SEMOGA SELAMAT DUNIA AKHIRAT

Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT BERJUANG

Maaf Zahir dan Batin, Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT HARI MALAYSIA

Maaf Zahir dan Batin, Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN

Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR

Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT HARI RAYA IDUL ADHA 1436H

Istiqamah Hingga Kemenangan

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Jumaat, 28 November 2014

DAKWAH NON MUSLIM : PAS PERLU ZAHIRKAN ISLAM, BUKAN IDEALISME BARAT

Begitu juga dengan Islah dan Berjasa. Mereka juga telah merealitikan apa yang dilakukan oleh kumpulan kumpulan terdahulu yang telah berkubur. Bagi mengelakkan isu ini terkambus begitu sahaja, maka usaha usaha untuk menghangatkannya dipergiatkan.

Kita perlu sedar, sesebuah jemaah tidak mungkin dapat bertahan lama sekiranya ditubuhkan kerana perasaan kerana perasaan tidak selamanya membenci. Kadangkala timbulnya rasa sayang. Jemaah yang ditubuhkan atas dasar "seseorang" juga tidak bertahan lama kerana orang itu pasti mati.

Maka berdirilah bersama jemaah yang bermatlamatkan Allah Yang Maha Kekal. Insya Allah perjuangan ini akan kekal hingga ke akhir zaman. Inilah perjuangan para rasul, yang disambung oleh generasi hari ini.

Apabila terbaca transkrip palsu dialog wakil pimpinan tertinggi PAS dan Pasma yang telah di viral, saya mengajak supaya kita semua untuk fikirkan bersama;

a) Mereka telah menimbulkan persepsi buruk seolah-olah MSU tidak telus dan membuat keputusan terburu buru tanpa kajian dan keahlian yg penuh. Walhal MSU tidak mungkin mengeluarkan satu kenyataan yang cacamarba.

b) Mereka cuba menimbulkan kekeliruan terhadap diatas herarki pemutus keputusan dalam PAS samada MSU atau AJK PAS Pusat. Walhal kita jelas bahawa MSU adalah pemutus dasar, manakala AJK PAS Pusat adalah pelaksananya.

c) Mereka cuba menimbulkan pertikaian terhadap kredibiliti Presiden PAS dengan kenyataan parti telah hilang arah di bawah kepimpinannya, walhal ia hanyalah persepsi mereka. Contohnya apabila seseorang yang tidak dapat marah, sudah pasti perkara yang dimarahinya "diperindahkan" bagi merasionalkan kemarahannya.

d) Mereka menimbulkan persepsi agar meletakkan wala' yang lebih tinggi kepada kepimpinan lain daripada kepimpinan PAS sendiri. Cuba bayangkan kewajaran seorang anak merosakkan rumahtangganya dek kerana mendengar arahan jiran sebelahnya.

Perlu diingat,  disiplin berjamaah PAS ada baiahnya iaitu semasa mengisi borang untuk menjadi ahli PAS. Rukun baiah jamaah harakah Islam yang ampuh ini cuba dirobek dan diliberalisasikan menjadi satu kelonggaran yang melerai. Aliran pemikiran dan disiplin PAS ini mengalir dan menjadi contoh kepada jemaah jemaah yang lain.

Oleh itu dicadangkan supaya Pasma lebih fokus kepada perkara perkara memperkukuh PAS dan kesatuan ahli, bukannya meruntuh kekuatan dan meleraikan kesatuan ahli. Gariskan objektif dan wadah perjuangan dengan jelas, serta fahaman dan rupa bentuk negara serta tamadun pemikiran rakyat yang diperjuangkan. Dengan itu mungkin mereka dapat menarik rakyat Malaysia dan ahli UMNO untuk menguatkan pakatan rakyat.

PAS bertahalluf dengan pakatan sepatutnya membawa agenda dan fikrah PAS dalam Pakatan Rakyat. Di sinilah dakwah kita. Bukannya membawa idea idea Pakatan Rakyat untuk dipaksa-terima oleh PAS sekalipun bercanggah dengan syarak.

Ditegaskan sekali lagi bahawa PAS telah lalui berbagai pengalaman jatuh bangun yang panjang dengan aliran fikrah perjuangan yang jelas. Dinasihatkan kepada ahli dan pimpinan jangan bersolat dalam surau atau mosalla atau masjid yg dibina dalam masjid. Kita tidak sepatutnya terpengaruh dengan fikrah perjuangan yang salah. Fikirkan kenapa ulamak yang memperjuangkan "Din Islam wa Daulah" tidak boleh bersama UMNO.

Terus beristiqamah,

Hj. Razman Hj. Zakaria Pesuruhjaya PAS Perak,

Cetusan dalam perjalanan ke pejabat perhubungan

Pagi 27hb Nov 2014

Rabu, 26 November 2014

PENDAKWAH PERLU PUNYAI DISIPLIN ILMU ISLAM

Petang tadi, setelah menyelesaikan beberapa urusan, langkahan ini sempat menyinggah ke wacana di pejabat Sinar Harian di Shah Alam.

Tajuk menarik yang dibincangkan, iaitu "Cabaran Dakwah di Malaysia". Telinga ini meneliti satu persatu isi perbincangan, lalu terhasillah beberapa kesimpulan yang boleh dibuat daripada wacana tersebut.

Medan dakwah masih luas dan masih banyak belum diterokai. Sikap masyarakat Islam di Malaysia jarang sekali berdakwah kepada rakan kenalan atau jiran yang tidak beragama islam. Berdasarkan kajian terhadap orang Islam 100% responden mengetahui dakwah itu wajib tetapi kewajipan itu tidak dilaksanakan.

