Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selasa, 27 Januari 2015

PAS PERAK MENYOKONG KENYATAAN PRESIDEN TENTANG PASMA


Saya dihubungi oleh pihak wartawan Utusan Malaysia dan Sinar Harian yang mahukan ulasan saya berkaitan kenyataan Tuan Guru Presiden mempersilakan PasMa meninggalkan PAS sekiranya pendirian pertubuhan tersebut tidak sehaluan dengan parti.

Justeru, suka saya jelaskan bahawa :
Pentadbiran PAS negeri adalah merupakan Badan Perhubungan di bawah Pentadbiran PAS Pusat serta membawa suara Presiden ke akar umbi. Pada dasarnya apa jua yang diputuskan Presiden atau Mesyuarat PAS Pusat adalah menjadi tanggungjawab negeri  mendokong keputusan tersebut.

Presiden PAS adalah nakhoda pengemudi bahtera PAS. Sedia maklum, Presiden adalah seorang yang berilmu dan berpengalaman luas dalam memimpin parti. Beliau berada dalam situasi PAS bersama atau bertahaluf dengan UMNO Perikatan pada tahun 1973 dan beliau jua pernah berada dalam zaman PAS ditendang keluar oleh UMNO/BN dalam tahun 1978. Bahkan nama BN juga adalah cadangan daripada PAS semasa PAS bersama BN.

Presiden juga berpengalaman semasa bertahaluf dalam Barisan Alternatif (BA) bersama S46 dan DAP. Sekarang PAS bertahaluf dengan DAP dan PKR, dalam Pakatan Rakyat. Sudah pasti Presiden membuat keputusan dan kenyataan berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang meluas, tambahan pula sekarang Presiden menjadi Naib Pengerusi Persatuan Ulamak Sedunia.

Setiap pertubuhan mempunyai dasar dan prinsip perjuangan masing-masing. Contoh UMNO, MCA, MIC dan semuanya 14 buah komponen BN ada dasar dan prinsip masing-masing. Begitu juga dgn komponen parti dalam Pakatan Rakyat, PAS PKR dan DAP.

PasMa didakwa sebuah NGO di mana pengasasnya adalah pimpinan PAS di peringkat kawasan dan merupakan ahli di peringkat umum. Sebelum menjadi ahli PAS sewajibnya mereka ini memahami dasar dan prinsip perjuangan PAS. Mereka juga wajib memahami struktur pembuat keputusan dalam organisasi PAS.

MSU Majlis Syura Ulamak adalah badan induk tertinggi dalam PAS yang menilai halatuju dasar dan prinsip perjuangan agar tidak terseleweng. PAS melalui MSU telah membuat keputusan melarang ahli terlibat dalam program dan aktiviti PasMa. Justeru, kalau ada ahli yang masih terlibat dalam PasMa mereka telah melanggar nasihat keputusan PAS. Seolah olah mereka sudah tidak yakin dengan dasar prinsip dan pendekatan yang diambil oleh PAS.

Ya, Negara kita mengamalkan demokrasi, dan PAS juga tidak dapat menyekat mana-mana individu untuk menganut apa-apa fahaman dan bergiat dalam mana-mana parti atau pertubuhan. Apabila  berada bersana PAS maka wajib mengikut fikrah dasar matkamat dan halatuju PAS yang berpegang kepada Prinsip Siasah Ayariyyah. Muwajahah Silmiah yang dibatasi oleh panduan Al-Quran dan As-Sunnah.

Kenyataan Tuan Guru Presiden Dato Seri Abdul Hadi Awang yang mempersilakan PasMa meninggalkan PAS sekiranya pendirian pertubuhan itu tak lagi sehaluan dengan parti adalah amat bertepatan sekali. Mereka boleh mencari pendekatan berpolitik mengikut parti lain atau menubuh parti politik baru. Tanpa terikat dan tersekat dengan mana peraturan atau pimpinan.

Banyak parti politik tertubuh kerana tidak bersetuju dengan pimpinan seperti Gerakan yang lahir daripada mereka yang tidak bersetuju dengan MCA. Begitu juga IPF yang lahir daripada tidak sehaluan MIC, dan juga beberapa parti telah lahir kerana tidak bersetuju dengan PAS seperti parti ISLAH, BERJASA dan HAMIM. Bahkan UMNO juga tidak terkecuali, mereka yang tidak setuju dengan pimpinan dan pendekatan UMNO telah melahirkan parti S46 dan PKR.

Itulah keputusan terbaik tentang PasMa yang tidak sehaluan dengan keputusan dan pendirian parti atau presiden parti. Maka selayaknya dipersilakan untuk keluar memperjuangkan mengikut prinsip dan kerangka pemikiran tersendiri.

Perbezaan pandangan dalam sebuah jemaah boleh diatas dasar "cara" atau "bagaimana" untuk melakukan sesuatu. Tidak mungkin satu jemaah atau satu kapal yang  mempunyai dua atau tiga prinsip atau destinasi yang  berbeza.


Terus beristiqamah,


Haji Razman Zakaria,
Pesuruhjaya PAS Perak
7 Rabi'ul Akhir 1436
Selasa, 27 Januari 2015

paktehrazman.blogspot.com

0 comments:

Catat Ulasan