Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Sabtu, 13 Disember 2014

14 CATATAN DI LIQO FIKRI PUSAT : FAHAMI SYARIAT, IA ADALAH DASAR PAS

Liqo Fikri PAS Pusat baru sahaja melabuhkan tirainya. Saya sempat meneliti satu persatu kalam Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam ucapannya yang sarat dengan hikmah dan fikrah sebagai seorang pimpinan Gerakan Islam.

Beberapa butiran kalamnya;

1) UMNO/BN sepatutnya melaksanakan amanah Islam sejak selepas merdeka lagi, namun ia tidak terlaksana hingga ke saat ini. Bahkan Islam itu mesti diperluaskan, dan ditafsir sebagai sebuah addin yang lengkap. Bukan sepertimana yang sedang terjadi hari ini, Islam diambil sekerat sekerat, ditafsirkan di bawah kurungan kurungan tertentu sahaja dan sebagainya. Maka Islam yang lengkap akan dipandang rompong apabila ia dikerat kerat.

2) Di dalam Paiagam Madinah, memperuntukkan bahawa al Quran dan Sunnah sebagai hukum yang tertinggi, dan Perlembagaan Negara boleh dipinda dengan meletakkan al Wuran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi. Perkara ini tidak sama dengan konsep wilayatul faqeh dalam ajaran syiah. Bagi mereka yang baru sahaja tumbuh tanduk, merasa gatal untuk menanduk, habis disondolnya sana sini. Jangan terlalu gopoh, nanti patah tanduk.

3) Sejarah melakarkan begitu jelas bahawa Islam lebih awal memahami demokrasi berbanding Barat. Islam menentang elemen diktator dengan memberi hak kepada rakyat untuk bersuara. Antara yang boleh kita lihat, sejarah kewafatan Rasulullah SAW yang memperlihatkan kehebatan Islam dalam perlantikan khalifah. Bahkan, demokrasi itu paling hampir dengan Islam, tapi jangan terlalu berdemokrasi sehingga  bercanggah dengan syarak.

4) Dalam isu masyarakat majmuk, Islam mengiktiraf perkara ini sepertimana yang terlukis dalam sejarah tamadun Islam, di mana keadilan dapat disaksikan oleh bukan Islam, berbeza dengan hari ini. Antara bentuk bentuk kerjasama dengan bukan Islam, seperti;

- Tahaluf : Persefahaman dengan bukan Islam dalam perkara yang dipersetujui.

- Zimmah : Bukan Islam yang bersedia menghuni di negara Islam.

- Mu'ahadah : Perjanjian antara negara bukan Islam dan negara Islam.

- Sulh : Perjanjian damai dengan bukan Islam.

- Muwada'ah : Gencatan senjata

- Himayah : Perlindungan kuasa politik

- Ta'awun : Bertolong tolong dalam perkara baik.

- Isti'anah : Minta tolong bukan Islam untuk melawan musuh.

5) Malaysia mengamalkan sistem raja berpelembagaan, dan PAS inginkan supaya sistem ini dipelihara mengikut keselarian dengan syariat Islam. Di sini kita boleh perolehi manfaat melalui pemerintahan secara wilayah sepertimana yang diceritakan oleh al Mawardi ketika menghuraikan istilah "autonomi".

6) Antara kisah yang boleh diambil pengajaran ialah ketika kewafatan Nabi Muhammad SAW, berbondong bodong kumpulan menyeru ke arah murtad. Beberapa sahabat RA berjuang menghapuskan gerakan ini, Saidina Abu Bakar RA menjaga Madinah, Abu Musa al Asy'ari menjaga Yaman dan gabenor gabenor Islam di tempat yang lain. Gabenor Mekah, Usaid bin Hudir yang masih muda dibantu oleh Suhail yang menyeru : "Wahai penduduk Mekah, janganlah kamu murtad, hendaklah istiqamah!"