Kegiatan agama Islam di Malaysia lebih bersifat muallim (mengajar) iaitu mengajar kepada orang yang sudah Islam. Bahkan hampir tiada dakwah kepada bukan Islam.

Hasil kajian, sebanyak 99% daripada non muslim di Malaysia tidak pernah diberitahu tentang Nabi Muhammad SAW dan tidak pernah diajak untuk mengetahui apa itu Islam.

Wacana turut membentangkan bahawa kaedah dakwah wajib mengikut methodologi Nabi SAW, seiring dengan firman Allah SWT :

(لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا)

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (Surah al Ahzab : 21)

Dari aspek ideologi pula, pendekatan dakwah kepada orang bukan Islam yang berfahaman akal seperti SIS, liberalisme dan Pluralisme mestilah dilaksanakam oleh mereka yang faqeh disiplin ilmu agama Islam, bagi mengelakkan berlaku kecelaruan fikrah kepada pendakwah.

Islam tidak "extreme" (melampau) dan tidak pula longgar selonggar longgarnya serta wajib mengikut sepenuhnya nas yang jelas. Di sinilah pendakwah perlu kaya dengan seni Ilmu Islam yang luas ini. Bukanlah memadai dengan kefahaman yang singkat dan tumpul.

Catatan dalam perjalanan dari Klang ke Lenggong

Terus beristiqamah

Hj Razman Hj Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak,
26 November 2014,
8 malam.

Selasa, 25 November 2014

SAMBUTAN ULANG TAHUN PAS KALI KE 63 DI KUALA KANGSAR


Saya menyeru kepada seluruh warga Perak untuk meningkatkan momentum perjuangan dan perkukuhkan istiqamah di dalam jiwa. Kita perlu kembalikan semangat juang anak Perak, selari dengan kefahaman dan disiplin sebagai ahli gerakan.

Gerakan Islam PAS bermula dengan penubuhan Hizbul Muslimin pada Mac 1948 melalui perhimpunan ribuan ulamak tanah air di Gunung Semanggol Perak. Sejarahnya terpahat kuat di lembaran sejarah gerakan.

Perak juga merupakan negeri pertama yang melahirkan kemenangan satu kerusi parlimen buat PAS, melalui kaedah demokrasi pilihanraya. Kemunculan Dr Burhanuddin al Helmy dan Ustaz Abu Bakar al Baqir yang merupakan tokoh pejuang Perak, turut menyumbang saham banyak dalam percaturan kemenangan gerakan Islam PAS.

Sambutan Ulang Tahun PAS ke 63 kali ini Perak sebagai Tuan Rumah bagi mengangkat semula PAS Perak serta menggilap kembali saduran emas sejarah PAS. Gunung Semanggol menjadi saksi bahawa PAS itu bermula di sini.

Kini PAS sudah bertapak di Kelantan, Terengganu Kedah, Selangor dan Johor yang sudah mempunyai 4 kerusi. Perak perlu ke hadapan dalam melakar kemenangan ini. Dengan lukisan potret sejarah yang halus, Perak perlu menyelak kembali tirai yang menutupnya.
"Gerak dan hebahkan supaya pimpinan, ahli pendokong serta penyokong di semua peringkat dapat turun memeriahkan Sambutan Ulang Tahun PAS Pusat ke 63  pada 29 November 2014  peringkat Negeri dan 30 November 2014 peringkat kebangsaan. Di padang Komplek Pas Kuala Kangsar Depan Istana,Bukit Chandan."

Terus beristiqamah,

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
25 November

OKZ : CATATAN DI MAHKAMAH RAYUAN BILIK 3

Hari ini, 25 November, saya telah mengosongkan masa untuk bersama 13 orang kena zalim (OKZ) di Mahkamah Rayuan Putrajaya Bilik 3. Ia adalah susulan daripada kes demo depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat bertarikh 6 Februari 2009.

13 okz telah pun dibebaskan di Mahkamah Tinggi Taiping tempoh hari manakala pendakwaraya membuat rayuan hari ini didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Kes ini ditangguhkan sehingga 13 Januari 2015, dengan alasan Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan dengan berdasarkan tayangan ganti video. Hakim perlu menyaksikan video tersebut sebelum keputusan dibuat.

Sama sama kita doakan keadilan buat mereka. Kebenaran itu pasti tersingkap walaupun kebatilan itu cuba menyelubunginya. Bersabar itu satu ketenangan buat mereka yang merasai ia sebuah ujian.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
25 November

Isnin, 24 November 2014

Para murabbi mengakhiri hayat mereka dalam perjuangan dengan istiqamah hingga ke penghujungnya

CATATAN DALAM PERJALANAN KE MESYUARAT PERSIAPAN MAKAN MALAM MARHEIN :   Di Markas Tarbiah PAS Kawasan Pandan


Dalam permusafiran yang jauh dan kerap ini, saya sempat membelek iPhone membaca al Quran sambil menanti tiba ke destinasi. Hati ini terdetik untuk membaca Surah al Munafiqun, tetapi apabila tiba ayat keempat, hati ini tergerak untuk cuba memahaminya.
Allah SWT berfirman,

Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?

Inilah kekayaan Al-Quran, sebuah mukjizat yang memberi rahmat sekalian Alam. Tidak ada yang tertinggal dan terlepas daripada pandangan Allah, semua sifat manusia digariskan dengan terperinci olehNya.

Kita sebagai hambanya wajib mengetahui sifat- sifat buruk yang dibenci Allah, mudah-mudahan kita dapat menghindar diri daripadanya. Kita juga wajib mengenali sifat-sifat mulia yang dikehendaki oleh Allah SWT, mudah-mudahan kita dapat berusaha ke arah mencapai martabat yang dikehendaki olehNya.

