Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Isnin, 9 Mac 2015

GST : MENJAUHKAN MALAYSIA DARIPADA SYARIAT ALLAH


Hari ini rakyat dibebani dengan GST, iaitu percukaian yang dikutip secara halus daripada segenap rakyat Malaysia, miskin mahupun kaya. Percukaian sudah pun diperincikan oleh Islam tentang hukum hakamnya, namun kerajaan masih meneruskan lagi agenda melaksanakan sesuatu yang haram, bahkan membebankan rakyat sendiri.

Saya tidak melihat satu pun hujah syarie untuk melaksanakannya, melainkan dua item yang tidak sampai ke tahap hujah yang dijaja oleh pengamal pengamal cukai, iaitu

1. Cukai dibenarkan ketika negara dharurat sepertimana zaman Mamalik, dengan fatwa daripada Imam Nawawi RA.

2. Sandaran kepada kaedah fiqh, تصرف الإمام منوط بالمصلحة, maksudnya tindakan pimpinan (terhadap rakyat) adalah berdasarkan maslahah.

Jawapan;

1. Zaman Mamalik berhadapan dengan tentera Mongol sehingga tercetusnya Perang Ain Jalut pada 1260 Masihi. Ketika itu keperluan negara masih tidak mencukupi untuk membeli peralatan perang, lalu Imam Nawawi RA mengeluarkan fatwa sedemikian, beserta perincian Syeikh al Izz Ibnu Abdus Salam RA, yang mengatakan "cukai haram selagimana masih terdapat kekayaan di dalam istana tuanku".

Di sini kita boleh faham bahawa keperluan GST/Cukai di Negara Malaysia belum sampai ke tahap darurat seperti itu. Darurat mengikut perspektif Islam ialah "sekiranya tidak melaksanakannya, maka akan menyebabkan hilangnya agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Apakah Malaysia sampai ke tahap itu untuk membolehkan GST? Kembalilah merujuk kepada Islam.

2. Sandaran kepada kaedah fiqh bukanlah sesuatu hujah. Ya, kaedah bukanlah hujah atau sumber hukum, akan tetapi kaedah adalah garis panduan yang didasari terlebih dahulu nas nas yang terang (usul fiqh). Menjadi satu kesilapan apabila berhujah dan bersandarkan dengan kaedah fiqh, dalam masa yang sama bertembung dengan nas yang lebih jelas.

Ya, nas lebih jelas mengharamkan cukai berbanding kaedah kaedah yang tidak memaksudkan penghalalan cukai. Kaedah fiqh yang dinyatakan "tindakan pimpinan adalah berdasarkan maslahah" bermaksud tindakan pimpinan hendaklah mengikut keperluan maslahah, sekiranya tiada maslahah maka ia tidak dilaksanakan.

Saya mengajak kepada semua pihak, khususnya kerajaan Malaysia untuk kembali menjadikan Islam sebagai rujukan, dan meletakkan para ulamak di tempatnya sebagai penghurai kepada hukum hakam syariat. Ya, GST bukanlah penyelesaian kepada krisis kewangan negara, akan tetapi penyelesaiannya ialah ketelusan pihak kerajaan dalam mengurus harta negara.

Terus beristiqamah,

Hj. Razman Hj. Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

Isnin, 9 Mac 2015
18 Jamadil Awwal 1436

0 comments:

Catat Ulasan