Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Isnin, 27 April 2015

PRESIDEN PAS ADALAH PEMUSATAN ARAHAN, ISLAM TIDAK TERTEGAK DENGAN SEORANG HERO


Dalam mana mana organisasi, pastinya ada pemusatan arahan, seperti Mudir/Guru Besar merupakan pusat arahan di sekolah, Pengarah syarikat di syarikatnya, Pengarah program terhadap AJKnya dan sebagainya. Tujuan pemusatan arahan ini supaya gerak kerja boleh bergerak dengan terancang dan tersusun rapi bagi menggapai matlamat dan tujuan yang disasarkan.

Hal ini merupakan perkara biasa yang diterima oleh semua lapisan masyarakat, ia bukanlah satu candu, bukanlah satu doktrin dan bukan juga satu assobiyah. Akan tetapi ia adalah satu disiplin dan keselarasan yang sememangnya wujud seawal kewujudan manusia lagi. Manakala pemusatan arahan tersebut selagi mana tidak bercanggah dengan syariat, maka ia boleh dipatuhi, sekiranya bercanggah, maka ia tidak boleh dipatuhi. Inilah disiplin yang digariskan oleh Islam.

Gerakan Islam mempunyai organisasi dan sistem sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Sa'id Hawwa di dalam penulisannya "Jundullah, Thaqafatan wa Akhlaqan". Ia juga turut dinyatakan oleh Imam Hassan al Banna di dalam Usul 20 yang menjadi silibus usrah PAS sejak sekian lama.

Dalam organisasi dan sistem, pastinya ada pemusatan arahan. Begitu juga gerakan Islam PAS, pasti ada pemusatan arahan, iaitu Presiden PAS yang merupakan anggota Majlis Syura Ulamak. Apabila sistem dan organisasi ini tiada pemusatan arahan, maka akan berlaku kecelaruan dan tidak mungkin matlamat yang diperjuangkan itu tercapai. Begitu juga apabila pimpinan PAS atau ahlinya tiada pemusatan arahan, maka masing masing akan mengikut kehendak sendiri dan matlamat yang diperjuangkan hanya tinggal angan angan.

Kita boleh bayangkan apabila pemain bola sepak tidak mengikut aturan jurulatih mereka, maka setiap orang lari dari posisi masing masing bagi mengejak bola di hujung padang. Akhirnya kecelaruan ini menyebabkan pemain pemainnya mengalami kepenatan yang lebih, dan mungkin akan "pancit" dalam masa yang singkat kerana tenaganya habis digunakan untuk mengejar bola satu padang.

Saya bimbang, mereka yang tidak mengamalkan pemusatan arahan akan timbul dalam hatinya "saya seorang yang buat kerja, saya seorang sahaja tukang pacak bendera, disebabkan saya kita menggapai kemenangan" dan banyak lagi monolog dalaman seorang yang bekerja tanpa sistem. Saya bimbang mereka akan "pancit" awal dan meninggalkan perjuangan atas dasar "fade up" atau kepenatan.

Maka, pusatkanlah arahan PAS pada Presiden, elakkanlah bercanggah dengan keputusan mesyuarat, elakkanlah mengikut kehendak sendiri walaupun bercanggah dengan pimpinan, dan sebagainya. Belajarlah daripada generasi terdahulu, yang membina gerakan Islam dengan kekuatan bersama, bukan kekuatan seorang "super hero" kerana istilah ini tiada dalam kamus gerakan Islam.

Terus beristiqamah,

Hj. Razman Hj. Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

Ahad, 26 April 2015
8 Rejab 1436

0 comments:

Catat Ulasan