7) Apa yang menjadi masalah ialah kelompok yang terkeliru dengan istilah "tahaluf". Mereka melihat bahawa Tahaluf adalah satu satunya cara untuj berkomunikasi dan berurusan dengan kelompok lain, sedangkan banyak lagi medium yang digariskan dalam Islam. Luaskan pengetahuan dengan memahami fikrah Islam, bukan dengan andaian sendiri.

8) Konsep taat kepada "ulil amr" juga perlu difahami dengan sebaiknya. Taat kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, manakala taat kepada pimpinan hanya dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan Rasul. Begitu juga keputusan yang diputuskan oleh pimpinan tidak boleh dicanggahi.

9) Dalam memahami istilah Tahaluf Siyasi dan Wala', kita perlu faham bahawa hubungan dengan pemimpin yang beriman berpanjangan sampai ke akhirat. Manakala hubungan kita dengan bukan Islam, hendaklah berdasarkan maslahah (mengikut keperluan). Kadangkala kamu sayangi mereka, tetapi mereka tidak pernah sayangi kamu. Tahauf adalah ujian bagi wala', hendaklah mengutamakan wala' berbanding tahaluf. Jangan pula ada yang hanyut dengan tahaluf.

10) Antara yang menjadi gangguan di sepanjang jalan istiqamah ialah mahukan Islam tetapi jahil, atau mahukan Islam tetapi melampaui daripada batasannya. Oleh itu kita perlu bersama dengan Gerakan Islam dari awal, sepertimana hadis Nabi SAW bahawa perang itu adalah tipudaya, tetapi ada batasannya, iaitu jangan melampau. Keputusan memilih strategi mestilah berdasarkan keputusan pimpinan, jangan pula buat keputusan sendiri.

11) Hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat adalah strategi politik dan ia hendaklah didasari di atas dasar syariat. Hukum syarak serahkan kepada Ahli Majlis Syura untuk menggariskannya, manakala strategi politik serahkan kepada AJK PAS Pusat untuk melaksanakannya. Dalam perlembagaan PAS, MSU berhak membatalkan keputusan AJK PAS Pusat sekiranya bercanggah dengan syarak. Bahkan, ada juga keputusan MSU yang tidak semestinya dilaksanakan terus oleh AJK PAS Pusat, seperti keahlian bukan Islam, yang ditentukan mengikut situasi politik semasa.

12) Kita perlu ambil pengajaran terhadap krisis politik Asia Barat, iaitu PAS mendasari strategi yang menggerakkan akar umbi rakyat. Keadaan dalam Malaysia berbeza dengan di luar, oleh sebab itulah PAS memilih cara "muwajahah silmiyyah"

13) Kita juga wajar belajar daripada krisis IS. Berdasarkan kajian, IS terbentuk daripada tiga kelompok, iaitu agen CIA, individu yang tak pulang selepas isu Afghanistan dan indivisu yang punyai semangat tinggi tanpa asas Islam yang kukuh. Kita perlu ingat, nak bina rumah perlu ada asas yang kukuh dahulu. Di negara-negara Arab banyak berlaku peperangan yang membuahkan fitnah dan kecelaruan.

14) Peristiwa yang sedang berlaku di dunia Islam hari ini seolah olah seorang ibu yang sakit, sarat mengandung dan bakal melahirkan anak. Darah yang mengalir ini akan menyaksikan lahirnya kemenangan Islam. Kesimpulannya, kita perlu yakin dengan perjuangan kita dan ia adalah kesinambungan daripada perjuangan Nabi Muhammad SAW. Jemaah inilah yang asal dan benar dan
ummah iitiba' (menuruti Nabi) mesti diwujudkan dalam jemaah ini.

Kalam kalam Tuan Guru Presiden ini diolah daripada catatan Ustaz Muhammad Nasri, Timbalan Yang Dipertua PAS Kemaman. Semoga ia bermanfaat buat tatapan semua.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

13 Disember/21 Safar, Sabtu

0 comments:

Catat Ulasan