Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Isnin, 24 November 2014

Para murabbi mengakhiri hayat mereka dalam perjuangan dengan istiqamah hingga ke penghujungnya

CATATAN DALAM PERJALANAN KE MESYUARAT PERSIAPAN MAKAN MALAM MARHEIN :   Di Markas Tarbiah PAS Kawasan Pandan


Dalam permusafiran yang jauh dan kerap ini, saya sempat membelek iPhone membaca al Quran sambil menanti tiba ke destinasi. Hati ini terdetik untuk membaca Surah al Munafiqun, tetapi apabila tiba ayat keempat, hati ini tergerak untuk cuba memahaminya.
Allah SWT berfirman,

Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?

Inilah kekayaan Al-Quran, sebuah mukjizat yang memberi rahmat sekalian Alam. Tidak ada yang tertinggal dan terlepas daripada pandangan Allah, semua sifat manusia digariskan dengan terperinci olehNya.

Kita sebagai hambanya wajib mengetahui sifat- sifat buruk yang dibenci Allah, mudah-mudahan kita dapat menghindar diri daripadanya. Kita juga wajib mengenali sifat-sifat mulia yang dikehendaki oleh Allah SWT, mudah-mudahan kita dapat berusaha ke arah mencapai martabat yang dikehendaki olehNya.

Masih segar diingatan ini, pemergian para murabbi yg begitu ramai menemui Allah sejak akhir-akhir ini. Almarhum Tuan Guru Harun Taib, Almarhum Ustaz Yahya Osman, Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, Almarhum Syeikh Muhammad Abdullah, manakala Jumaat baru baru ini kita kehilangan Almarhum Ustaz Kamaruddin Awang Basir.
Mereka telah terbukti mengakhiri hayat mereka dalam perjuangan, istiqamah hingga ke penghujungnya. 

Allah SWT memperlihatkan tanda tanda kebesaran rahmatnya di hari pemergian mereka. Mereka telah selamat pergi dengan husnul khatimah, sedangkan kita masih belum tahu bagaimana pengakhiran kita. Jawapan ada terbuku di hati kita dan tindakan tergenggam ada di tangan kita.

Semoga Allah SWT melindungi kita daripada sifat yang di murkaiNya, serta menjauhkan kita daripada hati yang berbolak balik. Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati manusia, kekalkanlah hati-hati ini di atas jalanMu.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak
24 November 2014

paktehrazman.blogspot.com

0 comments:

Catat Ulasan