Masih segar diingatan ini, pemergian para murabbi yg begitu ramai menemui Allah sejak akhir-akhir ini. Almarhum Tuan Guru Harun Taib, Almarhum Ustaz Yahya Osman, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, Almarhum Syeikh Muhammad Abdullah, manakala Jumaat baru baru ini kita kehilangan Almarhum Ustaz Kamaruddin Awang Basir.
Mereka telah terbukti mengakhiri hayat mereka dalam perjuangan, istiqamah hingga ke penghujungnya. 

Allah SWT memperlihatkan tanda tanda kebesaran rahmatnya di hari pemergian mereka. Mereka telah selamat pergi dengan husnul khatimah, sedangkan kita masih belum tahu bagaimana pengakhiran kita. Jawapan ada terbuku di hati kita dan tindakan tergenggam ada di tangan kita.

Semoga Allah SWT melindungi kita daripada sifat yang di murkaiNya, serta menjauhkan kita daripada hati yang berbolak balik. Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati manusia, kekalkanlah hati-hati ini di atas jalanMu.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
24 November 2014

paktehrazman.blogspot.com

Ahad, 23 November 2014

ISU MAJLIS BERKHATAN : Kerajaan Perlu Profesional Dalam Berdemokrasi

Majlis berkhatan beramai-ramai di Taiping [ 23 Nov 2014 ]
PAS Perak melahirkan rasa kesal terhadap diskriminasi pihak kerajaan Barisan Nasional yang dilakukan bagi menghalang usaha usaha baik yang dilakukan oleh PAS dan Pakatan Rakyat umumnya.

Klik imej untuk lebih jelas
Selama 6 tahun, Yang Berhormat Nga Kor Meng, Ahli Parlimen Taiping telah mengadakan Majlis Khatan Perdana. Kali ini program diadakan di Surau al Munawwarah, Taman Desa Jana, Taiping, sebagai salah satu daripada aktiviti kemasyarakatan sebagai seorang wakil rakyat.

Malangnya program ini telah dihalang oleh pihak pihak yang tidak bertanggungjawab atas alasan unsur politik. Agak pelik apabila Majlis Khatan Perdana boleh dikaitkan dengan politik.

Dalam masa yang sama, program berkhatan anjuran UMNO di Surau Abna Kampung Jana dibenarkan berlangsung. Mengapa program kebajikan seperti ini turut dimainkan oleh UMNO Barisan Nasional?

Kalau semurah inilah sikap UMNO Barisan Nasional, di manakah profesionalisma kalian? Di manakah ketelusan dalam berdemokrasi? Rakyat seharusnya jelas tentang diskriminasi UMNO Barisan Nasional terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Kita boleh lihat apa yang sedang terjadi di Terengganu, Unit Amal Parti Islam Semalaysia PAS dihalang daripada memberi bantuan kepada mangsa banjir. Apakah wajar isu kebajikan seperti ini dilabel sebagai unsur politik?

Justeru, saya menggesa kepada pihak Kerajaan UMNO Barisan Nasional agar lebih profesional dalam mengurus negara. Jangan sampai kebajikan rakyat tergadai disebabkan taksub atau sentimen kepartian.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
23 November

Sabtu, 22 November 2014

TULISAN BISIKAN HATI YANG TERTANGGUH: Bersatulah kita atas dasar Akidah Islam yang mentauhidkan Allah Yang Maha Esa

Bersama Dato Najmi YDP Baling ziarah Ust Awang Tuan Guru Pondok Lanai
Khamis, 20 November baru baru ini, saya mencuri kesempatan untuk menziarahi Tuan Guru Awang Lanai yang sedang sakit. Keesokannya pula Jumaat 21 November mendapat khabar duka pemergian Tuan Guru Ustaz Kamaruddin Awang Basir, Ketua Dewan Ulamak PAS Perak. Semalam, Sabtu 22 November juga  mendapat khabar duka pemergian Tuan Guru Haji Hashim Mat Anang, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak serta Mudir Maahad Irshadiah.

Setibanya di Pondok Tuan Guru Haji Awang Lanai, berkongsi cerita dan pengalaman manis beliau. Kisah kisah yang terpahat hanya di hati, tiada tertulis di mana mana karya.
Beliau meneruskan kesinambungan legasi yang dicetuskan oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi, antara tokoh yang mempertahankan Almarhum Ustaz Ibrahim Libya dalam peristiwa berdarah 19 November 1985.

Berbekalkan pengalaman yang luas serta keilmuan yang tinggi, Tuan Guru Haji Awang Lanai yang juga diberi mandat sebagai YDP PAS Kawasan Baling hampir 30 tahun.

Di kesempatan ziarah pada 20 November ini, Tuan Guru mencoretkan beberapa plot berdarah Memali yang berlaku ada 19 November 1985. Inilah tarikh hitam pengkhiatan rejim Barisan Nasional terhadap institusi pondok serta gerakan Islam PAS khususnya.

Di kala itulah, Tuan Guru Ustaz Ibrahim Libya ditembak di kediamannya sendiri, bukan di lokasi jenayah, mahupun di medan pemberontakan. Beliau syahid berlumuran darah di pangku isterinya, meninggalkan sebuah warkah penulisan yang bertajuk "Warkah Syahid Untuk Syahid".

