Alhamdulillah, Allah SWT mengajar erti istiqamah melalui pedoman daripada Baginda SAW. Allah SWT berfirman;
(إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ) [Surat Al-Ahqaf : 13]
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
Allah SWT menegaskan dengan ringkas dan padat, tentang ciri ciri istiqamah yang mengikut garisan syarak, iaitu;
1. Mereka yang bertegas dengan prinsip, iaitu mengatakan bahawa Allah adalah Tuhan kami, Allah jualah matlamat perjuangan kami, bukanlah dunia sebagai matlamat, bukan juga harta dunia sebagai carian
2. Mereka berdiri teguh di atas prinsip akidah perjuangan yang jelas, bukanlah orang orang yang melonggar longgar dalam bab prinsip, bukan juga orang yang menyembunyikan kebenaran.
3. Mereka tidak membimbangi apa yang terjadi terhadap mereka dan tidak menagih pengaruh manusia, kerana Allah itulah Penjaga bagi mereka dan Dia jualah yang memuliakan siapa yang dikehendakiNya.
4. Mereka tidak bersedih, tidak berputus asa dengan kekalahan yang sementara kerana meyakini janji Allah yang memberi kemenangan kepada mereka yang berhak.
Teguhlah di atas prinsip ini, sesungguhnya syurga itu mahal. Tak mungkin laluan ke arahnya dibentang dengan permaidani merah, akan tetapi pastinya dirintangi dengan pelbagai jenis onak.
Terus beristiqamah,
Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
Khamis 5 Mac 2015
14 Jamadil Awwal 1436
(فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ) [سورة هود : 112]
BalasPadamOleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.