SEMOGA SELAMAT DUNIA AKHIRAT

Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT BERJUANG

Maaf Zahir dan Batin, Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT HARI MALAYSIA

Maaf Zahir dan Batin, Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN

Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR

Istiqamah Hingga Kemenangan

SELAMAT HARI RAYA IDUL ADHA 1436H

Istiqamah Hingga Kemenangan

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Jumaat, 30 Januari 2015

BUKAN MUDAH MEMIMPIN JAMAAH


Sebaik sahaja menerima perlantikan dan taklifan sebagai Pesuruhjaya PAS Perak pada 2 Disember 2013, terus berjumpa dengan Murabbi yang pernah diri ini menerima ilmu dan nasihat daripada mereka. Mereka ialah, Timbalan Mursyidul Am Tuan Guru Dato Haron Din, Tuan Guru Haji Salleh Musa Sik, Tuan Guru Awang Lanai Baling, Ustaz Azizan Desa mantan Pesuruhjaya PAS Perak, 

Ustaz Abu Bakar Hussin, Ustaz Shuaid Din mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Sidek Nor Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Perak dan Ustaz Saharuddin Lenggong.

Hampir sama intisari nasihat yang mereka titipkan buat diri ini, iaitu "jaga jamaah dan bersabar". 

Teringatkan ayat al Quran, Surah Al-Asr, Ayat 2;
إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
Ayat 3;
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar

Saya merenung dan menganalisa prestasi PAS dalam PRU13, walaupun gelombang rakyat menampakkan seolah-olah PR akan memperoleh kemenangan yang besar. Sangkaan ini  meleset, walaupun Pakatan Rakyat mendapat undi popular 52%. Bahkan, Perak adalah negeri yang dibanggakan dengan kelahiran PR, juga tidak berjaya sepertimana sebelum kewujudan PR dalam PRU 12 Mac 2008. Kerusi DUN PAS berkurang daripada 6 kepada 5.

Berdasarkan analisa dan berbekalkan ilmu pengurusan dan sedikit pengalaman mengurus, dilontarkan idea untuk mengembalikan, membantu merubah tatacara dan pendekatan kerja, dengan mempertegaskan semula halatuju dan fokus kerja seperti berikut:

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya bilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
(Fasal 5: Tujuan PAS)

4 FOKUS KEBERHASILAN UTAMA

1. MEMENANGI PRU14
a) Memperkemaskan Jentera
b) Menjuarai Isu
c) Pendekatan Mikro
2. MEMPERKASAKAN TARBIAH
a) Satu cawangan satu Usrah
b) Usrah AJK Perhubungan
c) Liqa dan Ijtimak Kawasan
d) Tamrin ahli baru
e) Mukhayyam
3. MEMPERKASAKAN PARTI
a) Pengurusan Asset
b) Pembangunan Kompleks PAS
c) Memperkemaskan urusan kesetiausahaan
I.   Pemutihan cawangan dan kawasan
II.  Pemutihan ahli
III. Penambahan ahli dan cawangan


4. MEMPERKUKUHKAN KEDUDUKAN KEWANGAN

a) Menjana kewangan daripada idea dan sumber baru.
Walaupun terdapat berbagai bagai reaksi dan komen, idea ini telah disahkan dalam retreat Badan Perhubungan PAS Negeri Perak dengan penambahbaikan task lajnah-lajnah.
Kini kita berada di penghujung sesi. Sebagai "leader" wajib melihat pencapaian hasrat yang telah ditetapkan, serta membuat analisa mencari punca dan sebab kelembapan pencapaian. Leader juga wajib mempunyai "will power" untuk memperbaikinya. Kalau puncanya faktor kewangan, perlu mencari sumber kewangan. Kalau puncanya adalah pendekatan, wajib dibaiki pendekatan dan kalau puncanya sokongan manusia, wajib mencari manusia yang boleh menyokong.

* Catatan dalam perjalanan ke temujanji dengan Mudir Pondok Moden Saadah Addarain, Kebun Baru


Terus beristiqamah,


Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
10 Rabi'ul Akhir 1436
Jumaat, 30 Januari 2015

Khamis, 29 Januari 2015

KEMENANGAN GERAKAN ISLAM TERTANGGUH DISEBABKAN KRISIS KEFAHAMAN AHLINYA?


Rukun Bai'ah pertama yang digariskan oleh al-Syahid Imam Hassan al-Banna adalah الفهم iaitu faham. Faham di sini bermaksud memahami matlamat dan tujuan PAS semasa kita mengisi borang untuk berintima' dengan jamaah ini.

