Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1436H

Sabtu, 10 Januari 2015

ENAKMEN HUDUD DI KELANTAN MENENTUKAN PRINSIP PAS


Ramai menunggu apa pendekatan dan pendirian PAS mengenai RUU Hudud yang akan dibawa ke Parlimen nanti sebagai Private Bill, insya Allah. Apa yang pasti ia adalah satu amanah yang perlu kita pikul bersama, bukanlah isu politik sepertimana yang dikatakan, sebaliknya ia adalah isu akidah yang menjadi asas dan prinsip perjuangan PAS.

Telah diketahui umum bahawa PAS adalah Harakah Islamiah (gerakan Islam) yang berjuang di atas jalur dakwah dan siasah. Dasar dan pandu arah PAS adalah Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak Ulamak dan Qias. Lanskap politik Malaysia memperlihatkan bahawa tidak mungkin sebuah parti politik secara bersendirian boleh membentuk kerajaan. Sehinggalah ke hari ini Pakatan Rakyat sendiri yang terdiri daripada 3 parti komponen PAS, DAP dan PKR dilihat boleh mencabar BN yang terdiri daripada 14 parti komponen.

Kerangka kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat adalah harus dari sudut syarak berdasarkan penelitian MSU (Majlis Syura Ulamak) di atas dasar kerjasama politik yang bersetuju terhadap persamaan dan juga menerima perbedaan prinsip perjuangan parti masing-masing. Inilah sepertimana yang telah dipersetujui sehinggalah terbentuknya Pakatan Rakyat.

Apabila kelantan hendak melaksanakan hudud, walaupun hakikatnya Islam yang menyeluruh adalah dasar perjuangan PAS secara sejagat, terdengar suara lantang daripada DAP dan PKR menolak perlaksanaan hudud. Terdapat pelbagai padangan daripada luar dan dalam parti terhadapnya. Bermula daripada orang bawahan sehinggalah pucuk pimpinan dalam parti yang melahirkan pandangan masing masing. Secara jelas, kepelbagaian ini akan memecahkan Pakatan Rakyat, atau dengan kata lain, mereka bercakap untuk menangkan dahulu ke Putrajaya, barulah bercakap tentang hudud.

Ada juga yang memberi keutamaan kepada menjaga akidah prinsip dan perjuangan PAS,  melihat sesuatu yang tidak terlintas oleh fikiran kasar, iaitu mendapatkan redha Allah SWT berdasarkan firmanNya :

(أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ)

Setelah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal, bagi orang-orang yang penuh keyakinan terhadap Allah, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah. (Surah al Maedah : 50)

Secara jelas, ayat ini meletakkan dua pilihan sahaja, antara undang undang Allah yang kita pilih, ataukah undang undang jahiliyyah. Bagi mereka yang yakin dengan Allah, pasti akan memilih undang undang Allah SWT agar ia diperjuangkan.

Berikut ialah kenyataan penuh oleh Menteri Besar Kelantan,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Berikutan keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada hari ini, 2 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 2 April 2014M, saya ingin mengumumkan beberapa pendirian yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud. Ianya adalah seperti berikut :

1. Kerajaan Kelantan menyambut baik kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada mana-mana kerajaan negeri termasuklah Kelantan untuk menguatkuasakan undang-undang hudud sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini di Dewan Rakyat.

2. Kerajaan Kelantan dengan ini akan menyiapkan satu rang undang-undang persendirian (private bill) yang akan dibawa ke mana-mana sidang Parlimen yang terdekat oleh salah seorang Ahli Parlimen Bukan Kerajaan bagi mendapat kebenaran untuk Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana sebahagian besar dari kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code), begitu juga agensi-agensi pelaksana seperti polis dan penjara.

3. Satu rang undang-undang persendirian (private bill) juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Shariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Shariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud.

4. Kerajaan Negeri Kelantan sedia memberi jaminan bahawa sekiranya tiada halangan dari Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada dua undang-undang persendirian ini dibentang dan diluluskan di Parlimen, Insha-Allah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 paling lewat akan berkuatkuasa di Kelantan pada tahun 2015.

Berdasarkan kenyataan ini kita meletakkan kemungkinan dan kebarangkalian Private Bill ini akan mencapai matlamat atau tidak. Jangan lupa, kita disuruh oleh Allah SWT untuk memperjuangkan agamaNya, dan Dialah yang memudahkan kita untuk mengecapi matlamat tersebut atau sebaliknya. Jangan pula awal awal lagi kita sudah merasa putus asa dengan perjuangan ini.

Saya yakin, Parivate Bill ini akan mencapai matlamatnya sekiranya semua ahli PAS khususnya bersepakat dengan kepimpinan PAS. Kita bimbang, apabila PAS memperjuangkan hudud, ada pula dari dalaman yang akan mengkritik persepakatan sesama pimpinan dan lebih membimbangi kesepakatan dalam PR dari menjaga prinsip perjuangan. Ya, kita perlu bersepakat untuk melakukan kebaikan, selari dengan firman Allah SWT di awal Surah Al Maedah.

Dari aspek politik pula, bahawa pastinya akan timbul persepsi yang pro dan kontra, samada dalam Pakatan Rakyat, mahupun luar PR. Beberapa analisa yang boleh dinilai untung rugi dunia dan akhirat. Secara kasar boleh diperhatikan analisa butiran butiran berikut;

Parlimen 2008

PAS 23
PKR 31
DAP 28

Parlimen 2013

PAS 21
PKR 30
DAP 38

Dun 2008

PAS 83
PKR 41
DAP 73

Dun 2013

PAS 85
PKR 49
DAP 95

Kita boleh lihat sendiri siapa yang paling mendapat untung besar melalui kewujudan Pakatan Rakyat, dan siapa pula yang mendapat kerugian, walaupun agak tipis. PAS walaupun bertambah 2 Dun selepas Pakatan Rakyat, namun kehilangan dua Parlimen.

