Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Ahad, 2 November 2014

MUNAQASYAH UCAPAN DASAR PRESIDEN DAN SEBUAH CATATAN RINGKAS


Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden diadakan di peringkat Negeri Perak, pada 1 November 2014 bertempat di Markas Tarbiah Air Kuning, yang diulas oleh Dato Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Antara intipati yang boleh diambil antaranya:

1. Presiden hanya seorang dalam PAS. Maka di sini kita perlu memusatkan wala' kepatuhan hanya kepada Presiden yang juga salah seorang daripada anggota Majlis Syura Ulamak.

2. Kita perlu pastikan bahawa undi pilihanraya mesti menguntungkan Islam, bukan menguntungkan individu tertentu atau kepentingan yang khusus. Maka fahamilah bahawa matlamat perjuangan PAS ialah Islam.

3. Dalam Islam, ukuran berjaya bukanlah menang ataupun kalah, kerana kemenangan dan kekalahan itu adalah percaturan Allah. Maka janganlah kita terlalu seronok dengan kemenangan sehingga meminggirkan Islam ke tepi, tidak juga berputus asa meninggalkan perjuangan kerana kalah.

4. Kalau tidak kerana Islam sudah lama PAS itu berkubur sepertimana terkuburnya ideologi ideologi yang menentang Islam di dalam tanah lipatan sejarah manusia. Akan tetapi PAS terus kekal megah di atas dasar Islam yang agung, kerana matlamat perjuangannya ialah Allah Yang Maha Kekal.

5. Jangan adakan mesyuarat selepas mesyuarat, atau dengan kata lain mewujudkan perpecahan halus yang mempertikaikan keputusan mesyuarat yang asal. Keputusan mesyuarat hendaklah dipegang, bukan dikritik dan dinilai semula oleh individu individu luar yang tidak berpegang dengan prinsip Islam.

6.  Jangan kumpulkan orang yang tak puas hati. Apabila hati hati yang tidak puas itu berkumpul sekali, ia akan menguatkan kebatilan yang bersatu di atas dasar benci. Kembalilah kepada Islam yang mengajar kita bersatu dengan berlapang dada dan menerima dengan hati yang terbuka.

7. Jangan bantah arahan Presiden, bukan kerana beliau seorang yang maksum, akan tetapi atas dasar thiqah (percaya) kita terhadap keputusan pimpinan. Kita berhak memberi pandangan, tetapi kita tidak berhak mempertikaikan keputusan, kerana keputusan bukan dibuat untuk menjaga hati kita semata mata, akan tetapi untuk menjaga maslahat yang lebih besar dan utama daripada diri kita.

8. Semangat itu akan datang dan pergi tanpa mengikut jadual selera kita. Ketahuilah semangat tanpa ilmu dan faham takkan kekal lama. Mana mungkin seseorang yang tidak tahu destinasi perjalanannya boleh meneruskan perjalanan yang panjang. Ia akan dilihat tiada berpenghujung. Maka istiqamahlah di atas jalan juang dengan kefahaman dan ilmu mengikut tunjuk ajar orang yang berilmu, bukan dengan andaian orang yang jahil.

9. Ketahuilah, masyarakat pasti akan kembali kepada Islam apabila mereka yakin. Binalah keyakinan masyarakat terhadap Islam yang ditunjangi oleh keyakinan yang bulat kepada Allah SWT. Janganlah kita sekadar bina persepsi yang salah, yang bertapak lemah di atas lapangan fitrah manusia. PAS perlu bina keyakinan ini dan tunjukkan contoh yg baik, bukan bina persepsi yang salah.

10. Jangan sedih dengan sesuatu keputusan, tapi bersedihlah sekiranya kita tak buat kerja dan malas merancangnya. Kita perlu fahama bahawa kita tidak mempunyai sifat "iradah" (berkehendak) yang mutlak. Ia milik sifat Allah SWT. Maka fahamkan diri kita bahawa kita adalah hamba yang pastinya tidak semua keputusan seiringan dengan kehendak kita selaku hamba.

Terus Beristiqamah,

Catatan
Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
2 November

0 comments:

Catat Ulasan