Kefahaman gerakan ini boleh difahami dan dihayati sepenuhnya apabila seseorang ahli itu melalui proses tarbiah yang disusun secara sistematik oleh ulama' haraki dalam PAS sepertimana yang sudah berjalan sekian lama.

Rukun الفهم ini nampaknya masih belum jelas di kalangan segelintir ahli PAS sendiri. Baru-baru ini, ada tulisan yang disebarkan melalui WhatsApp yang mendakwa bahawa :

a) Istilah tebuk kapal sudah pun dimainkan sejak 20 tahun dahulu oleh para pimpinan yang selesa kerana dilindungi oleh kekebalan istilah wala'

b) Bukan masalah ahli tebuk kapal, tetapi kapal ini dihancurkan sendiri oleh nakhodanya.
Dalam senario ini, saya melihat bahawa pemikiran seperti ini dapat memberikan implikasi yang tidak baik kepada  keutuhan jemaah. Para nuqaba' dan murabbi perlu segera membuat pencerahan sebelum krisis fikrah berubah menjadi lebih parah.

Sebagai anggota harakah Islamiyyah, seharusnya mempunyai fikrah perjuangan Islam yang jelas. Sebarang interpretasi yang dikeluarkan wajib berdasarkan kepada ilmu dan rujukan kitab serta ulamak muktabar. Bukan sekadar idea idea sendiri yang belum pasti kebenarannya.

Setelah kewafatan Nabi SAW, umat Islam telah berpecah kepada berbagai firqah. Semuanya merasakan bahawa mereka di atas jalan yang benar. Siapa hakimnya dan di mana jalan penyelesaian yang sebenar melainkan daripada petunjuk Allah SWT.

Surah An-Nisa, ayat 59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Siapakah yang benar-benar dapat memahami dan menghayati ayat-ayat Allah SWT? Berapa jilid tafsir para ulamak yang telah kita rujuk sebelum mendakwa saya yang betul, nakhoda yang salah?
Siapakah nakhoda yang dimaksudkan yang telah menghancurkan kapal?  Selami tujuan dan kesan penulisan tersebut, jangan sekadar tahu melempias nafsu dalam wassup, kemudian merasakan diri terlalu hebat. Sila jelaskan, nakhoda yang bagaimana, yang kamu rasakan sesuai untuk diserahkan mandat membawa perjuangan Nabi SAW yang diperjuangkan oleh PAS?

Adakah nakhoda yang pandai menentang al Quran itu adalah yang terbaik untuk mengemudi kapal? Atau nakhoda yang memperleceh Hadis Nabi SAW tentang tebuk kapal adalah yang terbaik? Atau nakhoda yang tidak yakin dengan undang undang Allah itu yang kamu rasa terbaik?

Kita tidak boleh mengulangi kesilapan lampau. Pada tahun 1983, PAS telah dikembalikan ke "track" yang betul di bawah dasar kepimpinan ulamak. Tidak perlu lagi kefahaman ini diselewengkan. Pertahankanlah dasar ini dengan apa cara sekalipun, setelah mana PAS berhadapan dengan krisis pada beberapa tahun sebelumnya.

Kenangkan sejarah silam Dato' Muhammad Asri Muda yang memegang selama 18 tahun sebagai Presiden PAS. Beliau terlibat dalam perjuangan seawal zaman Ustaz Abu Bakar al-Baqir,  Dr Burhanuddin Al Helmy dan Dr Zulkifli Mohammad. Namun begitu, atas sebab kefahaman perjuangan Islam, kepimpinan beliau akhirnya ditolak oleh ahli-ahli pada ketika itu. Nampaknya seolah-olah sejarah ini berulang dalam versi yang berbeza.

Mudah-mudahan coretan ini membuka minda pencinta perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi SAW untuk terus mempertahankan keaslian fikrah perjuangan PAS. Bukan untuk kepentingan sesiapa, melainkan untuk Islam. Kalau kita merasakan kita lebih hebat berijtihad berbanding para ulamak, sila datang hujah ilmiah untuk diperhalusi, bukanlah dengan membuat kenyatan terbuka yang menyerlah kejahilan sendiri.

* Catatan dalam perjalanan ke Liqo PAS Kawasan Batu Gajah


Terus beristiqamah,


Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
7 Rabi'ul Akhir 1436
Selasa, 27 Januari 2015
paktehrazman.blogspot.com

Rabu, 28 Januari 2015

KESUSAHAN RAKYAT MENJADI KEUNTUNGAN ORANG BERKEPENTINGAN?