Kita sebagai generasi pelapis hari ini, marilah kita sama sama menyedekahkan al Fatihah buat para syuhada yang gugur mempertahankan Akidah Islam. Jasa almarhum terhadap PAS sangat besar, beliau sanggup melepasan jawatan sebagai Pegawai Agama atas dasar kefahaman bagi memahamkan masyarakat Memali. Legasi mulia ini diteruskan hinggalah ke hari ini, dengan pemergian Almarhum Tuan Guru Ustaz Kamaruddin Awang Basir.
Tuan Guru Ustaz Kamaruddin Awang Basir : Perginya seorang tokoh murabbi ummah
Wahai anak muda, pengorbanan mereka amat besar buat kita. Siang dan malam bermusafir jauh bagi menyuluh hati hati yang kegelapan. Pengorbanan mereka ini akhirnya dapat dinikmati oleh kita hari ini, maka, hargailah!

Keringat mereka diperah bagi menyatukan umat Islam di Malaysia, mengkaderkan pelapis, serta memperjuangkan hak! Apakah kita hari ini sanggup menggadaikan pengorbanan orang dulu kerana mengejar pangkat dan dunia yang sementara?

Bersatulah kita atas dasar Akidah Islam yang mentauhidkan Allah Yang Maha Esa. Janganlah kita dipecahceraikan oleh pemikiran pemikiran manusia yang membelok di persimpangan jalan.

Mencoret peringatan dalam musafir 23 November. 

Terus beristiqamah.

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

Khamis, 20 November 2014

Tuan Guru Ustaz Kamaruddin Awang Basir : PERGINYA SEORANG TOKOH MURABBI UMMAH


إنا لله وإنا إليه راجعون .. اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه . اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه واكرم نزله ووسع مدخله واغسله بالماء والثلج والبرد ونقه من الخطايا كما نقيت الثوب الابيض من الدنس وابدله دارا خيرا من داره وأدخله الجنة وأعذه من عذاب النار

Menerima berita kematian Tuan Guru Ustaz Kamaruddin Awang Basir, Ketua Dewan
 Ulamak PAS Perak. Kehilangannya sangat dirasai, apabila pergi menemui Allah sebagai seorang Ketua Dewan Ulamak yang menjadi saksi perjuangannya hingga ke akhir h

Baru sahaja beberapa hari lepas saya bersama rakan rakan menziarahi beliau di hospital. Dengan kehebatannya khususnya dalam bidang Tauhid dan Usuluddin, beliau mencetak ilmu ilmu di dalam dada kader kader perjuangan PAS.

Hari Jumaat 21 November, bersamaan 28 Muharram 1436, jam 9 pagi, di celahan waktu Dhuha yang tenang, murabbi ummah ini menghembuskan nafas akhirnya. Saya tercari cari pelapis generasi muda yang bakal menyoroti silsilah perjuangannya.

Beliau pernah menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, pernah diberi amanah sebagai Pengetua Maahad Ihya asy Syarif di era kebangkitan Islam di sana, sehinggalah pernah menjawat sebagai Pesuruhjaya PAS Perak. 

Setelah berhenti berkhidmat di Maahad Ehya Asy Syarif, beliau menubuhkan pusat pendidikan Darul Taalim, mendidik tanpa mengira umur dan masa sehinggalah menemui Allah pada hari ini pusat pendidikan tersebut masih terus memberi jasa kepada masyarakat. 

Ketegasan berprinsip di zaman mudanya, berterusan sehinggalah menjawat Ketua Dewan Ulamak PAS Perak yang menjadi saksi jasanya di dalam PAS di hadapan Allah SWT. Pengalaman yang luas, sepenuh umurnya sarat dengan usaha meninggikan Kalimah Allah yang dahulunya menjadi asing bagi manusia, sehinggalah ke hari ini Islam mula dikenali di Malaysia dan Perak khususnya.

Bertepatan dengan tema Muktamar PAS baru baru ini, "terus beristiqamah". Beliau wajar dijadikan contoh tauladan yang beristiqamah sehingga ke penghujung. Jumaat dua minggu lepas, 7 November merupakan Liqo Fikri PAS Perak di Markas Tarbiah PAS Air Kuning, beliau menghadirkan diri walaupun keuzuran.

Semoga semangat juangnya berterusan ke dalam jiwa kader kader gerak kerja Islam PAS.

Terus beristiqamah

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
21 November

Rabu, 19 November 2014

AGENDA MENURUNKAN TGHH SEBAGAI PRESIDEN ANGKARA SIAPA?

1. Saya menggesa agar mana mana individu yang terlibat dalam agenda ini supaya fahamkan erti sebenar perjuangan PAS yang meletakkan Allah dan Rasul sebagai kuasa pemutus yang tertinggi. Bukanlah muktamar, mesyuarat AJK PAS Pusat atau sesiapa pun termasuk Presiden PAS sendiri. Apabila Presiden membuat keputusan yang bercanggah dengan Allah dan Rasul, kita tolak. Sekiranya tidak, wajib bagi kita untuk mematuhinya.
Sabda Nabi SAW
لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق
Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara yang menjadi maksiat kepada Allah.

2. Maka, persoalan yang saya ingin lontarkan ialah, kenapa terlalu menggilakan jawatan tersebut sehingga merancang untuk menjatuhkan Presiden yang sedia ada, sedangkan kamu juga perlu ikut al Quran dan Sunnah. Inilah bezanya antara wala dalam Islam dan wilayatul faqeh dalam ajaran sesat. Iaitu, pimpinan tertinggi dibenarkan membuat keputusan atau arahan selagimana tidak bercanggah dengan syarak. Konsep wilayatul faqih pula, pimpinan tertinggi wajar membuat keputusan atau arahan, walaupun bercanggah dengan syarak. Yang mana kalian cari? Mengapa perlu gilakan jawatan itu sedangkan kalian juga terikat dengan dasar syarak.

