Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selasa, 24 Februari 2015

SEJARAH ITU BERULANG, PARA ULAMAK MENYELUSURI SIRAH PENINDASAN TERHADAP PARA NABI


1. Kaum Nabi Nuh AS mempertikaikan kenabiannya dengan melabelnya sebagai gila, tak masuk akal, kerana membina sebuah kenderaan yang boleh berjalan atas air. Ingat, Islam tidak berkiblatkan akal manusia yang hanya meletakkan rasional sebagai tikar sejadahnya. Kembalilah kepada al Quran dan Sunnah dan merujuk para alim ulamaj yang mendalami tentangnya.

2. Kaum Nabi Hud (Kaum Ad) dimusnahkan oleh Allah SWT kerana merasa bangga dengan kekayaan dan kejayaan yang mereka kecapi, lantas menolak ketuhanan Allah yang memberikan segalanya. Apakah kita tidak belajar daripada sirah ini? Dengan mengulangi perbuatan mereka yang menganggap bahawa kemenangan itu hanyalah dengan pakatan, dan melonggar longgarkan prinsip Islam. Apakah dengan kemenangan sekerusi dua, tetapi tergadai segalanya itu dianggap sebagai kemenangan?

3. Kaum Thamud (Nabi Soleh AS) dimusnahkan oleh Allah kerana mereka mencabar kekuasaan Allah dengan menyembelih unta putih, iaitu melanggar arahan Allah. Apakah manusia hari ini mencabar kuasa Allah dengan melanggar segala arahanNya? dan mengetengahkan Islam yang "diseleweng" atas nama "moderate"?

4. Kaum Sodom (Nabi Luth AS) diterbalikkan negeri mereka kerana memperjuangkan kebebasan tanpa had, bebas berkahwin sesama jantina dan melabel Nabi Luth AS sebagai seorang yang tidak dapat menerima "realiti" masyarakat. Apakah manusia hari ini tidak takut ancaman daripada Allah kerana memperjuangkan kebebasan tanpa had?

5. Kaum Yahudi telah membunuh nabi nabi mereka, kerana enggan mengikut prinsip Islam yang dibawa oleh nabi nabi tersebut. Apakah manusia hari ini secara halus "membunuh" peranan para ulamak serta karekter karekter mereka? Apakah mereka mahu meniru kelompok Yahudi yang dimurkai oleh Allah sehingga hari kiamat?

Apa yang kita cari dalam PAS? Kepentingan poket kita ataupun Islam itu yang kamu junjung? Apakah kamu mengatakan kamu menjunjung Islam tetapi di dalam hati kamu menyimpan sepenuh kebencian terhadap mereka yang memahami dan mengamalkan Islam? Serta tangan kamu mencakar cakar merosakkan imej para alim ulamak?

Apa yang ulamak dapat sekiranya diangkat sebagai pemimpin? Mereka hanya mahukan Islam. Apa yang ulamak dapat sekiranya tidak dilantik? Mereka akan terus menerus melakukan gerak kerja Islam, memberi kefahaman kepada masyarakat siang dan malam.

1. Mereka tidak fikirkan balak setelah menang, kerana mereka tahu balak itu tidak mampu memberatkan timbangan amal di akhirat.

2. Mereka tidak fikirkan pengaruh manusia kerana mereka mencari Allah dalam perjuangan mereka, bukan pujian manusia yang lidah mereka juga dicipta olehNya.

3. Mereka tidak fikirkan wang, kerana mereka tahu wang itu adalah salah satu rezeki daripadaNya, bukanlah satu satunya rezeki.

4. Mereka tidak fikirkan kepentingan dunia, kerana mereka bukan menjadikan dunia sebagai destinasi, tetapi dunia cumalah persinggahan ke negeri abadi (akhirat).

Masyarakat lebih berkiblatkan media dan akhbar sebagai sumber yang shahih kononnya, masyarakat berkiblatkan kepada kata kata wartawan berbanding penilaian penilaian yang digariskan oleh Islam. Masyarakat lebih suka mendengar beberapa potongan video berbanding bertemu dengan para ulamak mengaji sebaris dua kitab kuning di masjid atau surau.

Terus beristiqamah,

Hj. Razman Hj. Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

Isnin 23 Februari 2015
4 Jamadil Awwal 1436

0 comments:

Catat Ulasan