Semua rakyat sedar, baru-baru ini Negara Malaysia dilanda banjir, melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak yang dianggarkan kerugian sebanyak RM1Bilion. Namun, tatkala bencana ini terjadi hampir di semua kawasan, pimpinan kerajaan dan wakil-rakyatnya sedang bercuti diluar negara, termasuk Perdana Menteri yang sedang bermain golf bersama Barack Obama, Presiden Amerika.

Situasi juga memperlihatkan keprihatinan rakyat Malaysia dan NGO dalam membantu mangsa banjir di setiap kawasan. Kalau diukur nilai tenaga barangan dan tunai yang disalurkan juga dilihat mencecah billion ringgit. Bahkan, sehingga ke hari ini kutipan masih diteruskan, syabas buat rakyat Malaysia.

Sekembalinya Perdana Menteri, Dato Seri Najib di Malaysia, terus melawat banjir dalam tempoh beberapa hari, kemudian terus menghilang dengan berita jangkita E.coli walaupun Kementerian Kesihatan telahpun mengesahkan tiada wabak itu di mana-mana tempat yang dilanda banjir.

Perdana Menteri juga telah mengumumkan peruntukan wang rakyat sebanyak RM800Juta untuk bantuan mangsa banjir. Persoalannya, ke manakah nilai itu hendak disalurkan? Anggarkan kos pembinaan sebuah rumah bernilai RM50ribu, bererti  800,000,000÷50,000=16,000 buah rumah yang dapat disiapkan. Sedangkan Mangsa banjir yang kehilangan rumah kurang 3000 buah.

Apakah wang rakyat ini sampai ke sasaran mangsa banjir? atau bakal mengulangi sejarah sepertimana peruntukan PPRT dan tsunami berulang kembali? Berdasarkan peristiwa lalu, apa yang dilihat, kesusahan dan penderitaan orang lain menjadi peluang kepada pemimpin UMNO untuk mengorek sana dan sini, mencari peluang peluang keuntungan yang ada.

Bahkan, SPRM juga mengeluarkan kenyataan untuk memantau dana banjir ini. Ya, rakyat dan NGO tidak boleh mengambil-alih tugas kerajaan tetapi boleh mendesak supaya tindakan kerajaan lebih berkesan atau berusaha menukarkan kerajaan UMNO/BN yang "track-record"nya amat mencurigakan.

Jangan jadikan penderitaan dan kesusahan orang lain menjadi peluang kepada orang yang berkepentingan. Bersatu desak kerajaan pusat adalah lebih bermunasabah berbanding mencipta pesepsi negatif dengan retorik. Tingkatkan keprihatinan rakyat dan NGO dalam pengurusan kewangan negara untuk rakyat.

* Catatan dalam perjalanan ke Gombak

Terus beristiqamah,

Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

9 Rabi'ul Akhir 1436
Khamis, 29 Januari 2015

Selasa, 27 Januari 2015

PAS PERAK MENYOKONG PENDIRIAN PRESIDEN PAS TENTANG PBT


Saya dihubungi oleh wartawan daripada Sinar Harian Perak bertanyakan mengenai perihal Pilihanraya PBT. Apa pendirian PAS Perak terhadap isu ni? Adakah sependapat dengan Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang atau sebaliknya? Adakah sebarang perbincangan bersama DAP atau PR Perak diadakan? Apakah cadangan penyelesaian isu ni?

ULASAN SPONTAN

Pentadbiran PAS negeri adalah merupakan Badan Perhubungan di bawah Pentadbiran PAS Pusat serta membawa suara Presiden ke akar umbi. Pada dasarnya apa jua yang diputuskan oleh Presiden atau Mesyuarat PAS Pusat adalah menjadi tanggungjawab negeri  mendokong keputusan tersebut.
Saya yakin, sebelum pendirian PAS mengenai Pilihanraya PBT ini dibuat oleh Presiden, pastinya kajian yang mendalam terhadap kesan baik dan buruknya perlaksanaan ini, telah dibincangkan secara mendalam dan teliti.

Kerangka kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah berasaskan kerjasama persefakatan dan persetujuan ketiga-tiga parti. Tidak dinafikan, ada beberapa isu yang tidak mendapat kata sepakat di antara ketiga-tiga parti. Contoh yang popular, mengenai isu perlaksanaan enakmen syariah. Perkara ini diselesaikan dengan prinsip "bersetuju untuk tidak bersetuju" (agree to disagree for the certain issue)

Penyelesaian kepada isu ini perlu kepada satu kajian maklumbalas orang awam terhadap perlaksanaan Pilihanraya PBT ini, dan PAS Perak bertegas untuk menyokong kenyataan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai nakhoda parti.


