Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Sabtu, 22 November 2014

TULISAN BISIKAN HATI YANG TERTANGGUH: Bersatulah kita atas dasar Akidah Islam yang mentauhidkan Allah Yang Maha Esa

Bersama Dato Najmi YDP Baling ziarah Ust Awang Tuan Guru Pondok Lanai
Khamis, 20 November baru baru ini, saya mencuri kesempatan untuk menziarahi Tuan Guru Awang Lanai yang sedang sakit. Keesokannya pula Jumaat 21 November mendapat khabar duka pemergian Tuan Guru Ustaz Kamaruddin Awang Basir, Ketua Dewan Ulamak PAS Perak. Semalam, Sabtu 22 November juga  mendapat khabar duka pemergian Tuan Guru Haji Hashim Mat Anang, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak serta Mudir Maahad Irshadiah.

Setibanya di Pondok Tuan Guru Haji Awang Lanai, berkongsi cerita dan pengalaman manis beliau. Kisah kisah yang terpahat hanya di hati, tiada tertulis di mana mana karya.
Beliau meneruskan kesinambungan legasi yang dicetuskan oleh Tuan Guru Haji Omar Zuhdi, antara tokoh yang mempertahankan Almarhum Ustaz Ibrahim Libya dalam peristiwa berdarah 19 November 1985.

Berbekalkan pengalaman yang luas serta keilmuan yang tinggi, Tuan Guru Haji Awang Lanai yang juga diberi mandat sebagai YDP PAS Kawasan Baling hampir 30 tahun.

Di kesempatan ziarah pada 20 November ini, Tuan Guru mencoretkan beberapa plot berdarah Memali yang berlaku ada 19 November 1985. Inilah tarikh hitam pengkhiatan rejim Barisan Nasional terhadap institusi pondok serta gerakan Islam PAS khususnya.

Di kala itulah, Tuan Guru Ustaz Ibrahim Libya ditembak di kediamannya sendiri, bukan di lokasi jenayah, mahupun di medan pemberontakan. Beliau syahid berlumuran darah di pangku isterinya, meninggalkan sebuah warkah penulisan yang bertajuk "Warkah Syahid Untuk Syahid".

Kita sebagai generasi pelapis hari ini, marilah kita sama sama menyedekahkan al Fatihah buat para syuhada yang gugur mempertahankan Akidah Islam. Jasa almarhum terhadap PAS sangat besar, beliau sanggup melepasan jawatan sebagai Pegawai Agama atas dasar kefahaman bagi memahamkan masyarakat Memali. Legasi mulia ini diteruskan hinggalah ke hari ini, dengan pemergian Almarhum Tuan Guru Ustaz Kamaruddin Awang Basir.
Tuan Guru Ustaz Kamaruddin Awang Basir : Perginya seorang tokoh murabbi ummah
Wahai anak muda, pengorbanan mereka amat besar buat kita. Siang dan malam bermusafir jauh bagi menyuluh hati hati yang kegelapan. Pengorbanan mereka ini akhirnya dapat dinikmati oleh kita hari ini, maka, hargailah!

Keringat mereka diperah bagi menyatukan umat Islam di Malaysia, mengkaderkan pelapis, serta memperjuangkan hak! Apakah kita hari ini sanggup menggadaikan pengorbanan orang dulu kerana mengejar pangkat dan dunia yang sementara?

Bersatulah kita atas dasar Akidah Islam yang mentauhidkan Allah Yang Maha Esa. Janganlah kita dipecahceraikan oleh pemikiran pemikiran manusia yang membelok di persimpangan jalan.

Mencoret peringatan dalam musafir 23 November. 

Terus beristiqamah.

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

0 comments:

Catat Ulasan