Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Khamis, 29 Januari 2015

KEMENANGAN GERAKAN ISLAM TERTANGGUH DISEBABKAN KRISIS KEFAHAMAN AHLINYA?


Rukun Bai'ah pertama yang digariskan oleh al-Syahid Imam Hassan al-Banna adalah الفهم iaitu faham. Faham di sini bermaksud memahami matlamat dan tujuan PAS semasa kita mengisi borang untuk berintima' dengan jamaah ini.

Kefahaman gerakan ini boleh difahami dan dihayati sepenuhnya apabila seseorang ahli itu melalui proses tarbiah yang disusun secara sistematik oleh ulama' haraki dalam PAS sepertimana yang sudah berjalan sekian lama.

Rukun الفهم ini nampaknya masih belum jelas di kalangan segelintir ahli PAS sendiri. Baru-baru ini, ada tulisan yang disebarkan melalui WhatsApp yang mendakwa bahawa :

a) Istilah tebuk kapal sudah pun dimainkan sejak 20 tahun dahulu oleh para pimpinan yang selesa kerana dilindungi oleh kekebalan istilah wala'

b) Bukan masalah ahli tebuk kapal, tetapi kapal ini dihancurkan sendiri oleh nakhodanya.
Dalam senario ini, saya melihat bahawa pemikiran seperti ini dapat memberikan implikasi yang tidak baik kepada  keutuhan jemaah. Para nuqaba' dan murabbi perlu segera membuat pencerahan sebelum krisis fikrah berubah menjadi lebih parah.

Sebagai anggota harakah Islamiyyah, seharusnya mempunyai fikrah perjuangan Islam yang jelas. Sebarang interpretasi yang dikeluarkan wajib berdasarkan kepada ilmu dan rujukan kitab serta ulamak muktabar. Bukan sekadar idea idea sendiri yang belum pasti kebenarannya.

Setelah kewafatan Nabi SAW, umat Islam telah berpecah kepada berbagai firqah. Semuanya merasakan bahawa mereka di atas jalan yang benar. Siapa hakimnya dan di mana jalan penyelesaian yang sebenar melainkan daripada petunjuk Allah SWT.

Surah An-Nisa, ayat 59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Siapakah yang benar-benar dapat memahami dan menghayati ayat-ayat Allah SWT? Berapa jilid tafsir para ulamak yang telah kita rujuk sebelum mendakwa saya yang betul, nakhoda yang salah?
Siapakah nakhoda yang dimaksudkan yang telah menghancurkan kapal?  Selami tujuan dan kesan penulisan tersebut, jangan sekadar tahu melempias nafsu dalam wassup, kemudian merasakan diri terlalu hebat. Sila jelaskan, nakhoda yang bagaimana, yang kamu rasakan sesuai untuk diserahkan mandat membawa perjuangan Nabi SAW yang diperjuangkan oleh PAS?

Adakah nakhoda yang pandai menentang al Quran itu adalah yang terbaik untuk mengemudi kapal? Atau nakhoda yang memperleceh Hadis Nabi SAW tentang tebuk kapal adalah yang terbaik? Atau nakhoda yang tidak yakin dengan undang undang Allah itu yang kamu rasa terbaik?

Kita tidak boleh mengulangi kesilapan lampau. Pada tahun 1983, PAS telah dikembalikan ke "track" yang betul di bawah dasar kepimpinan ulamak. Tidak perlu lagi kefahaman ini diselewengkan. Pertahankanlah dasar ini dengan apa cara sekalipun, setelah mana PAS berhadapan dengan krisis pada beberapa tahun sebelumnya.

Kenangkan sejarah silam Dato' Muhammad Asri Muda yang memegang selama 18 tahun sebagai Presiden PAS. Beliau terlibat dalam perjuangan seawal zaman Ustaz Abu Bakar al-Baqir,  Dr Burhanuddin Al Helmy dan Dr Zulkifli Mohammad. Namun begitu, atas sebab kefahaman perjuangan Islam, kepimpinan beliau akhirnya ditolak oleh ahli-ahli pada ketika itu. Nampaknya seolah-olah sejarah ini berulang dalam versi yang berbeza.

Mudah-mudahan coretan ini membuka minda pencinta perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi SAW untuk terus mempertahankan keaslian fikrah perjuangan PAS. Bukan untuk kepentingan sesiapa, melainkan untuk Islam. Kalau kita merasakan kita lebih hebat berijtihad berbanding para ulamak, sila datang hujah ilmiah untuk diperhalusi, bukanlah dengan membuat kenyatan terbuka yang menyerlah kejahilan sendiri.

* Catatan dalam perjalanan ke Liqo PAS Kawasan Batu Gajah


Terus beristiqamah,


Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
7 Rabi'ul Akhir 1436
Selasa, 27 Januari 2015
paktehrazman.blogspot.com

0 comments:

Catat Ulasan