Terus beristiqamah,

Haji Razman Zakaria,
Pesuruhjaya PAS Perak
7 Rabi'ul Akhir 1436
Selasa, 27 Januari 2015

paktehrazman.blogspot.com

PAS PERAK MENYOKONG KENYATAAN PRESIDEN TENTANG PASMA


Saya dihubungi oleh pihak wartawan Utusan Malaysia dan Sinar Harian yang mahukan ulasan saya berkaitan kenyataan Tuan Guru Presiden mempersilakan PasMa meninggalkan PAS sekiranya pendirian pertubuhan tersebut tidak sehaluan dengan parti.

Justeru, suka saya jelaskan bahawa :
Pentadbiran PAS negeri adalah merupakan Badan Perhubungan di bawah Pentadbiran PAS Pusat serta membawa suara Presiden ke akar umbi. Pada dasarnya apa jua yang diputuskan Presiden atau Mesyuarat PAS Pusat adalah menjadi tanggungjawab negeri  mendokong keputusan tersebut.

Presiden PAS adalah nakhoda pengemudi bahtera PAS. Sedia maklum, Presiden adalah seorang yang berilmu dan berpengalaman luas dalam memimpin parti. Beliau berada dalam situasi PAS bersama atau bertahaluf dengan UMNO Perikatan pada tahun 1973 dan beliau jua pernah berada dalam zaman PAS ditendang keluar oleh UMNO/BN dalam tahun 1978. Bahkan nama BN juga adalah cadangan daripada PAS semasa PAS bersama BN.

Presiden juga berpengalaman semasa bertahaluf dalam Barisan Alternatif (BA) bersama S46 dan DAP. Sekarang PAS bertahaluf dengan DAP dan PKR, dalam Pakatan Rakyat. Sudah pasti Presiden membuat keputusan dan kenyataan berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang meluas, tambahan pula sekarang Presiden menjadi Naib Pengerusi Persatuan Ulamak Sedunia.

Setiap pertubuhan mempunyai dasar dan prinsip perjuangan masing-masing. Contoh UMNO, MCA, MIC dan semuanya 14 buah komponen BN ada dasar dan prinsip masing-masing. Begitu juga dgn komponen parti dalam Pakatan Rakyat, PAS PKR dan DAP.

PasMa didakwa sebuah NGO di mana pengasasnya adalah pimpinan PAS di peringkat kawasan dan merupakan ahli di peringkat umum. Sebelum menjadi ahli PAS sewajibnya mereka ini memahami dasar dan prinsip perjuangan PAS. Mereka juga wajib memahami struktur pembuat keputusan dalam organisasi PAS.

MSU Majlis Syura Ulamak adalah badan induk tertinggi dalam PAS yang menilai halatuju dasar dan prinsip perjuangan agar tidak terseleweng. PAS melalui MSU telah membuat keputusan melarang ahli terlibat dalam program dan aktiviti PasMa. Justeru, kalau ada ahli yang masih terlibat dalam PasMa mereka telah melanggar nasihat keputusan PAS. Seolah olah mereka sudah tidak yakin dengan dasar prinsip dan pendekatan yang diambil oleh PAS.

Ya, Negara kita mengamalkan demokrasi, dan PAS juga tidak dapat menyekat mana-mana individu untuk menganut apa-apa fahaman dan bergiat dalam mana-mana parti atau pertubuhan. Apabila  berada bersana PAS maka wajib mengikut fikrah dasar matkamat dan halatuju PAS yang berpegang kepada Prinsip Siasah Ayariyyah. Muwajahah Silmiah yang dibatasi oleh panduan Al-Quran dan As-Sunnah.

Kenyataan Tuan Guru Presiden Dato Seri Abdul Hadi Awang yang mempersilakan PasMa meninggalkan PAS sekiranya pendirian pertubuhan itu tak lagi sehaluan dengan parti adalah amat bertepatan sekali. Mereka boleh mencari pendekatan berpolitik mengikut parti lain atau menubuh parti politik baru. Tanpa terikat dan tersekat dengan mana peraturan atau pimpinan.

Banyak parti politik tertubuh kerana tidak bersetuju dengan pimpinan seperti Gerakan yang lahir daripada mereka yang tidak bersetuju dengan MCA. Begitu juga IPF yang lahir daripada tidak sehaluan MIC, dan juga beberapa parti telah lahir kerana tidak bersetuju dengan PAS seperti parti ISLAH, BERJASA dan HAMIM. Bahkan UMNO juga tidak terkecuali, mereka yang tidak setuju dengan pimpinan dan pendekatan UMNO telah melahirkan parti S46 dan PKR.