3. Adakah kalian kenal siapakah yang berusaha siang dan malam mengkaderkan ahli PAS di atas kefahaman syarak? Kenalkah kalian ustaz ustaz yang tidak tertonjol di dada akhbar dengan gaya poligam, mereka bersusah payah menghidupkan manhaj Islam di dalam dada kader kader PAS? Merekalah yang cair dengan ilmu agama, membezakan batas iman dan kekufuran, menghidupkan roh roh perjuangan, serta memahamkan ummah tentang pemikiran asing yang bertandang ke gawang gerakan Islam hari ini, seperti liberalisme, syiah, sekularisme, pluralisme dan banyak lagi. Usaha mereka di balik tirai ini tidak pernah diminta untuk disiarkan di dada akhbar bagi meraih populariti murahan.

4. Kalian kenalkah siapa mereka yang menganggotai Majlis Syura Ulamak? Kenalkah mereka dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang sedang mengemudi bahtera ini? Adakah ilmu, kefahaman dan tarbiah yang mereka lalui sekadar sehari dua? atau seminggu dua? Berbekalkan bacaan al Quran yang belum kemas dan kitab arab tak pernah dibuka, tiba tiba kalian pula muncul mengatakan itu salah dan ini salah? Mana sikap profesional yang kamu laung laungkan itu?

5. Saya menasihatkan agar kita sama sama kemaskan akidah pegangan kita, kemaskan fikrah dan aliran pemikiran kita. Jangan tersasar atau terbabas daripada laluan yang lurus ini dek kerana mencari simpang simpang di tepian jalan yang belum berturap. Perjuang dan pertahankan kepimpinan ulamak. Belajarlah untuk belajar, kita akan sentiasa sedar diri itu masih jahil. Bertatihlah untuk bertatih, kita akan sentiasa sedar bahawa kita masih memerlukan. Berlatihlah untuk berlatih, kita akan sedar bahawa kita masih lemah.

Terus beristiqamah

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
20 November


Selasa, 18 November 2014

PERKUKUHKAN PAS DAN FAHAMI ETIKA BERTAHALUF MENGIKUT NERACA ISLAM

Sejarah PAS terlibat dengan Pilihanraya Umum sudah jauh berpengalaman, antara pilihanraya yang pernah diikuti ialah pada 1955 dengan kemenangan satu kerusi parlimen, seterusnya 13 kerusi parlimen pada 1959.

Secara catatannya, Para Ulamak Hizbul Muslimin terpaksa menyertai UMNO selepas HM diharamkan pada 1948, bagi memperjuangkan Islam melalui saluran tersebut. Namun kedudukan mereka di dalam UMNO disampahkan, hak hak Islam dibiarkan sehinggalah mereka terpaksa menubuhkan PAS pada 1951.

Tanpa disedari, PAS sudah pun mengadakan pakatan politik (tahaluf siyasi) dengan non muslim seawal 1953 lagi di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Fuad bin Hassan, YDP PAS yang pertama, bersama Dr Haji Abbas Alias. Ketika itu, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka.

Antara lain, setelah UMNO menimbulkan isu perkauman sehingga tercetus peristiwa 13 Mei, PAS mengambil pendekatan pakatan politik dengan UMNO sehingga tertubuhnya Barisan Nasional. Setelah BN mendapat kemenangan yang besar pada 1974, PAS kehilangan Kelantan, serta ditendang keluar.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982.

Lantaran PAS terus mendaki berdikit dikit sehingga mendapat 4 buah negeri secara bertahaluf. Kini ulamak bersuara agar syarat tahaluf diperhalusi. Islam dan syariat perlu dijadikan panduan dalam bertahaluf. 

Tidak boleh menggadaikan prinsip Islam semata mata mengejar tahaluf dan kemenangan.
Lalu, dari sinilah lahirnya dua jalur pemikiran politik (siyasah). Satu aliran mengutamakan kuasa menang dengan cara Islam, manakala satu aliran lagi mengutamakan kuasa menang walaupun terpaksa menggadaikan beberapa prinsip Islam. 

Di celah inilah lahirnya PasMa yang tidak diketahui halatujunya selepas ini samada kekal sebagai NGO atau beralih sebagai sebuah parti politik.

Kini sokongan teras PAS telah mencapai 30% daripada pengundi. Tahaluf kita  memerlukan sebanyak 25%. Terserlah bahawa PAS lebih kukuh berbanding umno dan yang lain, kekalkan gerakan diatas prinsip Islam.

Mengikut apa yang terzahir pada kacamata hamba Allah, UMNO BN tidak dapat dikalahkan tanpa tahaluf. Apakah DAP dan PKR boleh memerintah tanpa PAS? Adakah PAS boleh menurunkan UMNO tanpa Pakatan Rakyat? Segala galanya berada di bawah kuasa Allah SWT!

Fikirkan, bolehkah PAS mengekalkan sokongan Melayu Islam 30% dalam keadaan prinsip perjuangan Islam tergadai sedikit demi sedikit? Apakah wajar kita mengejar sokongan 25% pengundi dengan menggadaikan 30% yang sedang bersama kita? 

Apakah masa depan perjuangan perebutan kuasa menyebabkan pelaksanaan syariat itu berciciran di tepian jalan? Allah dan Rasul mesti didahulukan dalam perjuangan ini.

Terus beristiqamah

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
18 November

Isnin, 17 November 2014

CATATAN DI PERJALANAN MUSAFIR : PADATKAN MASA KALIAN DENGAN GERAK KERJA ISLAM

1. Saya menyeru kepada semua ahli PAS dan kepimpinannya agar memenuhkan masa hidup serta jadual harian dengan gerak kerja Islam. Imam Hassan al Banna dan ulamak ulamak gerakan yang lain menyenaraikan bahawa gerak kerja Islam terbahagi kepada 3 jenis;

a) Amal Fardi : Gerak kerja yang dilakukan oleh individu untuk keperluan dirinya

b) Amal Jama'ie : Gerak kerja yang dilakukan secara berkumpulan, untuk keperluan jemaah

c) Amal Ijtima'ie : Gerak kerja bermasyarakat.

