Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Sabtu, 3 Januari 2015

PERUTUSAN PESURUHJAYA PAS PERAK SEMPENA MAULIDURRASUL


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang mengutuskan Nabi Muhammad SAW memimpin manusia dan makhluk seluruhnya ke arah kebenaran dan menjauhkan daripada kegelapan jahiliyyah.

Allah SWT berfirman :

(وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ)

Maksudnya : Kami tidak mengutuskan kamu melainkan untuk rahmat sekelian alam (Surah al Anbiya : 107)

Apabila kita mengucap dua kalimah syahadah, kita perlu berpegang dan meyakini Allah dan RasulNya. Tidak sepatutnya lidah yang mengungkap dua kalimah ini tidak yakin dengan janji Allah, undang undangNya serta cara pelaksanaan Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT mencipta kita adalah untuk beriman kepadaNya serta patuh dengan segala arahanNya. Allah bukanlah menjadikan kita untuk sombong di muka bumi, atau bermegah dengan buat kerja yang sikit, akan tetapi kita sendiri perlu sedar bahawa kita ini makhluk yang dicipta, dan segala gerak kerja kita diberi petunjuk olehNya.

Hari ini, sempena Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW, kita perlu merenung sejenak, sejauh manakah komitmen kita meneruskan legasi perjuangan Rasulullah SAW? Apakah cukup dengan hanya sekadar berjalan jalan di dua tiga buah tempat, dengan gambar gambar liputan yang menebal? Atau merasa cukup dengan hanya kenyataan media yang tidak langsung menggambarkan perjuangan Islam?

Perlu tahu, apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW serta matlamat perjuangan Baginda yang jelas inilah wadah yang diperjuangkan oleh PAS sehingga dapat mendepani apa juga rintangan dan ujian selama puluhan tahun. Berpeganglah dengan Islam cara Rasulullah SAW, bukan sekadar melaungkan kata kata semangat yang akan pudar esok atau lusa.

Nabi SAW telah meninggalkan kita lebih 1400 tahu dengan meninggalkan al Quran dan Hadith sebagai warisan. Janji Nabi SAW bagi sesiapa yang berpegang dengan keduanya, tidak akan sesat selamanya. Alhamdulillah, kedua dua inilah yang menjadi tunggak perjuangan PAS yang sebati dengan namanya.

Ikutlah nasihat, ajaran dan pandangan para ulamak khususnya Majlis Syura Ulamak PAS dalam memberi pandangan tentang ajaran Islam dan perjuangan, kerana merekalah orang yang memahami selok beloknya. Merekalah yang faham tentang tafsiran dan huraian keduanya sepertimana seorang doktor yang memahami selok belok penyakit dan pesakit, dan mekanik yang tahu selok belok kerosakan kenderaan.

Para ulamak telah menghabiskan sebahagian besar hidup mereka untuk mendalami warisan Nabi Muhammad SAW ini. Ada dari kalangan mereka yang mengelilingi dunia sebanyak dua kali bagi menyiapkan satu buku, ada juga dari kalangan mereka yang mati dalam perjalanan menuntut ilmu dan banyak lagi. Inilah sepertimana yang dinukilkan oleh pelapis pelapis mereka hari ini.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
12 Rabiul Awwal 1436
Sabtu 3 Januari 2015 

0 comments:

Catat Ulasan