Itulah keputusan terbaik tentang PasMa yang tidak sehaluan dengan keputusan dan pendirian parti atau presiden parti. Maka selayaknya dipersilakan untuk keluar memperjuangkan mengikut prinsip dan kerangka pemikiran tersendiri.

Perbezaan pandangan dalam sebuah jemaah boleh diatas dasar "cara" atau "bagaimana" untuk melakukan sesuatu. Tidak mungkin satu jemaah atau satu kapal yang  mempunyai dua atau tiga prinsip atau destinasi yang  berbeza.


Terus beristiqamah,


Haji Razman Zakaria,
Pesuruhjaya PAS Perak
7 Rabi'ul Akhir 1436
Selasa, 27 Januari 2015

paktehrazman.blogspot.com

Ahad, 25 Januari 2015

CATATAN TAUJIHAT TOK GURU HJ ABDUL HADI AWANG


PAS yang ditubuhkan sejak 1951 menjunjung perintah Allah SWT dan Rasul yang menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran atas dasar Islam. Inilah sepertimana yang diwarisi daripada para nabi AS sepanjang zaman. Disebabkan prinsip inilah PAS ditentang dan diuji sepanjang sejarah perjuangannya. Inilah bahtera PAS, yang tidak sama dengan bahtera yang lain.

(مَثَلُ القَائِم في حُدُودِ اللَّه والْوَاقِع فيها، كَمثل قَومٍ اسْتَهَموا على سَفِينَةٍ، فَأَصابَ بَعْضُهم أعْلاهَا، وبعضُهم أَسْفلَهَا، فكان الذي في أَسفلها إذا استَقَوْا من الماء مَرُّوا على مَنْ فَوقَهمْ، فقالوا: لو أنا خَرَقْنا في نَصِيبِنَا خَرقا ولَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنا؟ فإن تَرَكُوهُمْ وما أَرَادوا هَلَكوا وهلكوا جَميعا، وإنْ أخذُوا على أيديِهِمْ نَجَوْا ونَجَوْا جَميعا)
Perumpamaan orang menjaga batasan Allah dan orang yang melanggarnya ialah seperti suatu kaum yang sama-sama menaiki kapal. Lalu sebahagiannya duduk di bahagian atas dan sebahagiannya duduk di bahagian bawah. Apabila orang-orang yang duduk di bahagian bawah hendak mendapatkan air mereka meminta tolong dari orang yang duduk di atas. Maka mereka berkata "Alangkah baiknya sekiranya kita tebuk satu lubang di bahagian kita ini, maka kita tidak menyusahkan orang yang duduk di atas." Sekiranya orang-orang yang duduk di atas membiarkan mereka yang di bawah melakukan apa yang mereka mahu, maka mereka semua akan binasa dan sekiranya mereka melarangnya maka mereka semua akan terselamat".
(riwayat Bukhari dan Tirmizi)

Inilah bahtera PAS, ia bukanlah bahtera Pakatan Rakyat. Walaupun ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini, sebaliknya pergilah ke bahtera lain yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi.

Dalam bahtera PAS, ia menggabungkan pelbagai kepakaran, ada yang bahagian kejuruteraannya, ada bahagian enjinnya, ada bahagian kemudinya dan sebagainya. Inilah PAS yang tidak membezakan kepelbagaian penggerak penggeraknya. Justeru tidak timbul pertembungan antara ulamak dan professional kerana PAS terbuka menerima sesiapa sahaja, asalkan memperjuangkan Islam.

PAS meraikan kepelbagaian pandangan yang dibatasi dengan syarak. Di dalam perlembagaan PAS, meletakkan al Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang undang tertinggi dalam menentukan sesuatu pendirian. Para ulamak yang pakar dan berkebolehan dalam merujuk kitab kitab ulamak terdahulu, serta kepakaran mereka dalam bidang syariat, dihimpunkan di dalam Majlis Syura Ulamak bagi memandu PAS agar tidak terbabas daripada sempadan syarak.

Kita bukanlah Rasulullah SAW yang mendapat wahyu secara langsung daripada Allah. Kita juga bukanlah Imam Syafie RA, yang pakar dalam segenap ilmu dan kefahaman yang mampu berijtihad. Akan tetapi, kita menggabungkan para ulamak yang menguasai kepelbagaian bidang dalam memutuskan sesuatu ijtihad mengikut kesesuaian zaman.