2. Kita perlu menekankan aspek ini, bagi mengelakkan kita terbuang masa dengan kerja atau tugasan yang tidak dianjurkan oleh Islam, apatah lagi bercanggah dengannya.

3. Fokuskan gerak kerja kita ke arah memperkasakan jemaah, bukanlah gerak kerja yang melonggarkan ikatan kesatuan jemaah, mahupun gerak kerja yang merugikan jemaah. Pastikan gerak kerja kita didasari dengan Islam, bukan didasari dengan idea idea dan ukuran akal manusia.

4. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al Quran;

(وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ)

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al An'am : 153)

5. Di dalam tatabahasa Arab, perkataan صراطي (jalanKu) menggunakan kata tunggal, iaitu jalan Allah SWT itu satu serta berdiri di atas konsep kesatuan berpaksikan akidah yang satu, dan bermatlamatkan Tuhan Yang Maha Esa.

4. Lalu Allah SWT melarang kita daripada memilih jalan- jalan selain daripada jalanNya yang banyak dan bersimpang siur. Dengan berpaksikan kepada manhaj yang tidak tersusun, ikatan yang tidak kuat, maka jalan jalan tersebut akan membawa perpecahan di atas jalan juang.

5. Marilah kita menyatukan saf di atas dasar Islam, dengan wala kepimpinan yang satu, bukan wala yang berbilang bilang. Kukuhkan pegangan Islam di jiwa mu, bukan melonggarkannya dengan simpulan liberalisme yang mengelirukan.

Terus beristiqamah

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

paktehrazman.blogspot.com

Ahad, 16 November 2014

LUANGKAN MASA UNTUK BERJIHAD

Himpunan Derita Rakyat
22hb November 2014
Jam 9 pagi
Berkumpul di Shell Lenggong
Turut memeriahkan Leman Raja Lawak.

Orang melayu kampung sebahagian besar pekerjaan mereka adalah menoreh getah. Ada juga mengurus kelapa sawit dan juga nelayan sungai/nelayan darat.

Sebelum PRU13 harga getah mencecah RM8/sekilogram. Ini bermaksud mereka menoreh 10kg sehari, pendapatan mereka RM80/sehari. Sekiranya mereka menoreh di kebun atau pokok orang lain, pendapatan mereka dibahagi dua iaitu RM40/sehari.

Selepas PRU13 sehingga sekarang, harga getah serendah RM1.60 /kg. Sekiranya penoreh mendapat 10kg sehari maka pendapatan mereka RM16/sehari. Seandainya menoreh pokok getah orang, hasilnya dibahagi dua dengan tuan tanah iaitu RM8/sehari. Dalam masa yang sama kos barang keperluan asas meningkat dengan kenaikan harga minyak.

Tujuan himpunan ini diadakan bagi menyedarkan rakyat apa usaha wakil rakyat UMNO yang dipilih dalam PRU13 yang lalu dalam membela nasib pengundi mereka?

BRIM dan bantuan lain yang diperolehi rakyat juga merupakan pulangan sebahagian kecil daripada bentuk penindasan yang ambil daripada penurunan harga getah serta kenaikan harga barang.

Saya menyeru semua pimpinan dan penduduk sekitar parlimen Padang Rengas, Lenggong, Gerik dan Larut bersama kita turun untuk memberi kesedaran kepada pengundi dan penyokong UMNO.

Hj Razman Zakaria
PJ Perak

Sabtu, 15 November 2014

Gelari Seminggu Pak Teh : 09 Nov - 16 Nov 2014

Ziarah Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Kamaruddin Awang Basir. Suspek Minor Stroke di Wad 4C Hospital Taiping. Doakan semoga Allah mengembalikan kesihatan utntuk beliau terus berjuang menegakkan kalimah Allah di bumi kita (12 Nov 2014 )

.............................
Singgah sembang santai di Kg Hulu Kenderong bersama YDP Grik AF Ustaz Dahlan Ismail.(13 Nov 2014)


................................
Munaqasyah Ucapan Dasar "Terus Istiqamah” di Pejabat PAS Larut Jln Menteri, Selama (13 Nov 2013)

.................................
 Munaqasyah UDP PAS Kawasan Kampar ( 14 Nov 2014 )

.................
Ziarah Sdr Mokhtar di Kg Chepor Lenggong yang baru keluar dari hospital ( 15 Nov 2014 )

..........................


** Gambar-gambar diatas hanyalah sebahagian daripada aktiviti yang sempat dirakam oleh Pak Teh, diharap sekiranya ada sebarang maklumbalas berkaitan artikel atau bahan didalam blog Pak Teh ini sila maklumkan pada Pak Teh diruang ulasan/comment dibawah. 

JENAYAH PENDATANG ASING PERLU DISELESAIKAN DENGAN ISLAM

Keratan akhbar berkaitan salahsatu isu jenayah warga asing di negara ini
Saya ingin menarik perhatian berkenaan isu jenayah melibatkan warga asing yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru baru ini.

Sebanyak 9,496 kes jenayah melibatkan warga asing dicatatkan antara Januari hingga Ogos 2014. Jumlah ini adalah 11.2 peratus daripada keseluruhan 85,029 kes jenayah yang direkodkan dalam tempoh sama di negara ini.

