Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selasa, 16 Disember 2014

CATATAN SEKEMBALINYA DARI MAHKAMAH TINGGI KUALA TERENGGANU : TERBUKANYA SATU FITNAH BERTAHALUF

Bumi mana tidak ditimpa hujan dan laut mana tidak bergelombang. Ungkapan ini sinonim dengan kehidupan manusia hari ini.

Hari ini 15 Disember, Tuan Guru Presiden berjaya dalam isu saman fitnah oleh Saudara Mohd Shamsul bin Mat Amin, bekas calon PKR DUN Bukit Besi. Tuan Guru Presiden diwakili oleh peguam LUHAM Tuan Haji Asmuni Awi dan anak beliau Saudara Fitri Asmuni (Tetuan Asmuni & Co) manakala Saudara Shamsul diwakili oleh Tetuan Vasudevan & Co.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya berkata, walaupun mahkamah bersetuju penyataan defendan berunsur fitnah tetapi plaintif gagal membuktikan ia ditujukan kepadanya kerana nama dan identiti calon tidak disebut. Sedangkan di seluruh Malaysia, katanya, ada 6 DUN yang terlibat dengan isu ini bukannya satu, dan tidak semestinya ia ditujukan kepada plaintif.

Hakim berkata, defendan iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga dilindungi qualified privilege (perlindungan bersyarat) kerana berucap selaku Presiden parti kepada ahli dan penyokong semasa kempen pilihan raya. Dalam penghakimannya, hakim berkata, beliau (TGHH) memenuhi semua syarat ketika menyampaikan ucapan itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memutuskan bahawa TGHH tidak bersalah dan mengenakan kos RM10,000 kepada Saudara Shamsul. Sepertimana lumrah apabila ada keputusan maka pasti pihak yang menang akan gembira dan dihujani ucapan tahniah. Pada masa yang sama ada pihak yang merundung kedukaan dan tekanan perasaan tidak puas hati yang berpanjangan.

Sekiranya kita melihat dari sudut positif, Saudara Shamsul merupakan bekas calon PKR, yang merupakan rakan komponen Pakatan Rakyat dan beliau punyai keluarga dan rakan. Adakah mereka ini akan mengundi Pakatan Rakyat khususnya PAS dalam PRU akan datang? Sekiranya jawapannya "ya", alhamdulillah, sekiranya tidak, kita sudah pun kehilangan undi. Tetapi siapa puncanya kehilangan undi ini? Satu undi seorang profesor sama sahaja dengan satu undi penagih dadah.

Sesiapa sahaja boleh mereka cipta hujah untuk memuaskan dan menguatkan sokongan terhadap kecenderungan kita. Persoalannya benarkah kita akan melakukan demikian? Sejauh mana keredhaan Allah terhadap kita?

Sebagai ahli PAS saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Guru Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang serta pasukan peguam Tuan Hj Asmuni Awi. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan supaya TGHH terlepas daripada fitnah ini. Syukur Alhamdulillah kepada Allah SWT kerana memperkenan rintihan hamba-hambaNya. Bersih nama Murabbi pemimpin dunia Islam Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Moga Allah SWT memanjangkan umurNya dalam keadaan sihat sejahtera.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

Isnin, 23 Safar 1436
15 Disember 2014

0 comments:

Catat Ulasan