Contohnya PAS pernah bersidang bersama para ulamak sedunia, manakala wakil PAS yang hadir ketika itu ialah Tuan Guru Presiden, Almarhum Ustaz Harun Taib, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato Mustafa Ali. Iaitu berbincang tentang hubungan dengan Non Muslim, yang mana telah digariskan oleh Islam sebanyak 8 bentuk, antaranya tahaluf, hudnah dan sebagainya, selari dengan keperluan semasa dan penerimaan masyarakat.

Begitu juga pada 1960 dan 1961, ketika itu Dr Zulkifli Mohamad pernah mencadangkan agar mewujudkan keahlian bersekutu kepada non-muslim. Ketika itu masyarakat belum dapat menerima lantas beliau menerima ugutan, kenderaannya ditahan dan sebagainya kerana cetusan beliau ketika itu tidak dipersetujui oleh Tok tok Guru Pondok. Beliau mengambil pendekatan berundur daripada cetusan tersebut bagi meraikan penerimaan masyarakat semasa.

Begitu juga perbezaan antara Imam Haramain al Juwaini RA dan Imam Mawardi dalam beberapa permasalahan berkaitan non muslim. Imam Haramain menetapkan ijtihadnya berdasarkan realiti setempatnya ialah sekitar Mekah dan Madinah yang mana hampir kesemua penduduknya beragama Islam. Manakala Imam Mawardi yang tinggal di Iraq berhadapan dengan masyarakat majmuk.

Ada yang bertanya kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sampai bilakah kita harus menolak UMNO? Beliau mengatakan bahawa kita menolak UMNO selagi mana mereka masih menolak Islam. Kita menolak UMNO sekiranya bercanggah dengan Islam. Apabila UMNO mendirikan Maahad Tahfiz, Bank Islam dan sebagainya, kita tidak menolak. Sebaliknya kita menolak UMNO dalam pelaksanaan judi, cukai dan sebagainya.

Dalam bab percukaian, perlu kepada kefahaman dan perincian. Tidak perlu rasa pelik sekiranya zakat dikenakan kepada orang Islam, manakala cukai dikenakan pada bukan Islam. Percukaian ini boleh dihapuskan sekiranya keperluan negara mencukupi, sedangkan zakat terus kekal wajib untuknorang Islam. Jangan pula kita rasa pelik terhadap syariat, inilah Islam.

Islam menyatukan antara kampung dan bandar yang tidak selari dengan idea penjajah yang sengaja mencetuskan perbalahan antara bangsa. Melayu sebagai masyarakat asal, lalu dimasukkan India yang ditempatkan di estate, begitu juga cina yang ditempatkan di kawasan perlombongan. Agenda ini bagi memastikan kita sebagai rakyat Malaysia terus dibelenggu dengan sentimen antara bangsa. Islam mengajar kita untuk tangani masalah, bukan menyuburkan sentimen perbalahan.

Kita perlu sedar, bahawa bumi ini milik Allah, bukan milik sesiapa. Maka fikirkan penyelesaian antara bangsa lebih baik daripada meniupkan sentimen perbezaan. Walaupun ada yang membawa idea barat dalam menyelesaikan krisis ini, iaitu dengan memperjuangkan hak kesamarataan. Kita perlu sedar bahawa mengikat hati hati manusia tidak sama seperti mengikat kayu dan batu.

Kayu boleh diikat dengan tali, begitu juga batu. Manakala mengikat manusia perlu ada caranya kerana manusia mempunyai akal, tidak seperti batu dan kayu. Andai kita memperjuangkan hak kesamarataan, pasti kita akan menyamakan buruh yang mampu mengangkat 70 kg dengan buruh yang hanya mampu sekadar 10 kg, dengan menyuruh kesemuanya mengangkat 50 kg secara samarata.

Ya, kita perlu raikan perbezaan pandangan dengan mencari titik titik pertemuan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam memerintah Madinah. Rasulullah SAW telah membuat perjanjian dengan kabilah kabilah di Madinah yang bersepakat untuk mempertahankan Madinah. Lantas apabila ada kabilah yang membelot, sudah pasti mereka akan ditentang oleh Rasulullah SAW dan tiada seorang pun yang dapat mempertikaikan tindakan tersebut.

Kita juga jangan jadi seperti suara Pak Pandir yang berfikir tentang kesamarataan yang tidak seimbang. Apabila dia ingin menyeberangi sungai, dia terlihat sebatang kayu rapuh yang merentanginya. Dia mendapati bahawa ratusan ekor semut dapat meniti di atas kayu tersebut, lantas memikirkan bahawa ratusan semut pun boleh menyeberangi, apatah lagi dirinya yang seorang. Lantas dia terjatuh dalam sungai tersebut setelah kayu yang dititinya itu patah, disebabkan menyamakan dirinya dengan semut.

