Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Khamis, 23 Oktober 2014

Perutusan Maal Hijrah 1436H Pesuruhjaya PAS Perak

Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui. (Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal..
– Surah an-Nahl 16: 41-42.
 GERAKAN ISLAM DAN ERTI SEBUAH HIJRAH AGUNG


Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan yang memberikan kekuasaan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya, serta mencabut kekuasaan daripada sesiapa sahaja yang sedang berkuasa. Dia-lah yang meminjamkan kekuasaan tersebut kepada sang penguasa, ada penguasa yang betul di jalanNya, ada pula yang sesat terbabas di pinggiran gaung.

Muharam merupakan tahun baru bagi umat Islam sedunia. Mengajar erti sebuah penghijrahan dan perubahan. Perjuangan para Nabi tidak pernah lekang daripada hijrah.

a) Nabi Adam AS berhijrah dari Sri Langka ke Mekah mengikut sebahagian sejarawan.

b) Nabi Idris AS berhijrah dari Mekah ke Mesir.

c) Nabi Nuh AS berhijrah dari Mesopotamia ke Turki mengikut sebahagian sejarawan.

d) Nabi Ibrahim AS berhijrah dari Iraq (Babylon) ke Mekah, Palestin dan Mesir.

e) Nabi Luth AS berhijrah dari Iraq ke Sodom (terletak di Laut Mati)

f) Nabi Musa AS berhijrah dari Mesir ke Madyan (berhampiran Mekah)

g) Nabi Isa AS berhijrah dari Eropah ke Mesir

h) Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Hijrah menuntut satu perubahan daripada baik kepada lebih baik. Islam tidak mengajar kita statik beku tidak bergerak mahupun berganjak. Inilah yang dipanggil sebagai "harakah" atau "haraki" yang bermaksud "gerakan".

Harakah Islamiah bermaksud Gerakan Islam. Matlamat Gerakan Islam perlu jelas dan terpandu. Ia tidak sepatutnya dikelirukan dengan agenda agenda peribadi seperti mengejar populariti atau mencari pangkat. Maka lahirlah erti faham, iaitu memahami matlamat perjuangan gerakan Islam dengan jelas.

Apabila harakah itu difahami dengan jelas, maka mereka yang bekerja untuk menggerakkan gerakan tersebut pasti akan menghasilkan satu kenikmatan dalam berjuang. Mereka yang tidak memahami matlamat, tidak mungkin merasai kemanisan berjuang. Maka, lahirlah erti ikhlas.

Harakah itu sifatnya sentiasa beroperasi dan bekerja. Dengan bertunjangkan kefahaman yang jelas dan keikhlasan yang bersih, pasti akan melahirkan tindakan atau gerak kerja yang total dan maksimum. Mereka yang mengejar pengaruh pastinya akan bekerja untuk pengaruhnya sahaja, bukan lagi untuk Islam.

Ramai orang tersilap, mereka menyangka orang yang wajahnya kerap tersiar di akhbar adalah orang yang gigih bekerja. Tidak kurang juga yang kerap masuk rancangan televisyen. Walhal penilaian yang paling utama ialah kefahaman dan keikhlasannya. Selepas itu barulah gerak kerjanya.

Kefahaman, keikhlasan dan bekerja, apabila diadun dengan baik, diimbang dengan sesuai, akan melahirkan satu kesungguhan (jihad) dan kegigihan seseorang itu dalam merealisasikan matlamat Islam.

Hijrah itu pada peringkat permulaannya dibina daripada kefahaman yang jelas iaitu menyelamatkan Islam. Lalu menghasilkan keikhlasan dalam melakukan gerak kerjanya. Setelah itu terlahirlah kegigihan untuk ke arah itu. Ketika inilah para sahabat RA diseksa habis habisan.

Hasil adunan ini juga terhasillah pengorbanan (tadhiyyah). Iaitu apabila Nabi SAW bersama umat Islam terpaksa mengorbankan segala harta dan kepentingan di Mekah, mereka berhijrah ke Madinah. Mereka mengorbankan segalanya untuk Islam, bukan untuk kepentingan peribadi mereka. Ingat, mereka yang berkepentingan dalam Gerakan Islam ini pastinya tak sanggup berhijrah bersama kebenaran. Mereka statik beku dalam kekeliruan samada kepentingan dunia ataupun akhirat yang dicari.

Para sahabat RA mengorbankan segalanya kerana taat akan arahan Rasulullah SAW sebagai pimpinan umat Islam. Orang yang enggan berkorban pasti tidak akan sabar dengan arahan pimpinan lantas mengangkat kaki pergi menjauhi, hilang elemen ketaatan mereka.

Maka, mereka yang sanggup berkorban untuk Islam akan mengorbankan segala kepentingan dunia, dan taat dengan pimpinan atas dasar Islam bukan atas dasar pengaruh dan populariti. Ketika inilah lahirnya teguh (tsabat) dalam diri. Teguh atas dasar kebenaran, bukan teguh atas dasar keduniaan.

Mereka yang teguh di atas kebenaran inilah mereka yang memfokuskan matlamat perjuangan mereka semata mata kerana Allah. Inilah tajarrud. Bukanlah seperti mereka yang hilang fokus matlamat lantas menyalahkan tulisan yang kabur sedangkan mata sendiri yang rabun.

Apabila kefahaman itu selari, keikhlasan itu terbit dari hati, gerak kerja itu terlaksana, kegigihan itu berterusan, pengorbanan itu sepenuhnya, ketaatan itu tidak berbelah bagi, keteguhan itu berakar umbi, matlamat itu memfokus, maka akan lahirlah ukhuwah sesama mereka yang memiliki hati dan nadi perjuangan.

Ukhuwwah yang kuat ini akan menghasilkan satu kepercayaan (thiqah) yang mampu menutup segala fitnah, membersih dari segala pra sangka dan membina satu ketelusan dalam pelayaran sebuah bahtera gerakan Islam, menghadapi badai di sepanjang penghijrahan yang agung ini.

Inilah hijrah.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Haji Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

1 Muharam 1436 Hijrah

0 comments:

Catat Ulasan