Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selasa, 20 Januari 2015

SEPATUTNYA FOKUS KEPADA GERAK KERJA MENJELANG MUKTAMAR


Sejak sehari dua ini, mula timbul isu untuk menggantikan TGHH sebagai Presiden PAS, walhal Mesyuarat Agung Cawangan baru sahaja bermula. Cawangan pun belum habis mesyuarat lagi, sudah bincang nak tukar pimpinan. Sabarlah, benih pun belum selesai disemai, sudah bincang nak merasa pucuk ulamnya.

Saya ingin berkongsi pandangan, bukan kerana diri ini terlalu hebat boleh membaca lenggok, apatah lagi bukanlah seorang yang maksum. Akan tetapi saya merasakan ia sangat selari dengan apa yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT.

Kita dalam PAS bukanlah memperjuangkan tubuh badan seseorang. Kita bukan memperjuangkan Presiden bukanlah kerana kepentingan ataupun andaian akal. Akan tetapi kita memperjuangkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kerana ilmunya, pengalaman, kepakarannya, ketegasan yang berprinsip serta istiqamah dalam menilai sesuatu di atas kepentingan Islam.

Pemimpin tetap datang dan pergi, tidak perlu saraf sesama sendiri. Semua kita sudah cukup dewasa untuk memahami hal ini. Presiden tidak kekal dan tidak ada peruntukan yang melarang untuk mencabar jawatan tersebut. Siapa yang merasai hebat, silakanlah untuk dicalonkan, biar jamaah sendiri yang menilai.

Dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, menceritakan tentang sikap golongan munafik yang mencari pengaruh, kerana beranggapan bahawa Nabi Muhammad SAW menjadi penghalang kepada cita-cita dirinya. Siapa yang tidak kenal dengan Abdullah bin Ubai? Berada bersama Nabi SAW tapi pada masa yang sama melancarkan serangan saraf dengan tindakan untuk menjatuhkan Rasulullah SAW.

Siapa yang bakal menerajui PAS atau siapakah barisan kepimpinan akan datang, segalanya percaturan Allah SWT. Adakah wajar kita sibuk berbincang tentang "percaturan Allah" sedangkan gerak kerja dan amanah kita masih belum terlaksana? Fahamilah Firman Allah SWT,

(لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ)
Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.
(Surah al Anbiya : 23)

Di akhirat kelak, Allah tidak akan bertanya tentang apa yang dilakukanNya, akan tetapi apa yang dipersoalkan ialah apa yang kita lakukan.

Fokus kepada tugasan dan amanah yang belum diselesaikan. Berusaha memastikan jamaah kita benar-benar merupakan Gerakan Islam yang menjadi mata rantai kepada perjuangan Rasulullah SAW? Atau sekadar berslogankan Islam, tetapi memperjuangkan kepentingan yang lain dari mencari redho Allah?

Ayah masih hidup sihat wal afiat, akan tetapi anak anak sudah berkira pembahagian harta dan penguasaan, sedangkan tanggungjawab mereka terhadap si ayah belum tertunai. Saya nasihatkan diri saya khususnya agar tidak menari mengikut rentak musuh atau menolong agenda musuh dengan sedikit kepentingan dunia. Marilah lakukan apa saja dengan diri dan harta untuk mempertahankan kepimpinan jamaah. Pastikan jamaah dipimpin oleh mereka yang memahami Islam. Berdoa Agar umur dan harta yang dihabiskan ada nilaian di sisi Allah SWT serta terpelihara dari Azab Allah.


Terus beristiqamah

Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
1 Rabiul Akhir 1436
Rabu 21 Januari 2015

0 comments:

Catat Ulasan