereka yang mempertahankan pimpinan di kala serangan musuh. Ketika inilah pihak musuh Islam menyangka telah membunuh Rasulullah SAW lantas mempropogandakan berita tersebut sehingga melunturkan semangat beberapa tentera Islam.
Setelah diperiksa dan diteliti, akhirnya mereka mendapati bahawa Rasulullah SAW masih hidup. Di sinilah peranan ahli gerakan yang perlu teliti dalam menghadapi propoganda musuh yang ingin menjatuhkan kepimpinan Islam. Lantas umat Islam bangkit sehinggalah memperolehi kemenangan.
Ingat, kitalah yang perlu mempertahankan kepimpinan hingga ke benteng terakhir, selepas itu akan munculnya propoganda yang dahsyat. Di kala itulah Islam bangkit sehingga menang. Bersabarlah dengan ujian ini, kemenangan itu berbaki beberapa plot daripada sirah ini.
Semoga catatan ini bermanfaat buat semua ahli gerakan. Sabarlah dalam menghadapi ombak dan badai yang menghalang perjalanan bahtera ini. Berpautlah pada tiang tiang kapal, jangan terjun dek kerana tidak tahan dengan cabarannya, kerana bahaya di dalam laut lebih menakutkan.
Terus beristiqamah,
Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
Sabtu, 21 Safar/13 Disember
0 comments:
Catat Ulasan