Daripada jumlah itu, 2,306 melibatkan jenayah kekerasan iaitu bunuh (167), rogol (138), samun berkawan bersenjata api (108), samun berkawan tanpa senjata api (1,008), samun bersenjata api (10), samun tanpa senjata api (377) dan mencederakan (498).

Sebanyak 7,190 kes pula melibatkan jenayah harta benda iaitu curi (1,871), curi kereta (568), curi motosikal (1,252), curi jentera berat (78), ragut (318) dan pecah rumah (3,103).
Pada 2012 terdapat 1,575 kes jenayah melibatkan warga asing atau satu peratus daripada keseluruhan 153,669 kes jenayah, manakala tahun 2013 jumlah itu meningkat kepada 13,591 atau 9.2 peratus daripada 147,062 keseluruhan kes.

Saya melihat, peningkatan antara 9.2% kepada 11.2% sehingga Ogos 2014. Tambahan pula pendedahan Kosmo baru baru ini mencatatkan bilangan pendatang asing ke negara kita mencecah 6.7 juta, manakala rakyat Malaysia yang dicatatkan pada Februari 2014 seramai 30 juta orang.

Lambakan yang berlebihan ini sangat memberi kelonggaran dan ruang ke arah peningkatan indeks jenayah warga asing. Saya melihat bahawa sistem Islam tidak terlaksana dengan baik meyebabkan jenayah meningkat mendadak khususnya pendatang asing.

Saya menggesa agar undang undang jenayah Islam perlu segera dilaksanakan. Kita boleh lihat Kenyataan Media yang dibuat oleh Jabatan Pendidikan Dewan Pemuda PAS Perak, berkenaan dengan sebah kajian tentang khasiat serta pendedahan saintifik rotan/sebat yang disiarkan melalui The Siberian Times.

Allah SWT berfirman
(وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)
Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. -Surah al Maedah, 3)

Ayat di atas meletakkan salah satu daripada bentuk undang undang Islam bagi pesalah mencuri. Ayat ini meletakkan bahawa elemen "pencegahan" daripada Allah sendiri.
Kita boleh lihat pelbagai undang undang manusia yang tidak menyelesaikan masalah, khususnya statistik jenayah di Malaysia yang tidak berkesudahan.
Saya menggesa agar Kerajaan Malaysia melaksanakan undang undang Islam. Panel yang telah ditubuhkan di awal 2014 tentang pelaksanaan hudud di Malaysia merupakan salah satu langkah yang baik dan diharap dapat membuahkan hasil yang mampu menyelamatkan Malaysia.

Terus Beristiqamah,















Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
15 November.

Rabu, 12 November 2014

CATATAN DI PEJABAT PERHUBUNGAN MENANTI MESYUARAT : ISI ATAU KULIT?

1. MATLAMAT : PAS Merupakan wavdah perjuangan yang berdiri di atas dasar Islam yang beraliran fikrah Islamiah yang jelas. Islam adalah agama Allah SWT Yang Maha Kekal, maka kekalkanlah matlamat perjuangan kita ke arah keredhaan Allah Yang Maha Kekal, serta terzahir dengan jelas kekuasaanNya. Bukanlah matlamat keduniaan yang kabur arah hala tujunya.

INTIMA' : Apabila kita sebagai ahli gerakan Islam mengakui bahawa kita berintima' dengan PAS, maka hendaklah memperjuangkan dasarnya sebagai prinsip dengan kepelbagaian kaedah yang terbuka bebas dan beretika. Tidak sepatutnya bagi kita berada di atas bahtera PAS, tetapi memperjuangkan destinasi hala tuju bot bot kecil yang bakal tenggelam sepertimana sejarahnya.

SISTEM : PAS bergerak dengan bersistem, teratur dan disiplin. Segalanya akan terbina melalui proses tarbiah yang tersusun. Mana mana ahli yang punyai pandangan tersendiri bolehlah datang ke arah pintu mesyuarat yang tidak terbuka luas. Bukanlah mengkritik keputusan pimpinan melalui pintu "exit" atau pintu kecemasan sedangkan lif masih elok dan pintu tidak pernah berkunci.

PIMPINAN : PAS tidak pernah mengajar ahli ahlinya gilakan kuasa yang tidak seberapa serta pangkat yang sementara. Mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan tertinggi boleh melalui saluran pemilihan ketika muktamar. Bukanlah melalui sembang santai di kedai kopi mahupun penghinaan secara terbuka di tepian jalan.

THIQAH : Mungkin kita inginkan si fulan memegang jawatan ini dan si fulan memegang jawatan itu. Walhal orang lain tidak sama kehendaknya dengan kita. Maka fahamilah, bahawa kita selaku hamba Allah tidak punyai kuasa berkehendak, kerana Kuasa yang menaikkan seseorang serta menjatuhkannya adalah Kuasa Allah SWT Yang Maha Berkehendak. Maka elakkan kita sombong membesarkan diri kerana Yang Maha Besar itu adalah Allah, bukan kita selaku hamba.

AMAL : Kita berjuang di atas dasar memenangkan Islam, tempoh penggal kepimpinan selama 2 tahun menjadi wasilahnya. Bukanlah kita menghabiskan tempoh 2 tahun padat dengan usaha menaikkan atau menjatuhkan orang, dalam masa yang sama gerak kerja Islamnya entah ke mana. 

Apakah kemungkaran di luar berserakan umpama ribut, sedangkan kita di dalam sibuk bersolek mengadap cermin untuk menjadi hero menjaga kebajikan mangsa ribut?

