Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Ahad, 12 April 2015

KEMBALILAH KEPADA ISLAM : PENYELEWENGAN DAN PEMBAZIRAN KERAJAAN, MENJADI BEBANAN RAKYAT


Apabila saya meneliti beberapa aspek dan fakta, saya menyimpulkan bahawa Malaysia sedang menjunam ke arah kerosakan yang dahsyat khususnya dari sudut kewangan negara.

KETIRISAN

Laporan Ketua Audit Negara 2013, Siri 3 dibentangkan di Parlimen menyenaraikan beberapa ketirisan yang cukup membimbangkan, apatah lagi ia turut disemak oleh Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC).

Antara yang disenaraikan ialah penipuan oleh seorang pegawai kerajaan sehingga kehilangan hampir RM1 juta duit negara, kos hospital Shah Alam meningkat RM68.25 juta, RM11.94 juta pencen bulanan dibayar oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kepada orang yang sudah meninggal, 7712 aset bernilai RM 44.19 juta dilaporkan hilang 2011 hingga 2013 di Kementerian Kesihatan, dan Projek 1BestariNet bernilai RM663 juta yang tidak capai objektif.

PENGIKISAN

Kerajaan telah mengumumkan pada Ogos 2011, RM173 bilion atau 77 peratus peruntukan ETP telah diberikan kepada syarikat-syarikat milik Kerajaan (GLC). GLC adalah syarikat-syarikat milik kroni dan bukannya dibuat secara tender terbuka untuk disertai oleh rakyat atau syarikat-syarikat tempatan.
Sebagai contoh, antara 2006 hingga 2009, Kerajaan Persekutuan menggunakan RM236 bilion wang dari 55 peratus dari perolehan Petronas kepada kerajaan tetapi masih tidak dapat menampung mengurangkan tekanan ekonomi terhadap negara. Bahkan selama 18 tahun kewangan negara mengalami defisit berterusan.

KERUGIAN DAN PENYELEWENGAN

PKFZ melibatkan RM12.7Billion, kapal selam RM4.52Billion dan komisennya sahaja mencecah RM500Juta, kerugian pembelian aset Sime Darby RM1.6Billion, Kos pembaikan bumbung Stadium Terengganu yang runtuh sebanyak RM292 juta, menanggung kerugian (bailout) Konsortium Perkapalan Berhad milik Mirzan Mahathir sebanyak RM1.7 billio dan sebagainya.
Dua kali menanggung kerugian (bailout) oleh Malaysia Airline System (MAS) yang berjumlah sebanyak RM7.9 billion. Pada ketika MAS berhadapan dengan kerugian pada saban tahun, sebanyak RM1.5 juta telah dibelanjakan untuk membeli TIGA buah lukisan untuk menghiasi pejabat pengerusi MAS, Munir Majid. Selain itu, menanggung kerugian (bailout) Sistem Pengangkutan Putra sebanyak RM4.486 billion dan banyak lagi.

TOL DAN CUKAI DIKENAKAN KEPADA RAKYAT

Perolehan Plus pada 2011 sebanyak RM4.098Billion, manakala perolehan LDP dan SPRINT pada 2013 sebanyak RM369Juta. Manakala KESAS mendapat keuntungan berganda sehingga mencecah 121% antara 2008 hingga 2013.
Sebagai contoh, kereta berkapasiti enjin di bawah 1,500 cc akan dikenakan duti eksais 60% dan cukai jualan 10% (jika dikilang di Malaysia). Ini meningkat kepada 100% jika kereta itu diimport, dengan tambahan cukai import sebanyak 30%. Inilah ketetapan di peringkat kerajaan. Ini tidak dinyatakan lagi kenaikan harga minyak dan Cukai Jalan.

GST DAN HASIL BUMI

Hari ini, seluruh rakyat Malaysia dikenakan GST sebanyak 6%. Harga barangan menaik, keperluan harian rakyat Malaysia juga melambung. Masalah kewangan negara yang berpunca daripada penyelewengan, pembaziran serta ketirisan, yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional dibebankan kepada rakyat jelata.

Malaysia sebuah negara yang kaya dengan minyak, namun rakyatnya tetap dikenakan bayaran minyak yang mahal. Malaysia kaya dengan getah dan sawit, tetapi rakyat Malaysia ramai yang dibebani hutang, pinjaman, riba dan banyak lagi untuk dihuraikan di sini.

UBAH KERAJAAN

Sudah sampai masanya untuk kita mengubah kerajaan Barisal Nasional yang sedia ada, cukuplah ratusan juta atau billion kekayaan negara di"sapu" oleh mereka, dan krisis ini dibebankan kepada rakyat yang tidak mampu bersuara dalam mesyuarat para menteri.

Ubahlah kerajaan sedia ada, agar Malaysia dapat hidup di bawah syariat Islam. Ketahuilah, pelbagai pemikiran dan idea telah dieksperimentasikan sejak zaman berzaman bagi menyelesaikan krisis kewangan negara, namun tiada satu pun yang benar benar menyelesaikan masalah, melainkan Islam.
Justeru, saya mengajak kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengubah kerajaan yang sedia ada, bagi membina sebuah kerajaan yang benar benar menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang didasari dengan Islam dalam segenap aspek.


Terus beristiqamah,
Hj. Razman Hj. Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
Rabu, 8 April 2015
20 Jamadil Akhir 1436

0 comments:

Catat Ulasan