Dunia milik Allah ini memerlukan kepelbagaian untuk dimakmurkan. Kepelbagaian ini diurus dengan baik agar menjadi satu kesatuan, bukanlah satu perbezaan. Makmurkanlah dunia ini di atas dasar ibadah, khilafah dan amanah. Dalam sejarah Islam, mencatatkan kehebatan Islam di persada dunia.

Islam datang dengan pembukaan, bukanlah penjajahan, tidak seperti penjajah penjajah barat. Islam memberi kebebasan kepada rakyat sesebuah negara untuk menganut agama masing masing, tidak seperti penjajah barat yang membunuh rakyat setempat, yang berbeza enggan menerima ajaran mereka.

Dalam konsep pembukaan Islam, Islam menjaga ahli ilmu dengan baik, dan memanfaatkannya untuk kebaikan negara dan bersama. Islam bukanlah sepertimana yang digambarkan dalam kisah "Singapura Diserang Todak" yang menceritakan kecerdikan seorang budak, yang mencadangkan agar menggantikan betis dengan batang pisang sebagai benteng. Apabila pihak pemerintah khuatir disebabkan kepintarannya, dia akan diangkat sebagai raja, lalu budak tersebut dibunuh.

Islam bukanlah sepertimana kisah arkitek yang hebat membina istana yang megah, lantas tangannya dikudungkan disebabkan kehebatan seni tangannya, bagi mengelakkan persaingan terhadap keindahan istana tersebut. Islam adalah agama yang menjaga ahli ahli ilmu, dan memanfaatkan mereka untuk membina dan memajukan tamadun serta negara.

Inilah Islam, Islam menolak jahiliyyah walaupun ia datang dari Mekah. Islam menyuruh kita menuntut ilmu walau ke Negara China. Islam tidak melebarkan jurang perbezaan, sebaliknya mengikat dengan persamaan dalam perbezaan.

Penubuhan PAS yang terdiri dari kalangan kepelbagaian bidang dan kepakaran anggota anggotanya. Inilah pentingnya konsep pembangunan Insan dalam Islam. Tidak mungkin wujudnya pembangunan ekonomi tanpa pembangunan Insan yang mampu mengurus ekonomi dengan baik dan amanah.

Jangan bandingkan Pulau Pinang dan Selangor, dengan Kelantan. Kelantan yang diperintah lebih 20 tahun, mungkin tidak mampu menyiapkan lebuhraya kerana sumber negeri yang terhad. Manakala Pulau Pinang dan Selangor pula kaya dengan sumber negerinya. Akan tetapi kita boleh lihat sendiri bahawa Kelantan telah berjaya memajukan pembangunan insan dengan cemerlang, melahirkan individu individu hebat di seluruh Malaysia yang berasal dari Kelantan.

Janganlah kita jadi seperti kacang yang lupakan kulit, atau ubi yang lupa batangnya. Hudud yang ingin diperjuangkan di Kelantan adalah salah satu daripada undang undang Islam, di era kegagalan undang undang buatan tangan manusia. Ini kerana hudud menggariskan wawasan sehingga selepas mati, bukan hanya terhad dengan kehidupan dunia.

Tetapi di kala ini manusia masih berkeras ingin menolak hudud walaupun undang undang manusia sudah jelas tidak menjadi penyelesaian. Apakah mereka merasakan mereka lebih hebat daripada Allah yang mencipta diri mereka? Allah SWT berfirman,

قُلْ أَأَنْتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ
Katakanlah (wahai Muhammad) : Adakah kamu lebih mengetahui, atau Allah?
(Surah al Baqarah : 140)


Terus beristiqamah,

Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
6 Rabi'ul Akhir 1436
Isnin , 26 Januari 2015
paktehrazman.blogspot.com

CERAMAH DI LEKIR, LUMUT BERSAMA PIMPINAN


Bersama pimpinan, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan Tuan Haji Salehuddin Ayob Naib Presiden PAS berceramah di Lekir, Lumut. Turut hadir, Cikgu Noh, yang mendapat anugerah Tokoh Pendidik dalam program anjuran NGO Pendidik bertempat di Kelantan pada 15 November lalu,