Muhasabah bersama
Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
12 November 2014



Selasa, 11 November 2014

KETIRISAN WANG NEGARA DAN HAK RAKYAT: BOLEH DISELESAIKAN DENGAN IMAN DAN ISLAM

Saya menyatakan kekesalan terhadap ketirisan yang berlaku dalam kerajaan. Baru baru ini, Laporan Ketua Audit Negara 2013, Siri 3 dibentangkan di Parlimen menyenaraikan beberapa ketirisan yang cukup membimbangkan, apatah lagi ia turut disemak oleh Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC).

Antara yang disenaraikan ialah penipuan oleh seorang pegawai kerajaan sehingga kehilangan hampir RM1 juta duit negara, kos hospital Shah Alam meningkat RM68.25 juta, RM11.94 juta pencen bulanan dibayar oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kepada orang yang sudah meninggal, 7712 aset bernilai RM 44.19 juta dilaporkan hilang 2011 hingga 2013 di Kementerian Kesihatan, dan Projek 1BestariNet bernilai RM663 juta yang tidak capai objektif.

Ketirisan seperti ini perlu diberi perhatian kerana keburukannya (mafsadah) terzahir. Kita yakin bahawa sumber bumi Malaysia yang sepatutnya cukup untuk rakyatnya, akan tetapi akibat ketirisan yang serius ini menyebabkan hasil bumi Malaysia hanya berpindah di tangan pemerintah pemerintah yang selewengkan kekayaan negara ini. Maka tidak peliklah sekiranya kemiskinan dan penindasan ekonomi semakin terserlah.

Dengan RM1 juta sepatutnya kita boleh memberi bantuan isi rumah bagi 1200 buah, sebanyak RM 833. Akan tetapi ketirisan yang terjadi bukanlah sejuta atau dua, tetapi melibatkan ratusan juta. Sistem Islam kekal releven ke hari ini melalui pengharaman penyelewengan duit negara;

Allah SWT berfirman

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا)

Wahai orang orang yang beriman, janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang salah, melainkan dengan cara perniagaan yang redha sesama kamu, dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah mengasihi kamu. (Surah an Nisa : 29)

Islam mengajar kita tentang pemilihan pimpinan yang amanah agar penyewengan harta negara tidak berlaku,

Nabi SAW bersabda;

إذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة

Apabila hilangnya amanah, maka tunggulah ketibaan Hari Kiamat

Lalu Abu Hurairah RA bertanya kepada Rasulullah SAW

كيف إضاعتها يا رسول الله؟

Bagaimana amanah itu boleh hilang wahai Rasulullah?

Nabi SAW bersabda;

إذا أسند الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة

Apabila jawatan atau urusan itu diserahkan kepada orang yang tidak selayaknya, maka tunggulah Hari Kiamat.

(Shahih Bukhari)

Hadis di atas jelas mengaitkan penyelewengan amanah dengan pelantikan orang yang tak layak sebagai pimpinan. Amanah akan hilang apabila pimpinan yang dilantik adalah orang yang tak selayaknya.

Justeru saya mencadangkan kepada rakyat Malaysia untuk membuat perubahan dalam Pilihanraya Umum akan datang bagi mengubah kepimpinan UMNO Barisan Nasional yang sedia ada, bagi memelihara kekayaan negara daripada diseleweng, lantas dibolot oleh orang orang tertentu sahaja. Ia juga bagi memastikan setiap rakyat mendapat hak mereka.

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

12 November

Ahad, 9 November 2014

TERUS BERISTIQAMAH MENCARI REDHA ALLAH

Apa itu fikrah yang tak jelas?

Gerakan Islam berdiri teguh di atas asas kefahaman dan rukun baiah. Ia bukanlah semata mata terungkap dengan lidah yang kosong, akan tetapi ia perlu dipahat padat di dalam hati dan jiwa yang cekal.

Allah SWT berfirman;

(قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf : 108)

Pemikiran yang salah atau songsang dapat diukur melalui tindakan, perbuatan serta perkataan yang terzahir melalui perbuatan dan ungkapan. Manakala apa yang terbuku di dalam hati ia terserah pada Allah SWT yang mengetahui segalanya.

Para ulamak adalah mereka yang berilmu, dibina di atas disiplin yang mantap. Apabila mereka membuat teguran di atas kesilapan kita, belajarlah untuk menerima dengan hati yang terbuka dan bersedia memperbaiki kelemahan yang ada.

Bersama-samalah kita menjaga fikrah jamaah, agar ia tidak dicelarukan oleh musuh Allah serta tidak tercelaru tanpa sengaja oleh orang orang yang tidak tahu.

Hj Razman Hj Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

Catatan sebelum subuh 10 November 2014 bersamaan 16 Muharram 1436 H

Sabtu, 8 November 2014

Gelari Seminggu Pak Teh : 02 Nov - 08 Nov 2014



Hadir dan brucap di Seminar Kesufian di Markaz PAS Negeri di Air Kuning Anjuran Dewan Ulamak PAS Perak. Pembentangan kertas kerja oleh AF Ust Sidek Noor dn AF Ust Mokhtar Senik.(01 Nov 2014)
 ---------------
Al-Fatihah Ziarah Almarhum Pengetua Maahad Al-Mizan.. Ust Megat Radzuan (1944 - 2014) telah kembali kerahmatullah.( 02 Nov 2014 )
------------------


    Al-Fatihah Ziarah Almarhum Sdr Alias bin Yunus (04 Nov 2014 * http://paktehrazman.blogspot.com/2014/11/catatan-dalam-perjalanan-ke-menziarahi.html)
-------------




Bergegas ke Cameron Highland bersama Naib Presiden PAS, Tn Hj Salahuddin Ayub ekoran banjir disana. Tahniah kepada UNIT AMAL yang segera turun membantu mangsa2 banjir ( 6 Nov 2014)