Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Isnin, 27 April 2015

TIDAK MUNGKIN KEMENANGAN SEBENAR TERCAPAI DENGAN MERAIH KEMURKAAN ALLAH


Kememangan Islam merupakan janji Allah SWT sepertimana yang disebut dalam FirmanNya

ألا إن نصر الله قريب

Ketahuilah bahawa kemenangan daripada Allah itu sangat hampir (Surah al Baqarah : 214)

Begitu juga dalam hadis hadis Nabi Muhammad SAW yang menceritakan tentang perkara ini. Cuma, ramai yang terlupa atau sengaja buat buat lupa bahawa kemenangan itu hanyalah daripada Allah, bukan daripada makhluk.

Andai kita mengecapi kemenangan di dunia, belum tentu ia adalah kemenangan yang sebenar. Boleh jadi kemenangan itu satu "istidraj" daripadaNya, nauzubiLlah. Andai kita diuji dengan kekalahan di dunia, belum tentu ia adalah kekalahan yang sebenar, sebaliknya boleh jadi ia adalah satu "mehnah" untuk meninggikan keimanan pejuang Islam.

Apakah bentuk kemenangan daripada Allah? Apakah bentuk kemenangan yang sebenar benarnya? Allah SWT berfirman,

(وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ ۚ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ)

Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (Surah al Anfal : 62)

Antara bentuk kemenangan yang sebenar, yang dijanjikan oleh Allah SWT ialah bantuan daripada Allah dan orang orang yang beriman. Tidak mungkin kita menggapai kemenangan dengan meraih penghinaan dan kemurkaan Allah SWT, serta kebencian terhadap orang yang beriman.

Carilah erti kemenangan yang sebenar, yang tidak mungkin digapai dengan hanya kata kata, atau sejuta kemalasan, atau tergendala hubungan dengan Allah SWT, Pemberi kemenangan. Kemenangan yang sebenar juga bukanlah dengan menggadai prinsip Islam dan ia juga bukanlah mampu "dipetik" dalam masa yang singkat, sepertimana hasil ladang yang tidak mungkin dipetik hari ini andai semalam baru menyemai benihnya.

Terus beristiqamah,

Hj. Razman Hj. Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

Isnin, 27 April 2015
9 Rejab 1436

0 comments:

Catat Ulasan