HI TEA DAN KUTIPAN UNTUK PASTI LENGGONG


25 Januari, Ahad, bersama masyarakat Lenggong dalam Hi Tea pimpinan menyantuni mangsa banjir, bersama Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Ir Hj Nizar dan Ustaz Norazli Musa. Turut sama melancarkan tabung derma Pasti Lenggong

MAKAN TENGAHARI DI BUKIT GANTANG


25 Januari, Ahad, Makan tengahari bersama tetamu jemputan di Perak, bertempat di rumah Cikgu Hassan, Batu 8, Bukit Gantang, Perak. Terima kasih kepada tuan rumah dan kesudian tetamu bertandang ke rumah

SARAPAN BERSAMA TUAN GURU PRESIDEN


25 Januari, Ahad, di awal pagi bersarapan bersama kepimpinan PAS Pusat, khususnya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS di Masjid Kampung Expo Kamunting, Taiping.

KESELARASAN FIKRAH DALAM PAS


25 Disember, Ahad, diadakan Jelajah Harian PAS Pusat ke Perak. Alhamdulillah, majlis diadakan di Markas Tarbiyah PAS Air Kuning, dengan kehadiran yang sangat memuaskan. Kehadiran rombongan daripada PAS Pusat ini, diharapkan dapat mengeratkam ukhuwah sesama pimpinan.

Di dalam Islam, menekankan aspek tarbiyah, yang mana salah satu elemennya ialah "keselarasan fikrah". Antara istilah istilah tarbiyah yang mempunyai elemen "keselarasan fikrah" ialah saling mengenali (التعارف), saling bekerjasama (التعاون), saling membantu (التكافل), persaudaraan (الأخوة), kepercayaan (الثقة), usrah (الأسرة), kursus (الدورة) dan banyak lagi.

Hari ini, kita sewajarnya bersyukur kepada Allah SWT, kerana menghimpunkan kepimpinan PAS di setiap kawasan, bagi memastikan keselarasan fikrah sesama kepimpinan. Kita tidak perlu memasang telinga menadah fitnah orang luar terhadap kepimpinan dan PAS. Inilah yang dinamakan sebagai keselarasan fikrah (وحدة الفكر).

Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, para sahabat RA diselaraskan fikrah melalui pertemuan yang kerap bersama Rasulullah SAW sebagai pimpinan tertinggi. Bahkan sangat banyak riwayat yang disampaikan melalui pertemuan sahabat RA dan Rasulullah SAW, dan riwayat melalui pemerhatian sahabat RA terhadap perbuatan Rasulullah SAW.

Ya, kita perlu selaraskan fikrah kita di atas dasar Islam, bukanlah keselarasan fikrah di atas dasar liberalisme, sekularisme dan sebagainya. Fikrah Islam itu sudah pasti bertunjangkan al Quran dan Hadis, bukanlah berpaut kepada idea idea peribadi, lalu dilabel sebagai pemikiran Islam.

Semoga usaha kita dalam menyatukan firkah ahli ahli PAS diberkati oleh Allah SWT, di kala dunia yang dilanda tsunami fitnah yang sangat sukar dibentengi atau diselamatkan.


Terus beristiqamah,


Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
5 Rabi'ul Akhir 1436
Ahad, 25 Januari 2015

Sabtu, 24 Januari 2015

Madrasah Nuqaba

23 Januari, Jumaat, menghadiri Madrasah Nuqaba secara bulanan anjuran Lajnah Tarbiah Badan Perhubungan PAS Perak. Pengisian disampaikan oleh Ustaz Suaid Din, ahli Majlis Fatwa Negeri Perak, dan juga Mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Perak

GOTONG ROYONG PASTI TAMPAN AIR


24 Januari, Sabtu, singgah melihat Ketua Muslimat Lenggong Ustazah Fauziah yang merupakan juga guru Pasti Tampan Air.. Insya Allah akan mula beroperasi dibuka Isnin ini setelah sekian lama di tenggelami air. Innsya Allah jam 4 ptg Ahad, Hitea dan Pelancaran Dana Pasti Lenggong bersama pimpinan harian pusat akan diadaka di sini.

Kemudiam meneruskan perjalanan ke Lawin untuk menziarahi Allahyarhamha ibu kepada ustaz Zulkifli Abu, Mantan YDP dan calon PR 55 Lenggong yang telah kembali ke rahmatullah malam tadi. Al-Fatihah

Jumaat, 23 Januari 2015

MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG CAWANGAN CAWANGAN BAGI KAWASAN PERMATANG PAUH


22 Januari, Khamis, merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan cawangan Kawasan Permatang Pauh bertempat di Dewan Haji Yusof Rawa. Semoga usaha kalian mendapat keberkatan Allah SWT