Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Sabtu, 7 Februari 2015

APABILA BERSELISIH, RUJUKLAH AL QURAN DAN HADIS DENGAN TUNJUK AJAR PARA ULAMAK


Intisari Ucapan Liqo Fikri Badan Perhubungan PAS Perak, bertempat di Markas Tarbiah Negeri, Air Kuning, Taiping, pada Jumaat, 6 Februari 2015, bersamaan 17 Rabiul Akhir 1436
Allah SWT berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah 
dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an Nisa : 52)

2. Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan sesama orang Islam, hendaklah kembali merujuk kepada al Quran dan Hadis, bukanlah merujuk penulisan, idea falsafah ataupun idea peribadi.

3 (a) Berdasarkan huraian para ulamak, berdasarkan hadis Nabi SAW, timbulnya persoalan, adakah kita "mampu" merujuk terus kepada al Quran dan Hadis sedangkan kedua duanya hanya difahami oleh alim ulamak yang sudah mendalami tentngnya.

3 (b) Siapakah yang lebih faham tentang al Quran dan Hadis kalau bukan mereka itu alim ulamak? Ya, berdasarkan ayat 52, Surah an Nisa, Allah SWT menggesa kita merujuk kepada para alim ulamak yang pakar tentang al Quran dan Hadis. Bahkan al Quran dan Hadis tak mungkin difahami tafsiran dan huraiannya yang tepat oleh si jahil yang hanya berguru dengan buku semata mata, ataupun google.

4. Alhamdulillah, PAS selama ini dipandu oleh Majlis Syura Ulamak, yang mana di dalamnya bukanlah seorang dua yang alim. Bahkan mereka yang pakar dalam pelbagai bidang ini berhimpun untuk menghasilkan ijtihad yang setepat mungkin.

5. Perkara ini juga menjadi peringatan buat diri ini, yang diamanahkan untuk membawa PAS Perak ke arah apa yang dikehendaki oleh Allah SWT, di dalam Surah an Nisa, ayat 52 ini. Saya tidak boleh melepaskan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk bebas menzahirkan mana mana pendirian yang bercanggah dengan al Quran dan Hadis.

6 (a) Kita perlu memahami semula dengan jelas, mengapa kita menyertai PAS? PAS adalah penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah SAW, bukanlah gerakan yang ditubuhkan di atas dasar perasaan, emosi, peribadi, kekayaan dan sebagainya. Kembalilah kepada paksi matlamat perjuangan kita, iaitu al Quran dan Hadis
6 (b) Kita juga perlu faham bahawa kefahaman ini mencair daripada program program tarbiah yang disusun oleh para ulamak. Fahamilah erti tarbiah ruhiyyah, fikriyyah dan jasmaniyyah. Ini kerana sejak akhir akhir ini, bukan sakadar istilah ulamak disalahtafsirkan, bahkan istilah tarbiah turut disalahertikan, bahkan ada yang ketengahkan pula tafsiran mengikut idea sendiri.
6 (c) Tetapkan jiwamu bersama PAS, dan pertahankanlah strukturnya sepertimana ia diperteguhkan oleh para ulamak selama ini, seperti seorang jurutera dahulu memperteguhkan cerucuk bangunan yang berdiri megah pada hari ini. Sekiranya tidak bersetuju dengan pendirian PAS dan prinsip-prinsipnya, rehatkan diri sejenak tetapi jangan sampai terjun kapal.
6 (d) Kita boleh lihat contoh Pak Yazid dan selainnya yang berehat sejenak, apabila PAS mengambil keputusan bersama UMNO/Perikatan pada 1973. Mereka bersabar dengan keputusan jemaah, dan tidak sekalipun terjun kapal. Manakala sejarah mereka yang terjun kapal, tidak bersetuju dengan keputusan jamaah seperti negarawan Almarhum Dato Asri Muda HAMIM dan yang terbaru Dato Hassan Ali Jalur Tiga.

7. Tekankan semula tarbiah, di dalam usrah semua peringkat perlu difahamkan dengan Perlembagaan PAS yang meletakkan al Quran dan Hadis sebagai junjungan tertinggi, serta tujuan penubuhan PAS yang mencari redha Allah, bukan redha rakan berpolitik.

8. Insya Allah, pada 8 Februari 2015, Lajnah Dakwah PAS Pusat akan melancarkan NEKAD 6.0 Peringkat Negeri Perak yang akan berlangsung di Masjid Tinggi Bagan Serai. Manakala pada 14 Februari Hiwar Siyasi, sebelah paginya di Tanjung Malim manakala sebelah malamnya di Kampar.

9. Tujuan NEKAD diadakan adalah untuk memperkasakan Duat iaitu para pendakwah. Manakala Hiwar Siyasi pula mengetengahkan kaedah politik mengikut garis panduan Islam. Inilah dua gerak kerja PAS, iaitu dakwah dan siyasah. Saya memohon kerjasama semua agar dapat menghadirkan diri ke dalam kedua dua program penting ini, serta menjadi duta untuk membawa seramai mungkin amilin agar kita kekal di atas paksi yang betul.


Terus beristiqamah,


Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
Jumaat 6 Februari 2015
17 Rabiul Akhir 1436

0 comments:

Catat Ulasan