Saya merasa kesal dengan penganjuran KPOP yang diadakan baru baru ini, 10 Januari, yang bertempat di Kuala Lumpur. Apakah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan buta terhadap keruntuhan ini? Atau apakah ini kebebasan yang diperjuangkan oleh liberalisme? Bebas "beraksi" hina di hadapan masyarakat? Inikah sekularisasi UMNO yang menerajui kepimpinan kerajaan?
Di kala rakyat Malaysia dirudung dukacita dengan banjir, tanah runtuh serta puting beliung, masih lagi mampu untuk menjemput bala Allah SWT datang ke Malaysia? Hari ini, Malaysia mengalami pelbagai keruntuhan yang meruncing, keruntuhan ekonomi yang dahsyat, keruntuhan akhlak remaja, keruntuhan syariat dan sebagainya. Di kala keruntuhan ekonomi Malaysia yang dahsyat masih lagi boleh bazirkan duit negara dengan menaiki kapal terbang ke serata dunia. Di kala keruntuhan akhlak remaja, masih lagi menjemput KPOP bertandang. Di kala keruntuhan syariat, masih lagi boleh menolak hudud dan undang undang Allah.
Kalau dahulu, penjajahan British mereka meninggalkan undang undang mereka untuk dilaksanakan di Malaysia, lalu apabila munculnya pejuang pejuang Islam, mereka melemparkan doktrin pengganas, ajaran sesat, taksub dan sebagainya, walhal mereka tidak sedar bahawa sekularisme itu juga ajaran sesat yang belum diwartakan sehingga ke hari ini. Apabila datangnya penjajahan Jepun, ramai menceritakan kekejaman mereka, memancung leher masyarakat Tanah Melayu, membunuh dengan sewenang wenang dan sebagainya.
Nah, hari ini muncul penjajahan ideologi koreaisme yang merosakkan akhlak muda mudi, yang menyebabkan kegilaan lebih lebih lagi kaum hawa yang dahulunya terkenal dengan sifat pemalu. Hari ini pula muncul di atas pentas berpelukan dan berpegangan. Kalau dahulu penjajahan dianggap sebagai satu kezaliman, namun hari ini penjajah ideologi kotor seumpama ini tidak dianggap apa apa. Bisu dengan kemungkaran yang dilakukan oleh "penjajah".
Saya menggesa agar pihak kerajaan agar mengambil tindakan terhadap isu ini, bukan sekadar memohon maaf di hadapan media, tetapi kelak menjemput semula "penjajah" yang lebih kurang sama. Jangan menjemput bala Allah. Saya juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar menukar kepimpinan yang sedia ada hari ini dalam PRU akan datang. Sudah sekian lama, agenda agenda kemungkaran tetap mengalir di bumi Malaysia. Apabila rakyat bangkit menentang kemungkaran, mereka mungkin akan memohon maaf di hadapan media, tetapi selang beberapa bulan, kembali mengadakan program yang hampir sama.
Kajilah tentang ancaman sekular yang membahayakan masyarakat Malaysia. Apabila tibanya 12 Rabi'ul Awwal, mereka akan bersongkok dan bersampin serta berarak dan mengucapkan ucapan memperingati hari kelahiran Rasulullah SAW. Selang beberapa hari, orang yang sama juga turut bersetuju untuk menjemput artis artis untuk merosakkan moral anak muda remaja. Kajilah tentang ancaman liberal, apabila masyarakat Islam mengamalkan Islamnya secara bebas, mereka mendakwa ia adalah satu kejumudan yang mesti diubah. Tetapi apabila diadakan program program yang meruntuhkan moral, merosakkan akhlak masyarakat, mereka mendakwa inilah satu kebebasan yang perlu dipraktikkan.
Terus beristiqamah,
Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
20 Rabiul Awwal 1436
Ahad 11 Januari 2015
paktehrazman.blogspot.com
0 comments:
Catat Ulasan