Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Jumaat, 20 Februari 2015

JAWAPAN KEPADA PERTANYAAN MENGENAI PASMA

KENAPA SAYA NAMPAK TAKUT KEPADA PASMA?

Apabila ditanya kenapa takut sangat dengan PASMA, saya senyum dan terus memberi jawapan spontan.

Akhi, adakah akhi tahu bahawa orang Melayu Malaysia ini antara kumpulan bangsa dunia yang paling sukar menerima perkara baru atau peralihan ideologi.

Sebab itu Kristian memerintah tanah Melayu/Malaysia sejak tahun 1511 Portugis di Melaka  sehingga merdeka 1957. Berbagai pendekatan dibuat antaranya dengan membina Sekolah Missionaris seperti Methodist, Clifford, St Michael, St John, Convent dan lain-lain, tetapi masih tak berjaya menukar pegangan agama orang Melayu keluar daripada Islam.

Begitulah juga pertubuhan atau parti politik yang berideologi baru. Beberapa contoh boleh diambil, seperti Parti Negara pimpinan Dato Onn, HAMIM pimpinan Dato Asri Muda, BERJASA pimpinan Dato Mohammad Nasir dan Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Ghazali Hamzah di antara ideologi baru yang memberi impak tetapi tidak boleh bertahan lama dan mati tanpa kubur.

Pasma pula pimpinan Dato Ir Pahrolrazi YDP Pas Kuala Kedah, Mantan Timbalan Pesuruhjaya dan mantan Exco Kerajaan Negeri semasa PAS Kedah dibawah pimpinan Almarhum Ustaz Azizan Razak. dan juga Adun Sungai Limau

PAS wajib menjaga keharmonian dalam parti dan mencegah virus atau unsur-unsur yang mengundang keadaan yang tidak selesa, atau merosakkan.

Pasma yang didaftar sebagai NGO, matlamat dan tujuan yang tertulis dalam dalam peraturannya masih dikaburi, tetapi didakwa adalah bertujuan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat PR. Pemerhatian bentuk program dan kegiatan nya adalah seperti Parti Politik. Sepertimana yang dinyatakan, parti yg berpengaruh boleh berkubur, inikan pula Pasma, yang bukan ancaman atau pencorak lanskap politik negara yang tidak merasa tergugat dengan kemunculannya.

Cuma ianya perlu dicegah dari awal, bimbang ia merupakan barah dan perosak. Saya datangkan satu analogi, suami isteri bergaduh sepatutnya diselesaikan secara dalaman. Apa akan terjadi kepada rumahtangga tersebut sekiranya isteri membuat pakatan belakang dengan jiran atas tujuan mengukuhkan kekeluargaannya. Apakah rumah tangga itu akan selamat? Ini bukan mengukuh, tapi meroboh.

PAS mempunyai struktur pembuat dasar dan keputusan yang tersusun sehingga terbina institusi kekuatan seperti yang ada pada hari ini.  MSU adalah pembimbing dan pemandu arah supaya tindakan dan keputusan PAS tidak tersasar dari matlamat penubuhan dengan panduan Al-Quran, Al-Hadith, Ijmak dan Qias. MSU dilantik daripada mereka yang makruf dan faqeh ilmu agamanya.

MSU telah mengeluarkan nasihat supaya ahli parti tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang dianjur oleh Pasma. Arahan ini dilihat seperti dibangkul sampahkan. Bahkan autoriti MSU dipandang enteng, kekuatan PAS cuba dirobek. Inilah percubaannya. PASMA bukan ancaman yang perlu digentar. Kehadiran Pasma dapat dilihat siapa yang kurang faham dan kurang patuh akan asas perjuangan PAS. Atas faktor ini dapat dijadikan indeks pengukur wala' pada Pimpinan.

Saya yakin Pasma akan berkubur sedikit masa lagi bersama dengan mereka yang sealiran dengannya.

Ataupun untuk mencapai hasrat Pasma, iaitu mengukuhkan Pakatan dengan mengumpul rakyat yang berjuang tanpa batasan syarak perlu menjadi perbandingan masyarakat terhadap perjuangan PAS yang tulen. Setiap tindak tanduk mereka menjadi sarang peluru untuk menguburkan mereka sendiri.

Saya bersetuju dengan pandangan Dr Zuhdi Marzuki yang dinyatakan baru baru ini,

"Pasma eloklah keluar PAS buat parti baru. Mesti ada keberanian politik seperti AK Party di Turki. Bila dah tak sehaluan dengan Ebarkan dan Mehmet Kutan, tubuh parti lain dan akhirnya mereka menguasai Turki. Jadi Pasma dan penyokongnya keluar buat parti baru tak perlu kacau PAS"

Sama berjuang mengukuhkan PR dalam bahtera berbeza dan tujuan berbeza, dengan matlamat yang sama, iaitu ke Putrajaya. Inilah jawapan spontan apabila soalan itu diajukan.

* Catatan perjalanan balik dari program di Titi Gantung, Parit.

Terus beristiqamah,

Hj. Razman Hj. Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

Rabu 18 Februari 2015
29 Rabiul Akhir 1436

0 comments:

Catat Ulasan