Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Ahad, 12 April 2015

TOLAK GST KERANA DIHARAMKAN ALLAH, LAKSANA HUDUD KERANA IA ARAHAN ALLAH


Saya mendapati pihak kerajaan hari ini begitu bersungguh sungguh memahamkan rakyat tentang GST. Pelbagai promosi dibuat, iklan ditayangkan, bahkan lagu juga direka khas bagi berkempen sejenis cukai ini. Dalam pada itu, GST atau apa jenis cukai yang diharamkan dalam Islam, adalah dilarang. Berkempen dan memberi penerangan tentang GST walhal ia adalah sejenis cukai yang diharamkan.

Walaupun ia masih tidak difahami oleh rakyat, berlaku banyak penipuan dan sebagainya, ia tetap dilaksanakan apabila tiba pada tarikh yang ditetapkan tempoh hari, 1 April 2015. Adakah negara kita bersedia untuk melaksanakan GST sedangkan ia diharamkan, dan masyarakat pun masih keliru, dan tidak jelas tentangnya? Tetapi, disebabkan kuasa itu pada kerajaan BN, ia tetap dilaksanakan walaupun sejuta bantahan dan jutaan yang masih tak faham.

Cuba kita bandingkan pula dengan Enakmen Syariah Kelantan Pindaan 2015, yang ditentang hebat oleh beberapa pihak yang berkepentingan. Mereka berhujahkan bahawa hudud masih tidak dapat difahami oleh semua rakyat, hudud masih belum jelas dan pelbagai lagi dalih dan alasan untuk tidak melaksanakan undang undang Allah ini.

Mengapa GST dilaksanakan walaupun masyarakat masih tidak memahaminya, sedangkan Hudud yang merupakan undang undang Allah ditentang dengan dalih masyarakat belum memahami? Ada pula yang mempersoalkan teknikel teknikel pelaksanaan hudud, walhal mereka berdiam diri terhadap pelaksanaan GST? Ada juga yang menolak GST atas dasar membebankan rakyat, dan tidak pula beralasan masyarakat belum faham.

Hari ini beberapa kelompok menolak GST dengan alasan membebankan, menyusahkan rakyat, bukan kepentingan masyarakat dan banyak lagi. Walhal tidak nampak mereka berhujah bahawa ia adalah perkara yang diharamkan oleh Allah. Kelompok yang menolak hudud pula beralasan bahawa masyarakat tak faham, belum bersedia, perlu basmi kemiskinan dahulu dan sebagainya, walhal ia adalah arahan daripada Allah SWT.

Kembalilah kepada Islam, yang mengharamkan cukai dan menyuruh kepada pelaksanaan hudud. Haramkanlah cukai kerana ia diharamkan oleh Allah SWT, dan laksanakanlah hudud kerana ia adalah arahan Allah SWT. Jadikan Allah sebagai matlamat perjuangan, bukan memilih kepentingan dunia sebagai matlamat.


Terus beristiqamah,
Hj. Razman Hj. Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
Khamis, 9 April 2015
21 Jamadil Akhir 1436

0 comments:

Catat Ulasan