Kita juga boleh mempelajari daripada krisis yang berlaku di Perak sendiri, khususnya di Lumut dan Bagan Serai, dan umum sudah pun mengetahuinya, apatah lagi krisis "culik ahli" yang merugikan PAS. Kekesalan apabila ahli PAS bertanding atas tiket PKR atas alasan "Pakatan Rakyat". Di saat inu jugalah berlaku kecelaruan dalam jalur pentarbiahan PAS.

Kita juga perlu meraikan bahawa PAS mempunyai barisan penyokong tegar yang agak sensitif isu ini. Apatah lagi jentera akar umbi yang banyak dikaderkan oleh PAS sendiri, seolah olah keringat ahli ahli PAS yang diperah ini membantu memberi keuntungan yang lebih besar kepada orang lain, berbanding parti sendiri.

Sebagai contoh, pada 1980an, berlakunya penubuhan HAMIM, ketika di zaman pimpinan Dato Asri, yang menyebabkan timbulnya kecelaruan yang serius dalam PAS. Inilah antara serpihan PAS yang tersilap dalam memahami prinsip, lantas bersama HAMIM dengan semangat yang lenyap sepertimana perasaan.

Di sini, saya boleh simpulkan bahawa RUU Syariah Hudud perlu dibawa ke parlimen kerana;

1. Melenyapkan persepsi buruk masyarakat Melayu Islam terhadap PAS, dengan andaian telah menggadai prinsip serta menjadi boneka dalam Pakatan Rakyat. Atau dengan kata lain, kita mengembalikan kepercayaan masyarakat luar terhadap dasar perjuangan kita.

2. Kegagalan ke Putrajaya dalam PRU 13 baru-baru ini adalah kerana sokongan Melayu terhadap Pakatan Rakyat merosot iaitu 63.7% berpihak kepada BN. Ini kerana PAS dilihat tidak dominan dan tidak mampu menjaga kepentingan Melayu dan Islam. Contohnya di Perak sendiri, Pakatan Rakyat gagal mengambil semula negeri ini seperti sebelumnya ketika kewujudan PR dan kerusi PAS dalam DUN berkurang daripada 6 kepada 5. Kedah pula sebelum tertubuhnya Pakatan Rakyat, PAS boleh memerintah, namun, selepas penubuhannya, terus  kehilangan sebuah negeri.

3. Tujuan penubuhan PAS pasti sudah diketahui oleh semua pimpinan khususnya Pakatan Rakyat, bahkan sebab PAS tidak boleh bersama UMNO juga turut diketahui oleh semua, iaitu kerana undang undang Allah yang dipanggil sebagai "hudud". Semua orang sudah sedia maklum tentang dasar PAS ini, termasuk sebelum tertubuhnya Pakatan Rakyat lagi, bahkan dasar ini sudah tercatat 40 tahun lebih awal daripada PR.

4. Dalam catatan sejarah PAS, alasan untuk menangguhkan pengenakmenatasi hudud adalah satu cabang yang kecil, yang telah lama digunakan oleh UMNO sejak puluhan tahun. Ya, masing masing sudah sedar perkara ini, dan sesiapa sahaja boleh semak sendiri dalam catatan sejarah.

5. Ketika ini, UMNO sedang merangka bagi mewujudkan indeks pelaksanaan syariah di Malaysia dalam strategi menawan hati atau menipu daya masyarakat Melayu khususnya. Sekiranya indeks ini menunjukan UMNO/BN telah melaksanakan 95% syariat Islam di Malaysia, berapa peratuskah kekuatan yang ada pada PAS untuk terus memperjuangkan hudud. Masyarakat mungkin akan beranggapan bahawa tak perlu hudud kerana Islam sudah pun terlaksana di Malaysia dengan banyak.

6. Laungan Tahaluf PAS adalah kerjasama politik dan tidak berkaitan dengan penggadaian prinsip, wajib dibuktikan kepada rakyat, agar mereka tidak tertipu dengan mainan sekularisme yang menggambarkan Islam hanya sekadar dalam beberapa aspek. DAP pula dilihat sebagai "expert agen" dalam menolak hudud yang menjadi dasar PAS.

7. Hudud (undang undang Allah) merupakan perjuangan PAS yang dipelopori oleh ulamak terdahulu hinggalah ke hari ini, dan ia akan kekal berterusan.  Perjuangan Islam dan dasarnya tetap berterusan walaupun ramai pimpinan ahlinya yang sudah meninggal dunia. Ya, ia akan tetap bersilih ganti hinggalah kemenangan Islam yang dijanjikan oleh Allah SWT. Tetap bersama para ulamak dalam tafsiran perjuangan.

8. Private Bill ini mesti diteruskan kerana setelah melalui lebih 50 tahun perjuangan PAS membawa prinsip ini. Peluang ini telah diberikan oleh Allah menguji kita menghargai peluang yang diberikanNya, serta menjadi ujian terhadap kefahaman dan kesungguhan ahli ahlinya memperjuangkan prisip jemaahNya.

Terus beristiqamah,

Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Perak

19 Rabiul Awwal 1436
Sabtu 10 Januari 2015

0 comments:

Catat Komen