Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Ahad, 29 Mac 2015

PAS LENGGONG TETAP MENYOKONG TUAN GURU PRESIDEN PAS


1. Merujuk kepada pendirian DAP untuk memutuskan hubungan dengan TG Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang baru-baru ini, perkara ini menjadi petunjuk kepada senario hubungan dalaman PR yang sukar untuk dikawal meskipun ketiga-tiga parti telah menyatakan kesediaan untuk menerima pakai prinsip "bersetuju untuk tidak bersetuju" dalam beberapa isu, terutamanya isu berkenaan pindaan undang-undang kanun jenayah syariah negeri Kelantan. Prinsip ini diperlukan bagi menentukan batas sempadan permuafakatan antara parti-parti komponen PR.

2. Sewajarnya, tempoh permuafakatan yang panjang ini dapat mematangkan ahli-ahli setiap parti agar memahami teras dan sensitiviti perjuangan parti rakan PR. Permuafakatan PR tertegak di atas dasar-dasar yang dipersetujui bersama. Semua ahli daripada parti-parti komponen PR telah sedia maklum bahawa agenda perjuangan parti lain yang tidak dapat dipersetujui tidak semestinya perlu mendapat sokongan semua pihak. Justeru tindakan mana-mana pihak yang mempertikai, menghalang atau menyekat kebebasan parti lain melaksanakan agenda perjuangan mereka atas nama pakatan adalah bermakna melangkaui had sempadan toleransi permuafakatan.

3. Kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP ini secara terang mencabar kewibawaan Presiden parti yang diangkat secara sah oleh ahli-ahli PAS sekaligus menampakkan sikap tidak menghormati parti rakan di samping memperkecilkan peranan PAS dalam  Pakatan Rakyat. Tindakan ini juga dilihat cuba menguji sejauhmana kuatnya pegangan ahli PAS terhadap prinsip Islam yang didokong oleh PAS dan sokongan mereka terhadap Tuan Guru Presiden.

4. Dalam hal ini, PAS Kawasan Lenggong menyeru kepada seluruh ahli PAS dan umat Islam agar menzahirkan sokongan padu kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang mempunyai pengaruh yang kuat untuk menarik kepercayaan umat Islam kepada ketelusan perjuangan Pakatan Rakyat dalam membela, mempertahankan dan mendaulatkan Islam di Malaysia.

5. Sokongan kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bukanlah semata-mata disebabkan oleh kedudukan beliau sebagai Presiden PAS, bahkan Tuan Guru Presiden inilah figur pemimpin harapan yang dapat memikat sokongan umat Islam yang menjadi pengundi majoriti di Malaysia. Kini, beliaulah tokoh pemimpin Pakatan Rakyat yang dapat menyatukan rakyat Malaysia untuk melawan kebobrokan dan kerakusan Barisan Nasional.

6. Permuafakatan antara PAS dan DAP bukanlah terbentuk pertama kali menerusi jalinan Pakatan Rakyat.   Demi mempertahankan dasar dan kefahaman tentang perjuangan Islam, ahli-ahli PAS telah berdepan dengan cabaran dan tekanan daripada UMNO sejak sekian lama. Oleh yang demikian, DAP boleh mempertimbangkan dengan waras adakah perlu diteruskan kerjasama di antara PAS, PKR dan DAP dalam PR ataupun kembali kepada situasi pilihanraya tahun 2008?

Tetap istiqamah dengan Islam bersama TG Presiden PAS.

Ahli-ahli PAS Kawasan Lenggong

Pemuda PAS Kawasan Lenggong

Dewan Muslimat PAS Kawasan Lenggong.

Khamis
6 Jamadil Akhir 1436
26 Mac 2015

0 comments:

Catat Ulasan